Khamis, 6 Jun 2024 | 8:42am

Pendidikan seksual sistematik benteng lindungi kanak-kanak

PERLU diakui kes jenayah atau amang seksual membabitkan kanak-kanak semakin meningkat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan sekali gus menimbulkan persoalan mengapa golongan ini menjadi sasaran berbanding orang dewasa.

Hari ini, kes jenayah dan amang seksual kanak-kanak bukan satu perkara baharu. Bagaimanapun peningkatan kes amang seksual kanak-kanak boleh dikaitkan dengan meningkatnya kesedaran masyarakat terhadap jenayah ini.

Oleh itu, stigma membelenggu isu ini dapat dipatahkan dan lebih ramai ibu bapa, guru serta penjaga kepada kanak-kanak berani tampil ke hadapan untuk melaporkan kejadian sedemikian.

Terdapat banyak faktor pelaku menyasar kanak-kanak, seperti dari segi kerentanan kanak-kanak. Kira-kira 90 peratus pelaku adalah individu dikenali kanak-kanak.

Ini bermakna, pelaku berada dalam lingkaran kepercayaan kanak-kanak dan rasa kepercayaan ini digunakan untuk memanipulasi kanak-kanak.

Justeru, jika kanak-kanak tidak diajar perbezaan di antara sentuhan baik dan tidak baik, mereka tidak akan faham apa yang berlaku ke atas mereka adalah jenayah, apabila dilakukan orang mereka percayai.

Ini adalah salah satu punca penderaan seksual kadangkala lambat dikesan. Kanak-kanak ditakutkan dan dikawal dengan ancaman pelaku.

Terdapat dakwaan penggunaan telefon pintar, peranti tanpa kawalan ibu bapa menyumbang besar jenayah ini. Namun, jawapannya adalah ya dan tidak.

Sama seperti berada dalam lingkaran dewasa yang kanak-kanak percayai, pelaku mungkin mendapat kepercayaan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu. Maka situasi ini memberikan mereka ruang lebih mudah untuk menghampiri kanak-kanak itu.

Namun begitu, kita tidak boleh mengabaikan hakikat internet dan teknologi mewujudkan akses terus kepada kanak-kanak tanpa sebarang halangan, lebih-lebih lagi ini menjadi lebih teruk jika penjaga gagal memantau aktiviti dalam talian kanak-kanak

Penggunaan internet dan peranti teknologi semakin meluas memberikan platform kepada pelaku untuk berinteraksi dengan kanak-kanak tanpa perlu melalui ahli keluarga. Pelaku menggunakan media sosial, aplikasi mesej dan permainan dalam talian untuk membina perhubungan dengan kanak-kanak, sebelum mengeksploitasi mereka.

Internet juga memberi ruang kepada pelaku untuk menggunakan identiti palsu, membolehkan mereka bersembunyi dan melakukan kegiatan ini secara berleluasa tanpa dikesan untuk jangka masa lama lebih banyak kanak-kanak menjadi mangsa.

Lazimnya, kanak-kanak tidak memahami risiko berinteraksi dengan orang luar, khususnya dalam talian. Mereka mungkin menyangka bercakap dengan seseorang dalam talian adalah selamat kerana ia tidak membabitkan hubungan fizikal.

Tanpa disedari mereka mungkin terperangkap dalam manipulasi pelaku. Malangnya, mereka tidak tahu cara menghindari atau melindungi diri daripada risiko amang seksual atau mendapatkan bantuan apabila diperlukan.

Maka, pendekatan pendidikan seksual sistematik dan bersesuaian mengikut umur dapat membantu melindungi kanak-kanak daripada jenayah amang atau penderaan seksual.

Ia juga mencipta ruang bagi pengesanan awal jenayah seksual atau membantu kanak-kanak mendedahkan kejadian berlaku. Pendedahan jenayah ini perlu menerusi kurikulum pendidikan dan harus bermula di peringkat prasekolah.

Kanak-kanak pada umur ini perlu diajar asas keselamatan diri, termasuk keselamatan bahagian tubuh dan alat sulit. Mereka perlu dibantu memahami perbezaan antara sentuhan baik dan tidak baik serta cara untuk mendapatkan bantuan daripada orang mereka mempercayai.

Pengajaran ini perlu diteruskan pada peringkat sekolah rendah untuk meningkatkan pemahaman dan pembelajaran mereka. Selain itu, keselamatan siber serta cara melindungi diri dalam persekitaran digital, perlu ditambah.

Awasi aktiviti luaran kanak-kanak

Selain kanak-kanak, guru juga perlu dilatih cara penyampaian atau pengajaran maklumat sensitif dengan tepat. Pengajaran secara interaktif seperti perbincangan dalam kumpulan, bantuan audio visual dan permainan boleh digunakan untuk membantu kanak-kanak memahami maklumat ini dengan lebih baik.

Ibu bapa juga perlu dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan jenayah seksual, cara menyampaikan maklumat ini kepada anak-anak dan mengendalinya.

Lebih penting, ibu bapa perlu mengambil langkah proaktif untuk mendidik diri mereka mengenai isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan tindakan boleh diambil untuk melindungi anak mereka.

Ia menuntut komunikasi secara terbuka mengenai keganasan seksual serta membina kepercayaan anak supaya apabila sesuatu kejadian mencurigakan berlaku, anak berasa selesa berkongsi dengan mereka.

Selain itu, ibu bapa perlu mengawasi aktiviti luaran dan dalam talian anak-anak mereka. Pihak sekolah dan pendidik turut berkewajipan untuk memastikan keselamatan kanak-kanak serta melaporkan kejadian mencurigakan.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran komuniti terhadap isu ini melalui program kesedaran dan kempen.

Seperkara yang kadang terlepas pandang, penyedia platform teknologi juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kanak-kanak dilindungi daripada eksploitasi dan penderaan dalam talian.

Ini termasuk mengutamakan pembangunan alat dan perisian mampu melindungi kanak-kanak daripada jenayah serta melaporkan kandungan atau interaksi mencurigakan.

Aspek akhir yang paling penting adalah undang-undang perlindungan kanak-kanak perlu diperkukuhkan mengikut trend jenayah semasa dan dipantau pelaksanaannya.

Pegawai penguat kuasa perlu didedahkan ilmu berkaitan jenayah seksual dan dilatih dengan pelbagai teknik untuk mencungkil maklumat jika berlaku kes seumpamanya mengikut peringkat perkembangan usia kanak-kanak.

Penulis adalah Ketua Bahagian Pemerkasaan dan Kepimpinan Wanita, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang

Berita Harian X