Isnin, 20 Mei 2024 | 11:36am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Wujudkan dasar 'ekonomi perak' urus bakal warga emas

Iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menoktahkan kemiskinan memerlukan pelbagai perancangan dan strategi bermula dengan memperincikan kelompok khusus yang miskin, termasuk dalam kalangan warga emas.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2023 menunjukkan insiden kemiskinan mutlak bagi ketua isi rumah (KIR) berumur 65 tahun ke atas sebanyak 6.7 peratus dengan 0.2 peratus dalam kategori miskin tegar dan miskin (6.5 peratus).

Insiden kemiskinan relatif KIR berumur 65 tahun ke atas pula 42 peratus. Statistik ini belum termasuk KIR miskin warga emas dalam kategori umur 61 hingga 64 tahun dan warga emas menjadi ahli isi rumah (AIR) dalam keluarga miskin.

Umum pasti menyedari Malaysia akan mencapai status negara tua pada 2030, iaitu 15 peratus rakyat berumur 60 tahun ke atas.

Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2023 merekodkan secara puratanya jangka hayat ketika lahir bagi rakyat ialah 74.3 tahun, iaitu lelaki boleh mencapai 71.8 tahun dan wanita (77.2 tahun).

Statistik ini bertambah secara berganda daripada 7 peratus kepada 14 peratus dalam masa 28 tahun sahaja berbanding negara maju seperti Sweden mengambil masa 112 tahun untuk mencapai statistik sama.

Purata umur semakin tinggi ini memerlukan perhatian serius untuk mengurus kemiskinan warga emas dan menoktahkannya. Realitinya banyak cabaran yang perlu dihadapi kerana umur lanjut adalah sinonim dengan kemiskinan.

Meskipun umur panjang, kesihatan mereka tidak semestinya dalam keadaan baik. Jika hendak terus bekerja sekalipun, mereka tidak lagi mampu berbuat demikian dengan jumlah jam yang panjang atau sama seperti usia sebelumnya atas faktor kesihatan.

Justeru, antara pilihan mereka ialah teruskan hidup bersama dengan ahli keluarga.

Memetik hasil kajian Prof Madya Dr Zumilah Zainalaludin daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), didapati 68.5 peratus warga emas memilih tinggal dengan anak ketika tua dan hanya sebilangan kecil bersama pasangan masing-masing (15.1 peratus); saudara mara (9.1 peratus); bersendirian (5.6 peratus) dan bukan saudara (1.7 peratus).

Namun, data berkenaan bergantung dengan lokasi dengan warga emas lelaki berada di bandar memilih tinggal bersendirian berbanding warga emas miskin di luar bandar, iaitu memilih untuk tinggal bersama anak.

Nada hampir sama disuarakan Lakshwin Muruga daripada Women Of Will (WOW) mendapati warga emas miskin tidak banyak pilihan untuk teruskan hidup, selain dengan ahli keluarga ataupun bersendirian.

Mereka juga tidak banyak pilihan kecuali perlu menjana pendapatan sendiri akibat keperluan rawatan kesihatan.

Berkaitan dengan tinggal bersama anak, dari satu sudut ia tanggungjawab mereka atau keluarga untuk bersama mengharungi hidup.

Namun, kita juga perlu mengambil kira isu penjagaan warga emas. Misalnya, menurut hasil kajian ringkas penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), kemiskinan warga emas menimbulkan isu berkaitan kewangan penjaga dan bebanan penjaga.

Dari sisi pascapekerjaan pula, bagi warga emas mempunyai pekerjaan, tidak semestinya mereka akan hidup selesa semasa bersara, khususnya mempunyai caruman pekerjaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Didapati 71 peratus atau lebih dua pertiga ahli aktif mencarum KWSP berusia 55 tahun dan ke bawah tidak mempunyai dana mencukupi untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

Seramai 6.7 juta ahli atau 51 peratus di bawah umur 55 tahun mempunyai baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun KWSP.

Justeru, mereka hanya akan memperoleh pendapatan persaraan kurang RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun. Lebih malang, menurut Bank Negara Malaysia, 75 peratus pesara menghabiskan simpanan hanya dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas persaraan.

Kita perlu sedar golongan ini masih lagi 'bertuah' kerana masih mempunyai pendapatan selepas bersara. Bagaimana pula warga emas tidak mempunyai wang persaraan selepas mencapai umur 60 dan ke atas?

Sudah pasti mereka perlu terus bekerja dan mengharap ihsan insan lain, sama ada anak, ahli keluarga, sahabat-handai dan keprihatinan kerajaan serta pemegang taruh.

Lebih menyedihkan, kemiskinan warga emas berlaku di penghujung usia, sedangkan hidup mereka sepatutnya lebih tenang dan menikmati hidup pada usia senja.

Kemiskinan ini juga memberi kesan langsung kepada penjagaan kesihatan, sama ada fizikal, psikologi, sosial dan kerohanian.

Berasaskan fakta dan senario begitu, tiga kategori penyelesaian wajar dipertimbang dan boleh dilakukan dalam tiga fasa berbeza, iaitu jangka pendek, sederhana dan panjang.

Penyelesaian jangka panjang memerlukan polisi khas untuk mengurus, menoktah dan membendung kemiskinan secara holistik, termasuk menyentuh secara langsung kemiskinan warga emas dari aspek perundangan, hak, strategi, inisiatif serta kolaborasi.

Juga Malaysia memerlukan polisi berkaitan 'ekonomi perak' yang memberi tumpuan kepada perancangan jangka panjang untuk menguruskan kelompok bakal menjadi warga emas secara sistematik terpandu dengan teknologi serta ekonomi terbaharu.

Perkasa skim insurans, takaful

Dalam jangka sederhana, Malaysia perlu segera mempamerkan polisi perlindungan sosial dan menguatkuasanya. Ini kerana polisi perlindungan sosial akan mampu menjadi arah untuk perlindungan, membasmi dan mencegah kepada berlakunya kemiskinan dalam kalangan warga emas.

Memperkasakan insurans atau takaful warga emas miskin untuk boleh akses kepada semua klinik, hospital kerajaan dan swasta bagi menangani isu beban kepada penjaga warga emas miskin.

Kerajaan perlu serius dalam usaha mewujudkan 'komuniti warga emas miskin' sarat dengan sistem sokongan modal sosial dari aspek aktiviti agresif menjana pendapatan melalui daya keusahawanan, kaunseling, kesihatan dan keagamaan.

Pihak kerajaan wajar mempertimbangkan dalam menyediakan ekosistem perumahan untuk warga emas miskin, sama ada dalam bentuk pemilikan atau sewaan mampu milik.

Ini termasuk memperkasakan ekosistem penjagaan warga emas agar tidak lagi 'dilonggokkan' dalam kawasan tertentu termasuk di kawasan pondok pengajian dengan kelengkapan daif.

Isu warga emas miskin dalam keluarga miskin boleh dibantu dengan mempunyai garis panduan khas dalam penjagaan mereka termasuklah mengandungi insentif khas kepada penjaga.

Insentif ini termasuk dari aspek bantuan kepada penjaga, potongan cukai pendapatan dan waktu kerja penjaga fleksibel. Juga adalah penting dibiasakan dengan elemen pengurusan kewangan dengan memastikan kadar literasi kewangan rakyat secara umumnya dan warga emas secara khususnya untuk menguruskan kewangan dan aset dengan baik agar tidak menjadi miskin atau terperangkap dalam kemiskinan hingga tua.

Penulis adalah Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Berita Harian X