Khamis, 4 Februari 2021 | 10:45am

Didik sayangi haiwan sejak kecil

BELUM pun reda berita lelaki di Jasin dijatuhi hukuman penjara 12 bulan kerana merodok perut anjing jirannya seperti disiarkan di BH, 10 November tahun lalu, muncul lagi kisah meruntun hati pencinta haiwan.

Baru-baru ini, seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth kerana memukul dua kucing sehingga menyebabkan kematian salah seekor daripadanya yang sedang bunting. Wanita itu dikatakan berang kerana kucing membuang najis di hadapan rumahnya.

Pada tahun lalu juga, penganggur dihadapkan di mahkamah kerana melemaskan tiga kucing dalam mesin basuh di pusat dobi layan diri di Kepong.

Haiwan diciptakan untuk berkongsi hidup, selain memberi faedah kepada manusia. Laporan berterusan penganiayaan haiwan menuntut perhatian serius bukan sahaja pihak berkuasa, malah masyarakat.

Bilangan kes kekejaman ini hanya sebahagian kecil daripada jumlah sebenar kerana kebanyakannya tidak dirakam, ditular atau dilaporkan.

Pelbagai punca dikaitkan seperti masalah mental, latar belakang pelaku dan haiwan dianggap gangguan. Hakikatnya, puncanya tiada kesedaran, prihatin dan kasih terhadap haiwan.

Pendidikan ialah pencegahan terbaik dan paling berkesan jika dilakukan sejak awal usia. Pendidikan berkaitan rasa sayang, penjagaan dan kebajikan haiwan boleh diterapkan di prasekolah dan sekolah rendah, selain mempelbagaikan aktiviti kokurikulum.

Pendedahan kanak-kanak terhadap kepentingan berkasih sayang dengan haiwan dapat membina sifat empati dan belas kasihan. Ia langkah awal mencegah kezaliman kepada haiwan.

Selain institusi pendidikan, peranan paling besar dipikul institusi keluarga. Kucing, anjing, arnab dan ikan sering dijadikan binatang peliharaan. Ibu bapa memelihara haiwan dapat memberi teladan terbaik kepada anak.

Kanak-kanak dididik menghormati, menyayangi dan menguruskan haiwan biasanya cenderung berperwatakan lemah lembut dan menghormati orang lain. Dengan haiwan peliharaan di rumah, kanak-kanak sentiasa menjaga kebersihan bermula dengan haiwan peliharaan berkenaan.

Dari segi fizikal, kecerdasan dan kualiti kanak-kanak bermain serta berlari bersama haiwan kesayangan berbeza dengan mereka yang lebih banyak baring menatap gajet.

Kebanyakan ibu bapa mengatakan alahan terjadi pada anak disebabkan bulu haiwan, namun kajian menunjukkan sebaliknya.

Persepsi ini perlu diubah kerana jika mereka memperkenalkan haiwan kepada anak sejak kecil khususnya kurang enam bulan, ia akan menguatkan anak daripada alahan.

Kajian membuktikan anak yang hidup dengan haiwan peliharaan lebih kebal terhadap alergi, demam dan ekzema.

Haiwan peliharaan juga boleh dianggap teman di rumah kerana mempunyai perasaan yang akan menenangkan pemiliknya jika sedang berduka.

Kita perlu sedar memelihara haiwan pelihara di rumah membantu mengawal dan menjaga keselamatan. Haiwan seperti anjing, kucing, burung dan angsa akan mengawal rumah pemiliknya sebaiknya.

Mendedahkan anak kepada haiwan peliharaan juga dapat memupuk rasa ingin tahu dan meneroka ilmu. Perkongsian maklumat berkaitan menu harian haiwan, klinik terbaik sekiranya haiwan sakit dan sangkar selesa, dapat menjadikan anak lebih kreatif.

Membawa anak ke zoo, selain meningkatkan pengetahuan dunia haiwan menjadi terapi minda. Amalan membelai dan mengusap kucing boleh meredakan tekanan bukan sahaja kepada kanak-kanak, malah golongan dewasa.

Pendedahan terhadap rancangan televisyen berkisar kecintaan terhadap haiwan juga mampu memberi banyak manfaat khasnya dalam mempengaruhi pemikiran mereka. Watak seperti Comot (Ejen Ali) pasti menyuntik rasa kasih anak.

Seperti diketahui umum, pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut memberi impak kepada Zoo Negara apabila terpaksa menggunakan tabung kecemasannya akibat penurunan jumlah pengunjung.

Pihak zoo dilaporkan mengalu-alukan sumbangan untuk menampung pelbagai kos operasinya. Peluang sebegini boleh dimanfaatkan sepenuhnya ibu bapa berkemampuan untuk menyumbang serta melibatkan pembabitan anak dalam proses berkenaan.

Usaha seperti ini bukan sahaja mampu membangkitkan rasa bangga dapat menyelamatkan zoo dalam kalangan anak, malah membentuk dermawan masa hadapan.

Semua pihak memainkan peranan penting memupuk nilai kasih sayang terhadap keluarga mahupun haiwan. Didikan awal mampu menjadi vaksin paling berkesan dalam menangani isu penganiayaan terhadap haiwan.

Masnawi Miskam dan Dr Nur Fadilah Darmansah,
Pasukan Sukarelawan Kucing, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X