Isnin, 10 Jun 2024 | 5:58pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Kaji, bangunkan khazanah tumbuhan, sekuriti makanan negara

SABAN hari kita disajikan dengan kupasan media massa dan media sosial mengenai isu bencana dan perubahan iklim drastik memberi kesan besar kepada alam sekitar.

Ia menjadi fenomena global di seluruh dunia seterusnya menyebabkan kepupusan kepada sumber genetik kepelbagaian biologi membabitkan flora dan fauna di sesebuah negara.

Walaupun Malaysia diiktiraf sebagai antara 17 negara mega untuk kepelbagaian biologi di dunia, situasi ini menjadi cabaran utama dihadapi penyelidik dan pencinta alam semulajadi kerana peningkatan kepupusan.

Ini disebabkan kerakusan dan kepantasan aktiviti manusia mengejar pembangunan serta pemodenan hingga mengancam kelestarian alam sekitar. Proses pembukaan tanah untuk pertanian dan perumahan bagi menangani isu pertambahan bilangan penduduk, isu bencana alam dan perubahan iklim dunia menjadi faktor utama menyumbang kepada kehilangan sumber genetik tumbuhan berkepentingan pertanian di negara ini.

Dianggarkan terdapat lebih 400 spesies tanaman makanan (liar mahupun komersil) di negara ini menghadapi cabaran. Persoalannya, bagaimanakah kita selaku generasi masa kini yang akan mewariskan kepelbagaian biologi dan pertanian ini terutama untuk spesies liar masih belum diterokai manfaatnya kepada generasi masa hadapan jika kadar kepelbagaiannya semakin menyusut mengikut peredaran zaman?

Takungan genetik tanaman pertanian amat bergantung kepada sumber liar untuk meneroka sumber baka baharu mempunyai ketahanan terhadap serangan makhluk perosak, keperluan meningkatkan hasil dan nilai nutrisi diperlukan manusia untuk kekal sihat dan bertenaga.

Ini membabitkan proses pembaikbakaan menggunakan sumber baharu ini. Oleh itu, peri pentingnya usaha kepelbagaian suber genetik pertanian, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui MARDI melaksanakan tanggungjawab penyelidikan bagi meneroka dan memulihara kepelbagaian genetik tumbuhan supaya manfaatnya dapat diterokai dan digunakan untuk kepentingan penyelidikan dan pendidikan negara pada ketika ini serta untuk masa hadapan.

Penyelidikan membabitkan aktiviti pengumpulan koleksi sumber genetik untuk pemuliharaan dilakukan sejak 1960-an terutama untuk tanaman padi dan berkembang untuk tanaman lain (buah-buahan nadir dan herba) bermula awal 1980-an.

Sumber genetik tumbuhan ini mempunyai nilai khasiat tersendiri dan untuk itu, penerokaan sebatian kimia bermanfaat untuk kesihatan dan perubatan turut dilaksanakan menerusi kajian fitokimia dan penilaian biologi serta praklinikal.

Herba, buahan liar dan koleksi padi dikaji

Ia turut membabitkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk makanan dan suplemen. Warisan genetik pertanian seperti herba ubatan, buah-buahan liar, tanaman keladi dan umbisi, koleksi padi ini dikumpul dari serata pelusuk negeri dan hutan simpan, kemudiannya dicirikan morfologinya sebelum dipulihara dan ditanam secara ex situ di lapangan dipanggil germplasma, iaitu stesen MARDI seperti di Serdang, Jelebu, Sintok, Kemaman, Jerangau dan Seberang Perai.

Kajian awal mengenai pemuliharaan alternatif buah-buahan nadir juga sedang dilaksanakan agar dapat meningkatkan nilai penyelidikan, selain boleh dijadikan sebagai usaha alternatif pemuliharaan secara lapangan yang sememangnya memerlukan kos penyelenggaraan tinggi saban tahun.

Kementerian juga memperuntukkan dana bagi penubuhan Bank Gen Kebangsaan Agromakanan (MyGenebank) dibuka sejak 2014 untuk memulihara khazanah sumber genetik ini.

Di samping itu, Bank Gen Padi Kebangsaan di Seberang Perai mula beroperasi sejak 1980-an. MARDI turut mempunyai koleksi herbarium yang dapat menyimpan koleksi kering tanaman sebagai rujukan penyelidikan dan pendidikan.

Usaha sama penyelidikan dan pembangunan serta operasi turut membabitkan agensi antarabangsa melalui jaringan kerjasama bersama Kew Gardens, Global Crop Diversity Trust, Bioversity International, International Rice Research Institute (IRRI), Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FOA) dan banyak lagi agensi antarabangsa berkaitan.

Ini dapat membuka lebih banyak peluang penyelidikan untuk memastikan kekayaan sumber genetik di negara ini dapat digunakan semaksimum mungkin supaya cabaran menguruskan isu hakisan genetik ini dapat ditangani dengan baik, demi kelestarian sektor pertanian dan keterjaminan makanan untuk masa hadapan.

Selain itu, penyelidikan dan pemuliharaan warisan sumber genetik ini juga mendapat sokongan daripada KPKM baik dari segi pelaksanaan mahupun peruntukan kewangan.

Persidangan bincang sekuriti makanan

Dalam menilai status semasa dan penggunaan kepelbagaian sumber genetik tumbuhan ini, MARDI akan menganjurkan persidangan 2nd Regional Conference on Agrobiodiversity Conservation and Sustainable Utilization (RAC2) 2024.

Fokus utama persidangan ini adalah membincangkan kepentingan sekuriti makanan melalui eksplorasi dan konservasi sumber agrobiodiversiti serta mitigasi perubahan iklim untuk kelestarian pertanian.

Objektif persidangan termasuk mewujudkan satu forum peringkat kebangsaan, global dan institusi antarabangsa terpilih bagi bertukar maklumat dengan kumpulan pakar berkaitan agrobiodiversiti.

Selain itu, persidangan juga bertujuan mewujudkan platform perkongsian pengetahuan dan pengalaman, kerjasama dan strategi pembangunan masa hadapan dalam menangani cabaran global seperti keselamatan makanan, perubahan iklim, kawalan biologi dan pertanian mampan.

Ia juga menyediakan peluang kepada pakar serantau untuk mengetengahkan dan menilai peranan agrobiodiversiti serta mengenal pasti penggunaan lestari sumber berpotensi.

Untuk keterangan lanjut berkenaan penganjuran RAC 2024 ini, sila hubungi Pengarah Pusat Penyelidikan Agrobiodiversiti dan Alam Sekitar MARDI, Dr Mohd Shukri Mat Ali di talian +603-8953 6300 atau e-mel [email protected].

Berita Harian X