Jumaat, 7 Jun 2024 | 12:52pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Ekosistem mesra buku jadikan Malaysia hab penerbitan

Kadar membaca rakyat negara ini meningkat dari semasa ke semasa, namun masih sederhana atau belum memuaskan. Menurut Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia dijalankan Perpustakaan Negara (PNM), warga kita hanya membaca dua buku setahun pada 2005; 15 naskhah (2014) dan 24 buku (2022).

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 menampakkan banyak perubahan positif rakyat mengenai dunia buku. Bilangan pengunjungnya mencecah 1.8 juta berbanding 1.5 juta pada 2023 dan 1.3 juta (2022).

Lebih menggembirakan, 70 peratus pengunjung ialah anak muda, sekali gus petanda sangat baik ketika dunia didominasi internet dan gajet, masih ramai anak muda mengunjungi pesta buku.

PBAKL 2024 dirasmikan sendiri Perdana Menteri, iaitu tahun kedua berturut-turut. Bukan itu sahaja, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan baucar buku RM100 kepada pelajar seawal Tahun Empat hingga ke universiti.

Ia juga menyaksikan begitu ramai menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen turut hadir melancarkan pelbagai judul buku sepanjang 10 hari penganjurannya.

Peminat buku atau 'bibliophile' sering dilihat sebahagian besar mewakili golongan pertengahan ke atas. Sudah pasti kedai buku besar seperti Kinokuniya, MPH dan Borders bukanlah tempat selalu dikunjungi warga B40 atau berpendapatan rendah.

PBAKL inilah membuka peluang semua lapisan rakyat membeli buku dengan pelbagai pilihan dan tawaran bersesuaian kemampuan. Sememangnya gembira melihat suasana inklusif dengan keseronokan anak muda dan kecil serta tua muda mewarnai ruang di keseluruhan pelosok reruai dan pentas utama.

Harus diingat PBAKL bukan hanya eksklusif kepada peminat buku, bahkan semua lapisan masyarakat. Suasana sebegini nampak lebih meriah dan merakyat. Jika ada tidak selesa atau terganggu, anggap dan layanlah suasana itu sebagai realiti menyelami nadi hidup masyarakat.

Mungkin sampai masanya, konsep PBAKL disebarluaskan dan dianjurkan di seluruh negeri untuk memberikan akses lebih besar kepada semua lapisan masyarakat kepada dunia buku.

Suasana juga kian berubah. Kebiasaannya artis menjadi tumpuan peminat, tetapi PBAKL menyaksikan ada penulis seumpama selebriti diserbu peminat dan berebut mendapat autograf. Penulis baharu dan lama menjadikan PBAKL antara platform bertemu peminat dan pembaca karya mereka.

Penulisan buku bukan lagi sekadar hobi atau sampingan, malah ada penulis menjadikannya profesion dan memperoleh pendapatan baik menerusi royalti serta keuntungan jualan.

Kemunculan pendatang baharu dunia penulisan dalam pelbagai genre fiksyen dan bukan fiksyen membuktikan dunia penulisan semakin mendapat liputan masyarakat dan menawarkan peluang pendapatan baik.

Buku tempatan berkualiti antarabangsa

Saya juga ingin menyentuh tanggapan mengenai 'keantarabangsaan' dikaitkan kehadiran penerbit antarabangsa. Ada mempersoalkan 'keantarabangsaan' PBAKL dengan melihat jumlah penerbit antarabangsa.

Saya berpandangan kita perlu menilai semula maksudnya bukan hanya melihat kehadiran penerbit antarabangsa, tetapi aspek lain. Saya mendapati banyak buku terbitan tempatan berstatus dan berkualiti antarabangsa.

Penerbit Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dan University Press menerbitkan buku mempunyai citra keantarabangsaan, malah ada lebih baik daripada buku terbitan penerbit antarabangsa.

Bukan semua buku terbitan antarabangsa berkualiti, sebaliknya ada juga biasa-biasa sahaja. Maka, keantarabangsaan itu dilihat dari perspektif lebih inklusif dan terangkum dengan mengiktiraf karya terbitan tempatan berkualiti antarabangsa.

Antara genre buku mendapat sambutan tinggi adalah berunsur agama. Begitu banyak buku agama dalam pelbagai bidang diterbitkan merangkumi travelog, novel, motivasi, ibadat, fiqh, pemikiran, bahasa dan sejarah.

Terdapat penerbit lama dan baharu, individu serta syarikat mahupun agensi kerajaan dan swasta. Agensi agama juga giat menerbitkan karya seperti Jabatan Mufti, majlis agama Islam negeri, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Walaupun terdapat banyak penawaran daripada pelbagai penerbit, buku agama terus mendapat sambutan menggalakkan. Ini menunjukkan trend beragama dan minat mendapatkan bahan rujukan berkenaan terus subur dan menjadi pilihan, terutama umat Islam. Bahkan penulis buku agama juga menjadi tumpuan dan semakin popular. Asatizah minat menulis dan menerbitkan karya mendapat tempat istimewa di hati pembaca dan sering dirujuk dalam pelbagai perkara.

Di samping positif melihat perkembangan dunia buku meningkat naik, terutama menerusi trend dan perkembangan PBAKL2024, soalnya apakah langkah selepas ini? Apakah usaha dan idea perlu dilaksanakan untuk mewujudkan masyarakat Malaysia berbudaya membaca?

Malaysia perlu muncul sebagai negara membaca dengan kegiatan perbukuan hebat. Menjadikan Malaysia sebagai hab buku adalah penting dan ini sangat bergantung kepada kualiti, kuantiti, kepelbagaian inisiatif syarikat penerbitan serta pendidikan sekolah dan universiti.

Malaysia memerlukan persekitaran mesra buku dengan penganjuran acara dan program berserta kewujudan kedai buku, perpustakaan serta pusat kebudayaan menyokong ekosistem perbukuan ini.

Bagi maksud ini, kerajaan perlu bergandingan dengan sektor swasta dan juga sektor ketiga, iaitu sukarela atau organisasi masyarakat sivil. Kerajaan boleh memberi insentif kepada penulis dan penerbit, termasuk pihak terbabit dalam ekosistem penerbitan seperti penyunting, penterjemah serta pereka bentuk buku.

Pembabitan sektor korporat dan perniagaan, termasuk sektor organisasi masyarakat sivil menyumbang kepada penerbitan serta penyelidikan juga amat penting. Kedua-dua sektor ini tulang belakang pemerkasaan budaya membaca menerusi penghasilan karya penting bermutu tinggi.

Malaysia perlu mempergiatkan lagi aktiviti penterjemahan karya agung dan terkini, termasuk menerbitkan karya baharu berkualiti hasil penyelidikan kemas serta berkualiti.

Kegemilangan tamadun Islam ketika era Abbasiyah dan Andalus menyaksikan pencapaian dunia keilmuan hebat. Baitul Hikmah dan Khizanatul Hikmah termasuk pusat keilmuan di Cordoba menghasilkan ratusan ribu karya hebat pelbagai bidang hasil sokongan pemerintah serta hartawan.

Justeru, Malaysia MADANI mesti berpaksikan budaya ilmu. Aspirasi dan hasrat Perdana Menteri hanya akan dapat dicapai sekiranya budaya ilmu dapat diasimilasikan dalam masyarakat.

Pembudayaan ilmu pula perlu bermula dengan budaya membaca. Ia tidak boleh berlaku automatik atau sekadar slogan, tetapi memerlukan usaha berterusan serta menyeluruh.

Sampai masanya Malaysia memfokuskan sektor perbukuan dengan menjadi hab buku menerusi penerbitan, penterjemahan, penganjuran acara berkaitan, pewujudan kedai buku dan perpustakaan hebat serta aktivisme dunia keilmuan.

Pasaran dan masyarakat perlu 'dibanjirkan' dengan karya dan penerbitan bermutu tinggi. Ini memerlukan sokongan dan ekosistem dunia keilmuan menyeluruh. PBAKL hanya sebahagian kecil usaha ini. Ia memerlukan komitmen, keazaman dan perancangan strategik daripada semua sektor dalam negara, iaitu kerajaan, swasta dan organisasi masyarakat sivil termasuk wakaf.

Penulis adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Berita Harian X