Khamis, 10 Disember 2020 | 11:15am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Malaysia perlu strategi proaktif elak belenggu nomofobia

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu membawa perubahan drastik kepada kehidupan seharian rakyat, sekali gus membuka tirai norma baharu yang berfokuskan era digital.

Pelajar sekolah menjalani pembelajaran maya menerusi kelas dalam talian dan warga pendidik dedikasi untuk mempelajari pelbagai aplikasi untuk tujuan itu.

Begitu juga usahawan yang mula beralih kepada platform perniagaan dalam talian sepenuh masa.

Tidak dinafikan eksplorasi alam maya bersama norma baharu banyak mengubah tabiat penggunaan peranti elektronik khususnya telefon bimbit.

Implikasinya, pengguna peranti elektronik lebih terdedah kemelut ketagihan alam digital yang boleh menjurus kepada nomofobia.

Nomofobia adalah singkatan perkataan bahasa Inggeris iaitu no-mobile phone-phobia (nomophobia), adalah perasaan takut apabila seseorang tidak mempunyai telefon pintar dalam genggaman atau kehidupannya.

Di Malaysia, pada 2017, Kajian Statistik Internet Dunia mengetengahkan hampir 78.8 peratus pengguna internet, terutama kanak-kanak mengalami ketagihan membimbangkan.

Penemuan ini mungkin terbit sebagai implikasi 45 peratus kanak-kanak yang sudah mahir menggunakan internet pada usia tujuh hingga sembilan tahun menurut Kajian Tanda Aras Kesedaran Keselamatan Siber pada 2016.

Pada Mei lalu, berikutan pelaksanaan norma baharu secara global, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengiktiraf ketagihan permainan video sebagai suatu penyakit.

Kronologi ketagihan internet dan permainan video melalui penggunaan peranti elektronik, khususnya telefon pintar secara berlebihan secara tidak langsung menyebabkan berlakunya nomofobia.

Nomofobia boleh berakar umbi rentetan kebergantungan ekstrem kepada penggunaan telefon pintar yang lazimnya dijadikan instrumen untuk melayari internet, bermain permainan video dan bergiat secara aktif dalam media sosial.

Gejala nomofobia merangkumi peningkatan kadar degupan jantung dan tekanan darah, keresahan, kemurungan, berasa mual, kurang selesa, ketakutan, serta panik. Gejala ini tidak harus dipandang ringan khususnya dalam norma baharu budaya digital ini.

Dalam konteks dunia, pengkaji berpendapat hampir 66 peratus populasi dunia mengalami simptom nomofobia.

Pada tahap kritikal, ada juga individu menyentuh telefon bimbit mereka lebih daripada 5,427 kali sehari serta tidur bersebelahan dengan telefon pintar sebagai satu keperluan harian.

Hakikatnya, gejala nomofobia berupaya menjejaskan kesihatan berikutan wujudnya kecelaruan emosi, gangguan kitaran tidur, stres serta hormon cortisol akan dirembeskan dalam tubuh yang menyebabkan meningkatnya selera makan dan berat badan.

Justeru, strategi proaktif perlu dipraktikkan sebelum Malaysia terjerumus ke dalam belenggu nomofobia.

Pengawasan masa untuk penggunaan telefon pintar dalam melayari internet dan permainan video sewajarnya diamalkan secara bersepadu.

Pada 2017 sahaja, Malaysia mencatatkan hampir 92.5 peratus remaja sebagai pengguna internet tegar dengan penggunaan selama satu hingga empat jam setiap hari.

Pada peringkat dunia, pada awal tahun ini satu draf ordinan dirangka di Kagawa Prefecture, Jepun bertujuan mengekang penggunaan internet dan ketagihan permainan video dalam kalangan individu tidak melebihi usia 18 tahun.

Ia menetapkan waktu penggunaan telefon pintar selama sejam sahaja pada hari minggu. China pula memperkenalkan peraturan larangan untuk permainan video lebih daripada 90 minit pada hari minggu dan tiga jam pada hari cuti bagi individu berusia kurang 18 tahun pada November 2019.

Sesungguhnya, dengan pengawalan sebegini, masa melayari internet dan permainan video mampu dikurangkan. Penggunaan telefon pintar melampau sebagai pemacu gejala nomofobia mampu dihapuskan.

Cukuplah Malaysia berjuang mati-matian untuk menewaskan pandemik COVID-19. Ayuh kita tepis penangan nomofobia dengan proaktif.

Dusha Nanthakumar,
Mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X