Jumaat, 21 Ogos 2020 | 10:30am
Jadikan membaca al-Quran sebagai amalan harian. - Foto hiasan
Jadikan membaca al-Quran sebagai amalan harian. - Foto hiasan

Perpecahan, permusuhan punca umat Islam lemah

Dunia ini ibarat persinggahan bagi dan seterusnya kita akan berangkat ke alam barzakh dan alam akhirat. Setiap daripada kita akan disoal mengenai apa yang kita pernah lakukan di dunia ini.

Justeru, jauhkan diri daripada menjadi orang yang mencintai dunia. Adalah penting untuk melakukan persediaan ke alam seterusnya.

Ingatlah, kehidupan berakhir dengan kematian. Manusia akan dibangkitkan dan bermulalah kehidupan sebenar. Kehidupan yang kekal dan abadi.

Islam adalah agama yang diredhai Allah SWT selaku Yang Maha Pencipta. Sesiapa yang mengambil agama selain Islam, tidak akan diterima dan di hari akhirat termasuk dalam golongan mereka yang rugi.

Berpegang teguhlah kepada ajaran Islam dan usah saling bermusuh-musuhan antara umat Islam.

Pada hari ini, umat Islam memiliki bilangan yang sangat ramai, namun bertelagah semasa sendiri. Perpecahan yang berlaku menyebabkan umat Islam lemah. Pada hari ini, musuh bertindak bukan kerana mereka kuat, tetapi kerana umat Islam itu sendiri yang lemah.

Dapat dilihat negara Islam memiliki hasil bumi yang baik contohnya gas dan minyak, tetapi tidak diurus dengan baik menyebabkan ekonomi negara tidak maju. Memiliki penduduk yang ramai tetapi ada yang menjadi pelarian. Pemimpin dan ulama bertelagah.

Adalah penting untuk umat Islam berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunah. Jadikan membaca al-Quran sebagai satu amalan untuk dilakukan setiap hari. Al-Quran adalah panduan, petunjuk dan mukjizat.

Jika kita tidak membaca Al-Quran, kita boleh dikuasai syaitan. Jadikan membaca ayat Al-Quran sekurang-kurang 10 ayat sehari. Dengan izin Allah, ia akan menjadi nikmat.

Jauhkan memutuskan silaturahim dan elakkan bermusuh-musuhan. Tegakkan amar makruf (menyuruh ke arah kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah daripada kemungkaran).

Jangan gunakan tangan dan lidah untuk menyakiti orang. Hubungkan silaturahim. Berdoalah agar jika wujud ketegangan, hubungan silaturahim dapat diperbaiki.

Jangan juga kita menganiaya saudara sesama Islam. Hadiri majlis ilmu. Jika timbul perasaan dengki kepada saudara sesama Islam, berdoalah untuk kebaikannya. Bantulah dia dalam perkara kebaikan. Dengan izin Allah, hilang perasaan dengki itu.

Menghubungkan silaturahim adalah dituntut dalam agama. Dengan izin Allah, diluaskan rezeki dan dipanjangkan umur dengan bersilaturrahim.

Ingat Allah, Maha Esa. Jangan mensyirikkan Allah atau menyekutukannya dan berdoalah selaku kepada-Nya di saat susah ataupun senang.

Antara waktu dianjurkan berdoa adalah selepas mengerjakan solat fardu. Mintalah pada Allah. Sesungguhnya berdoa kepada Allah benar-benar membantu, memberi ketenangan dan dapat menceritakan masalah yang dihadapi.

Ingatlah, dunia ini tempat diuji dan kita akan mendapat keputusan di dalam kubur kelak.

Khairul Afifi
Shah Alam

Berita Harian X