Sabtu, 25 Julai 2020 | 8:07am

Perkasa internet Sabah, Sarawak elak pelajar, belia tercicir

MERUJUK kepada pelaksanaan Pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dalam teks perutusan Perdana Menteri yang diumumkan baru-baru ini.

Secara perinciannya saya tertarik dengan perkara 25 hingga 30 yang menyasarkan pemberian peluang pekerjaan kepada penganggur dan belia menerusi Program Insentif Pengambilan Pekerja dengan kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion bagi membantu kira-kira 300,000 pencari kerja.

Kebolehupayaan kemahiran dalam kalangan belia dan golongan menganggur juga diberi perhatian khusus oleh kerajaan dengan memperuntukkan RM2 bilion menerusi Program Latihan dan Penempatan dan Program Peningkatan Kemahiran yang mampu memberikan manfaat kepada lebih 200,000 belia serta penganggur.

Dalam mengharungi normal baharu, ramai peniaga dan usahawan belia bimbang, terutama berkenaan isu kelangsungan perniagaan mereka menerusi pemasaran produk atau perkhidmatan kemahiran.

Sesungguhnya hikmah di sebalik penularan wabak COVID-19 memaksa belia untuk menguasai kemahiran pemasaran dalam talian dan ia berjalan begitu baik.

Isu pengangguran dalam kalangan belia sememangnya amat meruncingkan semua pihak terutama dalam konteks pembentukan masa hadapan negara yang lebih maju dan gemilang.

Belia berkemahiran sama ada bekerja dengan majikan ataupun bekerja sendiri begitu terkesan kepada perlumbaan pemasaran digital yang tentu memberikan kesan sangat mendalam.

Bagaimanapun, kerajaan perlu memastikan tiada keciciran dalam angka sebenar belia yang menganggur terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah serta Sarawak.

Program Peningkatan Kemahiran perlu dilaksanakan secara holistik dan tidak spesifik kepada bidang tertentu agar semua bidang kemahiran atau bidang lain dapat diselaraskan dalam inisiatif kerajaan membantu belia dan mereka yang menganggur.

Langkah kerajaan melaksanakan Program Latihan dan Penempatan melalui kursus jangka pendek di institusi terpilih, sememangnya tepat dan relevan agar kemahiran dapat dilonjakkan melalui tenaga pengajar profesional dan berkemahiran tinggi.

Penambahbaikan sistem pemilihan pelajar perlu diperketatkan dan kerajaan boleh memperkenalkan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengesan keberadaan belia berkemahiran rendah dan memiliki pengkhususan diinginkan.

Peningkatan kemahiran dalam industri penting seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sudah tentu memberikan impak besar kepada belia di kawasan pedalaman yang mempunyai tahap pendidikan rendah dan kurang tenaga pengajar, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Namun, kerajaan perlu memberi perhatian khusus berkenaan capaian jalur lebar di Sabah dan Sarawak yang masih lemah dan agak ketinggalan.

Tidak ada gunanya PENJANA dilaksanakan, tetapi tidak dapat dinikmati semua lapisan masyarakat di Sabah dan Sarawak, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Selain itu, bantuan kepada perusahaan mikro menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) dan TEKUN Nasional perlulah dilonggarkan syarat kelayakannya agar hasrat kerajaan membantu rakyat tercapai.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan PENJANA memberi impak positif khususnya kepada belia.

Harapnya belia di Sabah dan Sarawak tidak akan terlepas atau tercicir daripada menikmati inisiatif kerajaan.

Azuwan Marjan,
Pengerusi Jawatankuasa Belia Borneo Majlis Belia Malaysia (MBM)

Berita Harian X