Isnin, 11 Januari 2021 | 11:31am

Perkasa bahasa Melayu menerusi sektor penyiaran

Sejak kebelakangan ini, bahasa Melayu dilihat semakin tenat apabila rakyat Malaysia, khususnya bangsa Melayu sendiri tidak mengambil endah mengenai penggunaan sistem bahasa kebangsaan yang betul.

Seperti yang kita ketahui, semua bahasa terdapat di seluruh pelosok dunia mempunyai sistemnya yang tersendiri. Masih ramai dalam kalangan masyarakat yang belum memahami konsep ilmu morfologi secara terperinci.

Sedarkah kita bahawa bidang morfologi inilah yang kita gunakan ketika bertutur, menulis, membaca, malahan bagi menyatakan perasaan kita. Maka, tidak hairanlah bidang morfologi memainkan peranan yang sangat penting dalam penggunaan bahasa Melayu, iaitu dalam kehidupan seharian kita.

Ungkapan yang sering kita dengar oleh pemimpin dan tokoh bahasa, iaitu 'pupus bahasa, pupuslah bangsa' sememangnya sudah menjadi kebiasaan untuk kita.

Hal ini, secara tidak langsung membuktikan kebimbangan dipamerkan pemimpin dan tokoh bahasa apabila sesuatu bahasa itu tidak lagi dipedulikan, maka tidak hairanlah lama-kelamaan bahasa Melayu hanya akan menjadi bahasa jalanan yang digunakan dalam segelintir penutur sahaja.

Berbalik pula kepada pendapat tokoh bahasa, Nik Safiah Karim mengenai kepentingan morfologi yang memperkenalkan konsep bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata.

Oleh hal demikian, sebagai masyarakat yang cakna mengenai bidang ini, sewajarnya mengambil langkah yang efektif dalam memperkasakan bidang morfologi bahasa Melayu sejak kecil lagi sebagai persediaan awal dalam mengatasi kekeliruan generasi kini ketika mempelajari ilmu tatabahasa.

Merujuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971) dan Pemberitahu Undang-Undang No.410 Tahun 1967, memperuntukkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Peruntukan ini amatlah penting untuk melaksanakan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang urusan rasmi negara, termasuk dalam bidang pendidikan, pentadbiran, perundangan serta penyiaran.

Bidang penyiaran dianggap berupaya dalam menentukan corak pemahaman seterusnya mempengaruhi pemikiran khalayak yang menontonnya untuk lebih memperoleh pengetahuan khususnya mengenai bahasa Melayu.

Menyedari bukan sahaja bidang penyiaran dalam televisyen dan radio sahaja yang mampu mengadakan kempen memurnikan bahasa Melayu, dalam media sosial seperti Facebook dan Instagram Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut berganding bahu mengangkat martabat bahasa Melayu menerusi pendekatan bidang morfologi.

Jika diikutkan, bidang penyiaran boleh melakukan inisiatif sama dengan meneruskan usaha mengadakan rancangan seminar pendidikan bahasa Melayu di televisyen lebih-lebih lagi sepanjang tempoh pelaksanaan pembelajaran dalam talian ini.

Untuk tambah menarik lagi, boleh ditampilkan personaliti hebat guru bahasa Melayu di Malaysia seperti Cikgu Zack Kirana dan sebagainya supaya generasi muda pelbagai bangsa, malah seantero dunia dapat mengenali dan menguasai bahasa Melayu lebih mendalam.

Inisiatif sebegini penting kerana matlamat akhirnya untuk menimbulkan rasa minat dan tertarik dalam kalangan mereka kepada keindahan yang ada pada bahasa Melayu bak kata pepatah, tak kenal, maka tak cinta.

Justeru, tidak hairanlah hal ini akan dapat melahirkan golongan pelapis muda yang cakna dalam mengangkat bidang morfologi dalam bahasa Melayu sehingga ke persada antarabangsa.

Ini amatlah bersesuaian dengan kata-kata pujangga, takkan Melayu hilang di dunia.

Nurul Alyaa Nabilah Abdul Kahar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X