Isnin, 1 Februari 2021 | 10:45am
Pemantauan dan bimbingan ibu bapa penting pastikan PdPR tidak terganggu. - Foto hiasan
Pemantauan dan bimbingan ibu bapa penting pastikan PdPR tidak terganggu. - Foto hiasan

Perancangan berstruktur semua pihak jayakan PdPR

ISU pembelajaran sekali lagi diperkatakan masyarakat. Antara cabaran dan permasalahan dipaparkan di media serta sering diperkatakan ialah kekurangan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti komputer, gajet dan capaian internet.

Tidak kurang juga isu membabitkan jumlah adik-beradik ramai dalam satu isi rumah dengan sokongan ICT terhad, selain tugasan ibu bapa yang turut menjalankan tugasan pejabat di rumah sama ada secara sepenuhnya ataupun berdasarkan giliran.

Namun, bagi sesetengah sektor seperti perkilangan, pembuatan dan kesihatan, amat sukar bagi pekerjanya untuk bekerja dari rumah sepenuhnya.

Apatah lagi mereka yang bekerja secara kontrak tanpa gaji tetap dan bergantung kepada syif serta jam tugasan.

Golongan peniaga juga mungkin menghadapi masalah menguruskan anak untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kerana ibu bapa sebenarnya menjadi 'pembantu guru'.

Tanpa pemantauan dan bimbingan ibu bapa, PdPR akan terganggu. Justeru, Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan manual PdPR bertujuan membantu guru melaksanakan proses itu sebagai alternatif pembelajaran norma baharu.

Berdasarkan manual ini, sesi PdPR ialah proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan di rumah, pusat komuniti atau di mana-mana lokasi bersesuaian.

PdPR juga boleh dilaksanakan secara dalam talian atau luar talian dengan perancangan berstruktur dan tersusun.

Manual ini dikeluarkan sebagai rujukan khusus untuk guru, pentadbir sekolah, pegawai pejabat pendidikan daerah (PPD) dan jabatan pendidikan negeri (JPN) serta KPM sendiri.

Bagaimanapun, ibu bapa boleh dilibatkan lebih berkesan melalui sesi mesyuarat dalam talian yang boleh diadakan antara pihak sekolah dengan ibu bapa. Cabaran dan permasalahan PdPR juga mungkin berbeza-beza berdasarkan negeri, lokasi serta sekolah.

Justeru, pendekatan inovatif boleh diambil dengan melaksanakan tinjauan analisis keperluan dan merancang tindakan dan penyelesaian bagi mengurangkan atau menyelesaikan cabaran dihadapi.

Perancangan berstruktur dan tersusun antara pihak sekolah, guru dengan ibu bapa amat penting bagi menjayakan PdPR dalam apa jua cabaran.

Begitu juga isu keperluan terhadap sokongan dan penggunaan peralatan ICT yang digunakan meluas sebelum pandemik COVID-19 melanda.

Namun, keperluan mendesak terhadap komputer, gajet dan capaian internet sangat menonjol dalam PdPR kerana peralatan teknologi ini bertindak sebagai 'pintu gerbang' kepada sekolah dalam talian.

Prof Madya Dr Muhammad Sabri Sahrir,
Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X