Isnin, 27 Mei 2024 | 8:54am
- Foto hiasan mahkamah
- Foto hiasan mahkamah

Guna pendekatan harmoni selesai polemik tukar agama anak

POIEMIK isu penukaran agama anak dan tuntutan hak penjagaan anak daripada pasangan yang asalnya berkahwin di bawah undang-undang sivil, kemudian salah satunya memeluk agama Islam masih tidak berkesudahan walaupun setelah pindaan dilakukan terhadap Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164).

Rang Undang-Undang (RUU) Akta 164 diluluskan Dewan Rakyat pada 9 Ogos 2017 dan Dewan Negara (21 Ogos). Umumnya, RUU ini mencadangkan hak memfailkan petisyen perceraian haruslah diberikan kepada pasangan menukar agama di bawah subseksyen 51(1) Akta 164. Sebelum ini, hak berbuat demikian seperti diperuntukkan di bawah Akta 164 hanya diberikan kepada pasangan kekal dalam agama asal.

Pada 10 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail membenarkan rayuan ibu tunggal beragama Hindu dikenali sebagai Loh Siew Hong berhubung pertukaran agama Islam oleh bekas suaminya ke atas anak perempuan kembarnya berumur 15 tahun dan seorang anak lelaki berumur 12 tahun.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 14 Mei lalu menolak permohonan kebenaran rayuan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan Perlis. Maka, keputusan sebulat suara itu menyaksikan agama ketiga-tiga kanak-kanak itu kekal sebagai Hindu seperti ditunjukkan dalam sijil kelahiran mereka.

Kes ini terjadi apabila bekas suami Siew Hong, Muhammad Nagashwaran Muniandy memeluk Islam, kemudian mengislamkan anak mereka tanpa persetujuan wanita berkenaan pada 2020.

Menurut Hakim Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei 2023 menolak semakan kehakiman Siew Hong untuk membatalkan penukaran agama anak itu terkhilaf kerana tidak mempertimbangkan dua isu kritikal.

Pertama, jika penukaran agama secara unilateral itu sah dan kedua, sama ada enakmen negeri Perlis - iaitu Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri 2006 - membenarkan ibu atau bapa untuk mengislamkan anak adalah sah kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Hak penjagaan dua anak berkenaan diberikan kepada ibu kandungnya, iaitu Siew Hong. Apa yang menjadi isu sebelum ini, apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan MAIPs untuk memberikan pendidikan asas Islam kepada tiga kanak-kanak mualaf diletakkan di bawah jagaan Siew Hong selepas mahkamah mendapati permohonan MAIPs tidak mempunyai merit.

Dalam sesi temu bual dilakukan, kanak-kanak terbabit juga menyatakan ingin tinggal bersama ibu mereka dan tidak berminat kekal sebagai penganut Islam.

Dalam kes berkenaan, Mahkamah Rayuan menyatakan badan kehakiman terikat dengan keputusan penting pada 2018 membabitkan penukaran agama Islam secara sepihak ke atas anak guru tadika, Indira Gandhi.

Dalam keputusan mahkamah tertinggi negara, iaitu Mahkamah Persekutuan, adalah diputuskan persetujuan kedua-dua ibu dan bapa diperlukan untuk penukaran agama anak bawah 18 tahun, mengikut perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 12(4) menyebut 'ibu bapa atau penjaga' hendaklah menentukan agama kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Nampaknya sehingga kini, masih berlaku kemelut pengislaman anak pasangan berlainan agama dan kes terbaharu Siew Hong mengesahkannya. Dalam masyarakat berbilang kaum, isu penentuan agama dan hak penjagaan anak sering menjadi perbahasan apabila salah satu pihak yang perkahwinannya didaftarkan di bawah Akta 164 memeluk Islam.

Pemelukan Islam oleh salah seorang pasangan ini menjadi asas kepada pembubaran perkahwinan. Bagi pihak beragama Islam, penentuan oleh mahkamah syariah, manakala bagi pihak bukan Islam oleh mahkamah sivil.

Isu terjadi adalah apabila salah satu pasangan daripada perkahwinan sivil memeluk Islam dan menukarkan agama anaknya secara sepihak.

Keadaan menjadi lebih kompleks apabila wujud peruntukan berbeza antara negeri mengenai keperluan keizinan ibu dan/atau bapa dalam penukaran agama kanak-kanak bawah 18 tahun.

Bagi Selangor, keperluan persetujuan kedua-dua ibu bapa perlu tetapi bagi Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan cukup dengan persetujuan salah satu daripada ibu atau bapa.

Dalam undang-undang Islam pula, fuqaha berijmak apabila kedua-dua ibu bapa memeluk Islam, secara automatik agama kanak-kanak bawah umur juga adalah Islam.

Permasalahan timbul apabila salah satu pihak memeluk agama Islam, tetapi pihak satu lagi kekal sebagai bukan Islam membawa perbincangan menarik dalam perbahasan fiqh.

Fuqaha berijmak agama seseorang kanak-kanak adalah mengikut ayahnya beragama Islam. Ini termasuk apabila bapanya memeluk agama Islam. Namun, pandangan majoriti daripada mazhab Hanafi, Shafie dan Hanbali berpendapat agama bagi kanak-kanak mengikut pihak memeluk Islam tanpa mengira ibu atau bapa.

Bagaimanapun, mengikut mazhab Maliki, agama seseorang kanak-kanak mengikut bapanya jika bapa memeluk Islam kerana identiti dan keturunan nasab melalui bapa.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-87 pada 25 Jun 2009 memutuskan apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak di bawah umur adalah mengikut Islam dan hak penjagaan anak tersebut hendaklah diletak di bawah ibu atau bapa beragama Islam. Keputusan fatwa ini diikuti Sabah, Sarawak dan Pahang.

Oleh itu, sukacita penulis ingin mencadangkan empat pendekatan harmoni dalam menangani kes ini.

Pertama, dalam melaksanakan peruntukan pindaan Akta 164 (2017), penubuhan satu jawatankuasa dengan mengetengahkan proses mediasi dapat diusahakan. Pendekatan ini tidak memerlukan pindaan undang-undang kerana ia boleh dibuat secara pentadbiran.

Panel dilantik mestilah daripada pihak beragama Islam dan bukan Islam. Dengan adanya pihak ketiga dalam tribunal ini, diharapkan ia dapat menyelesaikan kemelut ini.

Kedua, menubuhkan Mahkamah Keluarga Khas di bawah Mahkamah Sivil dengan penubuhan jawatankuasa khas yang ahlinya terdiri daripada tokoh arif dalam kedua-dua bidang, iaitu undang-undang sivil dan syariah.

Ketiga, Hakim Mahkamah Sivil hendaklah bersidang dengan Hakim Mahkamah Syariah apabila kes mengenai undang-undang Islam dibangkitkan dalam Mahkamah Sivil.

Keempat, Hakim Mahkamah Syariah boleh dipinjamkan ke Mahkamah Sivil apabila ada keperluan. Sedikit pindaan perlu dibuat kepada Perkara 122B dan 123 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Meskipun begitu, penulis dan semua pihak harus menunggu cadangan terbaik bagi merungkai kemelut ini oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditubuhkan melalui MKI.

Penulis adalah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X