Sabtu, 30 Januari 2021 | 11:30am
DYMM Tuanku Sultan sering meluangkan masa bersama kucing-kucing terbiar yang kini telah diambil untuk dipelihara di kawasan kediaman baginda. - Foto ihsan Facebook Selangor Royal Office
DYMM Tuanku Sultan sering meluangkan masa bersama kucing-kucing terbiar yang kini telah diambil untuk dipelihara di kawasan kediaman baginda. - Foto ihsan Facebook Selangor Royal Office

Contohi inisiatif Stray Free Selangor

Sejujurnya saya amat terharu melihat bagaimana mulianya hati Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang betul-betul ikhlas dalam menyelamatkan haiwan terkandas di jalanan.

Tanpa mengira kucing atau anjing, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor tetap menyelamatkan apa sahaja haiwan jalanan yang memerlukan bantuan.

Inisiatif Stray Free Selangor yang dijalankan benar-benar memanfaatkan haiwan sangat memerlukan pertolongan di negeri itu.

Inisiatif ini boleh diperkasakan lagi dengan kita semua memberi sokongan hebat dalam melaporkan jumlah haiwan di jalanan yang boleh diselamatkan.

Selaku rakyat Malaysia yang baik hati, kita perlu mempunyai lebih perasaan empati dalam menyelamatkan haiwan jalanan.

Kita perlu lebih merasai bagaimana peritnya haiwan ini di jalanan, tambahan lagi ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Jumlah makanan terhad dan kesukaran mendapatkan makanan akan lebih membuatkan haiwan jalanan lebih menderita. Justeru, empati lebih dalam diri akan mendorong kita menyelamatkan lebih banyak kucing terbiar dan anjing liar sangat memerlukan pertolongan di luar sana.

Saya juga menyokong sekiranya kita melakukan lebih banyak proses memandulkan haiwan jalanan bagi memudahkan mereka untuk berada dalam keadaan survival lebih mencabar.

Oleh itu, tidak akan berlaku insiden haiwan jalanan mengabaikan anak. Selain itu, haiwan jalanan juga mempunyai survival yang lebih tinggi sekiranya tidak berada dalam keadaan bunting.

Pada peluang ini juga, saya ingin menggesa agar tiada keganasan atau kezaliman dilakukan bukan sahaja terhadap haiwan sendiri mahupun haiwan terbiar.

Segala kezaliman perlu dihentikan tidak kira pelakunya individu atau pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti kerap dilaporkan ketika operasi haiwan terbiar dijalankan.

Sejujurnya, kita sebagai manusia perlu berbuat baik kepada semua makhluk. Tidak kira sama ada haiwan domestik (belaan) atau liar, semuanya hidup bersama. Kita harus bertanggungjawab untuk melindungi haiwan dan tidak boleh melakukan kezaliman.

Bagi membantu haiwan jalanan daripada hidup sengsara dan dibunuh individu tidak bertanggungjawab, kita boleh mewujudkan program haiwan angkat, sekali gus membuka peluang kepada pencinta haiwan untuk menjadi hero haiwan terbiar.

Dengan inisiatif ini, kita mampu menjunjung titah Sultan Selangor supaya lebih membantu haiwan terbiar yang hidup sukar tatkala pandemik ini.

Justeru, marilah kita sama-sama merealisasikan hasrat konsep Stray Free Selangor agar ia mudah dicapai pada masa akan datang, sekali gus mewujudkan komuniti menyayangi haiwan di Selangor.

Tan Sri Lee Lam Thye

Penaung Persatuan Pencinta Haiwan Selangor

Berita Harian X