Selasa, 21 Julai 2020 | 10:30am

Belia mesti manfaatkan inisiatif PENJANA

Pembinaan belia yang sejahtera seharusnya menjadi agenda yang mendapat perhatian umum semua pihak. Kelangsungan belia yang produktif akan melahirkan kumpulan masyarakat yang mampu berdaya saing dan hidup sejahtera.

Justeru, kemiskinan melanda mengubah landskap pembangunan belia yang sebaiknya. Belia yang dilanda kemiskinan sukar untuk bersaing dan menempatkan diri dalam kalangan masyarakat seperti insan yang lain.

Kebelakangan ini, impak pandemik COVID-19 dan isu kemiskinan belia mendapat perhatian masyarakat terutama pihak kerajaan serta ahli ekonomi. Ditambah pula jumlah pengangguran yang meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei lalu, mendorong lebih banyak perdebatan ahli politik dan masyarakat awam.

Menurut Jabatan Perangkaan, sejumlah 826,000 orang tidak bekerja setakat Mei lalu. Ini berbanding kadar pengangguran negara sebanyak lima peratus yang dicatatkan April tahun ini.

Secara umumnya, kemunculan isu kemiskinan belia disebabkan beberapa faktor utama, antaranya pendidikan, faktor kerajaan dan keluarga.

Pelbagai pendekatan diperlukan sekiranya ingin mengatasi cengkaman kemiskinan. Beberapa kajian lalu membuktikan faktor pendidikan salah satu faktor yang tidak boleh disisihkan dalam usaha mengurangkan kemiskinan belia.

Apabila seseorang belia mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi, keupayaannya dalam mendapat peluang pekerjaan adalah lebih tinggi dan turut menjamin pendapatan lebih lumayan.

Pemerkasaan belia dalam pendidikan penting dengan menyediakan lebih banyak peluang ke arah itu, tidak hanya membabitkan pendidikan formal, tetapi turut membuka peluang kepada yang tidak formal.

Ini penting untuk memberi peluang kepada golongan yang tercicir pendidikan mendapatkan tempat dalam memperkayakan ilmu pengetahuan dan kemahiran, bagi memperluaskan akses kepada peluang pekerjaan yang lebih baik.

Selain itu, sokongan dan bantuan pembiayaan pendidikan lebih sistematik serta meluas harus diperkenalkan bagi membantu golongan miskin bandar terutama belia untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Hal ini harus diperhalusi dengan melihat kepada jumlah pendapatan minimum yang diperoleh agar tidak berlaku pengecualian sosial dalam kalangan miskin bandar.

Penerapan pendidikan terhadap potensi keusahawanan dalam menjana pendapatan dan pembinaan jaminan kehidupan yang baik harus diterapkan dengan lebih meluas pada peringkat sekolah sehingga universiti agar ilmu keusahawanan boleh disemai dan dipupuk seterusnya membantu kepada penjanaan ekonomi yang baik kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Pembabitan politik dalam merangka dasar yang lebih berfokuskan isu kemiskinan bandar harus diperhebatkan supaya isu berkenaan dapat diatasi dengan lebih berkesan.

Masih tidak terdapat dasar yang secara khusus memberi fokus kepada isu kemiskinan bandar, selain dasar kemiskinan negara secara total.

Majlis Belia Malaysia (MBM) amat memandang positif langkah proaktif kerajaan merencana 40 inisiatif asas dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang menumpukan tiga aspek utama iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

MBM berharap belia di Malaysia dapat mengambil manfaat dalam pelan ini yang dilihat banyak menyentuh soal pembangunan ekonomi generasi muda di Malaysia.

Jufitri Joha,
Presiden Majlis Belia Malaysia

Berita Harian X