Sabtu, 25 Julai 2020 | 8:00am
Kepatuhan rakyat terhadap SOP dalam menjalani kehidupan normal baharu adalah faktor utama melawan COVID-19. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Kepatuhan rakyat terhadap SOP dalam menjalani kehidupan normal baharu adalah faktor utama melawan COVID-19. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Pematuhan SOP pupuk konsep kendiri positif

KITA kini melalui kehidupan normal baharu seiring fasa pemulihan kes COVID-19. Di mana sahaja kita perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) diwartakan kerajaan untuk melawan pandemik itu.

Rasa tertekan dan rimas pastinya dirasai. Namun sedarkah yang secara tidak langsung kita melalui fasa peningkatan konsep kendiri ke arah yang lebih baik.

Setiap individu mempunyai konsep kendiri masing-masing. Apa yang kita faham dengan maksud konsep kendiri? Bagaimana kita menggambarkan diri kita sendiri?

Secara ringkas, suatu gambaran atau pandangan mengenai kita sendiri sama ada secara positif atau negatif inilah membawa maksud konsep kendiri. Konsep kendiri positif adalah gambaran imej kendiri, tingkah laku yang baik, terpuji, tidak menyalahi undang-undang, bermotivasi dan sebagainya.

Selain itu, kita mampu mengawal sebahagian besar tingkah laku sendiri.

Dalam hal mematuhi SOP, daripada anak kecil hingga warga emas harus menitikberatkan prosedur ini.

Jika kita lihat dari setiap amalan SOP, ia secara tidak langsung memupuk konsep kendiri positif dalam setiap individu.

Sebelum ini, kita berlumba-lumba untuk masuk ke pasar raya atau tempat awam. Kini, kita harus beratur dengan menjarakkan diri satu meter. Memang terasa amat lambat, tetapi ini dapat memupuk diri agar lebih bersabar dan menghormati orang lain yang beratur sama dengan kita.

Justeru, ini tentu melahirkan sikap sabar dan prihatin dalam aspek mematuhi penjarakan sosial dalam diri setiap rakyat Malaysia.

Penggunaan pembersih tangan dengan kerap dapat mengingatkan kita kepada kepentingan menjaga kebersihan diri untuk mengelak jangkitan.

Malah dengan memakai pelitup muka apabila keluar dari rumah, kita sendiri secara tidak langsung membuang sikap ego untuk sama-sama berhias pelitup muka seperti orang lain.

Namun, apa yang kita tidak sedar, kita sedang memupuk konsep kendiri positif dan menjaga imej kendiri lebih baik. Berhias diri dengan memakai pelitup muka demi konsep 'kita jaga kita'.

Kini ke mana sahaja kita pergi, perlu diperiksa suhu dan menulis butir diri. Inilah antara normal baharu yang kita perlu lalui kini. Malah, sebelum masuk ke kedai runcit, kedai makan dan stesen minyak, ini jugalah yang perlu kita lakukan.

Kita mengingatkan diri, hanya suhu yang ditetapkan sahaja dibenarkan masuk ke premis. Dengan kata lain, kita lebih berhati-hati menjaga kesihatan diri sendiri.

Ada dalam kalangan masyarakat yang sebelum ini tidak biasa menggunakan kod QR sebagai satu kaedah untuk merekod butiran peribadi, mula belajar dan jadi mahir seperti orang lain.

Begitu juga jika menulis butir diri melalui kod QR atau buku, tanpa kita sedar, kita sedang memupuk sikap bertanggungjawab dengan butiran yang ditulis.

Sebagai contoh, pembukaan semula sekolah dengan normal baharu yang mempraktikkan SOP, membina disiplin yang tinggi dan memupuk konsep kendiri positif dalm kalangan pelajar sekolah.

Akhirnya, kepatuhan rakyat terhadap SOP dalam menjalani kehidupan normal baharu adalah faktor utama melawan COVID-19.

Jadikan SOP dilaksanakan kerajaan itu sebagai normal baharu kehidupan kita. Kes COVID-19 belum berakhir. Kita tidak boleh bersikap tidak endah dengan kepatuhan SOP ini.

Sama-samalah 'kita jaga kita' bagi melawan penularan kes COVID-19 di negara kita ini.

Dengan amalan SOP ini, kita sendiri berjaya membina dan memupuk konsep kendiri positif dalam diri masing-masing.

Dr Rafidah Abd Karim,
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA

Berita Harian X