Isnin, 7 September 2020 | 7:32am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

KEB1 2020 terus perkasa ekonomi Bumiputera

Majlis Perundingan Melayu (MPM) bertegas mahu memperbaharui dan memperkukuhkan resolusi serta pelan tindakan Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama (KEB1) 1965 kepada KEB1 2020 agar kekal relevan bagi memperkasa agenda ekonomi Bumiputera untuk 40 hingga 45 tahun akan datang.

Jika dilihat sejarah, Kongres Ekonomi Bumiputera pertama dirasmikan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman pada 5 Jun 1965. Pada kongres itu, seramai 500 orang perwakilan kongres dari semua negeri bersidang selama tiga hari.

Kongres itu menjadi permulaan bekerja, berusaha dan melaksanakan segala yang diputuskan untuk mencapai cita-cita dikehendaki. Kertas kerja yang dibentang dan dibincangkan merangkumi pembentukan model perniagaan dan perdagangan; perkhidmatan; pemasaran; latihan; penyertaan Bumiputera dalam lapangan perusahaan serta tanah.

Sebanyak 70 resolusi diluluskan termasuk 12 resolusi utama. Antaranya, mencadangkan nama RIDA diganti dengan Majlis Amanah Rakyat Bumiputera (MARA) dan meminta kerajaan menubuhkan Bank Bumiputera Malaysia.

Selain itu, meminta kerajaan persekutuan mengadakan mesyuarat alim ulama Malaysia untuk membincangkan penyatuan undang-undang zakat fitrah dan Baitulmal serta cara mengutipnya.

Oleh itu, KEB kali ini akan berusaha memperbaharui, memperkemas dan memperkasakan Resolusi KEB 1965.

Pembaharuan semula resolusi itu penting untuk mengembali dan memperkukuhkan kredibiliti institusi berkaitan pemerkasaan Bumiputera seperti MARA, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), FAMA dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS).

Tindakan MPM memperbaharui dan mengukuhkan resolusi serta pelan tindakan KEB1 susulan rungutan segelintir usahawan Bumiputera yang mendakwa tercicir daripada menerima manfaat akibat kelemahan sistem penyampaian.

Dijangkakan lebih 200 cendekiawan pelbagai kelompok pemegang taruh Bumiputera akan terbabit dalam sembilan kumpulan bengkel teras dan beberapa kumpulan bengkel satelit.

Hasrat kongres adalah untuk memperkukuhkan Resolusi KEB 1965 dan mengambil kira serta memperkasakan lagi tindakan tindakan diambil.

Kumpulan bengkel akan berusaha menjejaki prestasi dan mengenal pasti segala masalah dalam Fasa Pertama (1965-2020), selain roadmap akan dihasilkan dari Fasa Pertama (1965-2020) ke Fasa Kedua untuk tempoh 45 tahun (2020-2065).

Persidangan Bengkel Kongres berlangsung dari 28 Ogos lalu sehingga 24 September ini, mengikut tajuk ditetapkan dan berdasar kepada Resolusi KEB 1965.

Setiap Bengkel akan menghasilkan deraf Resolusi Dan Pelan Tindakan KEB 2020. Jawatankuasa Penganjur Kongres akan menerima dan memperkemaskan sebelum dibentangkan di kongres yang akan berlangsung pada 1 Oktober ini.

Oleh itu, Visi Resolusi dan Pelan Tindakan bagi Fasa Kedua dalam konteks tindakan kerajaan itu, penting bagi memastikan setiap perbincangan akan mencapai matlamatnya.

Visi itu merangkumi tindakan kerajaan melaksanakan Resolusi dan Pelan Tindakan 2020 menepati sepenuhnya visi Resolusi KEB 1965 dan memartabatkan hak Bumiputera termeterai dalam Perlembagaan.

Kedua, memperkasakan agenda ekonomi Bumiputera dengan melaksanakan sepenuhnya Resolusi KEB 1965.

Ketiga, menyempurnakan sepenuhnya Resolusi KEB 1965 dengan memperbetulkan segala kegagalan atau tindakan tidak sempurna yang berlaku sepanjang pelaksanaan Resolusi KEB 1965.

Setiap bengkel kongres dijangka akan mengilhamkan Resolusi dan Pelan Tindakan berani serta ikhlas bagi memperkasa dan membangkitkan hak Bumiputera termaktub dalam Perlembagaan.

Kita tidak nafikan selama tempoh 55 tahun pelaksanaan Resolusi KEB 1965, terdapat kegagalan atau ketidaksempurnaan dalam sistem tindakan.

Impaknya selepas 55 tahun, seperti dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen pada 13 Ogos lalu, Bumiputera masih terjerat dalam putaran ganas kemiskinan yang kedudukan dan penguasaan ekonomi mereka sebenarnya kian menguncup.

Adalah menjadi harapan agar kongres tidak berhenti di situ sahaja. Ia sepatutnya menjadi pemangkin agar bangsa Melayu dapat bergerak untuk sama-sama memaju dan memakmurkan kehidupan masyarakat Melayu khasnya.

Dalam MPM sendiri, terdiri daripada pemimpin politik, cendekiawan dan tokoh perniagaan. Mereka dikumpulkan supaya anak muda Melayu dapat menjadikan tokoh ini model.

Melayu perlu menjadi bangsa lebih hebat dan bukannya sentiasa mengharapkan ihsan dan bantuan. Keperibadian dan jati diri Melayu perlu sentiasa diperkasa. Kejayaan Bumiputera dalam bidang ekonomi ialah gagasan penting perlu dilaksanakan dengan jayanya.

Shahbudin Embun
Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Berita Harian X