Jumaat, 12 Februari 2021 | 11:00am
Piramid makanan membantu dalam tentukan jumlah hidangan perlu diambil.
Piramid makanan membantu dalam tentukan jumlah hidangan perlu diambil.

Atasi obesiti agenda PBB demi kemakmuran dunia

Sejak 1975, masalah obesiti menjadi kebimbangan global. Menurut data World Population Review pada 2019, Malaysia menjadi negara tertinggi di Asia Tenggara menghidapi masalah obesiti dalam kalangan orang dewasa, iaitu 15.6 peratus diikuti Brunei (14.1), Thailand (10) dan Indonesia (6.9).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sebanyak 29.8 peratus daripada kanak-kanak berusia antara 5 hingga 17 tahun adalah dalam kalangan berlebihan berat badan dan obes.

Menurut Dr Adham juga, data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menunjukkan prevalens rakyat Malaysia mengalami berlebihan berat badan dan obes menunjukkan trend peningkatan daripada 47.7 peratus pada 2015 kepada 50.1 peratus (2019).

Trend peningkatan ini menunjukkan satu daripada dua rakyat Malaysia mengalami berlebihan berat badan dan obes.

Namun, masyarakat menganggap masalah ini remeh. Mereka terbiasa dengan keadaan sekeliling yang terdapat ramai orang mengalami berlebihan berat badan.

Indeks Jisim Tubuh (BMI) dalam unit kg/m2 sebagai tahap pengukur bagi berat badan. BMI ini terbahagi kepada empat peringkat, iaitu kurang berat badan (30 kg/m2).

Oleh itu, untuk mendapatkan berat badan ideal, seseorang harus memastikan BMI bagi tubuhnya sentiasa antara 18.5 hingga 24.9 kg/m2.

Rakyat perlu memberikan perhatian untuk mengatasi masalah berat berlebihan dan obesiti sebagai antara Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Matlamat ini dikemukakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai agenda demi pembangunan dan kemaslahatan manusia dan bumi.

Antara matlamat yang selari dalam menyelesaikan masalah berat berlebihan dan obesiti ialah matlamat ke-3, iaitu 'Kesihatan Baik dan Kesejahteraan.'

Terdapat pelbagai cara mengatasi masalah berat berlebihan dan obesiti. Antaranya melalui penjagaan diet seimbang. Ini bermaksud dengan makan mengikut keperluan tenaga seharian, iaitu mengambil makanan mengandungi jumlah kalori sesuai dan jumlah hidangan betul.

Piramid makanan sangat membantu dalam menentukan jumlah hidangan perlu diambil. Mengurangkan pengambilan makanan dan minuman manis juga dapat membantu menjaga diet seimbang.

Senaman juga dapat mencegah obesiti, terutama menurunkan serta mengekalkan berat badan ideal kerana dapat membakar kalori. Senaman haruslah dilakukan sekurang-kurangnya 150 hingga 300 minit setiap minggu.

Bagi mereka ingin menurunkan berat badan, mereka bolehlah bersenam sekurang-kurangnya 30 hingga 90 minit sehari. Bersenam penting untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit berisiko tinggi dan meningkatkan kualiti kehidupan.

Bagi mengatasi masalah obesiti, seseorang juga boleh mendapatkan terapi tingkah laku. Terapi ini membabitkan sesi kaunseling dalam mendisiplinkan diri dalam pengambilan makanan sihat dan seimbang, mengelak pengambilan minuman beralkohol dan mengurus tekanan dengan baik.

Sifat bertanggungjawab dalam diri dan masyarakat penting untuk sama-sama menangani permasalahan obesiti daripada meruncing dalam rakyat Malaysia dan beban perbelanjaan negara.

Haifaa Ramli

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Berita Harian X