Sabtu, 18 Mei 2024 | 1:40pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Manfaat AI perkasa kompetensi guru harungi era digital

Kompetensi guru digital pada masa kini adalah satu keperluan dalam profesion terutama dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid. Dalam hal ini, penggunaan kecerdasan buatan (AI) wajar dipertimbangkan bagi memperkasa daya saing digital guru, selari dengan tema hari guru tahun ini, 'Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara MADANI'.

Penggunaan AI secara optimum oleh guru secara kendiri adalah satu adaptasi teknologi menekankan aspek PdP membolehkan guru meningkatkan tahap kompetensi mereka dari semasa ke semasa. Mereka dapat mempelajari ilmu baharu berpandukan teknologi AI pada sepanjang masa selari dengan falsafah pembelajaran sepanjang hayat.

Sebagai contoh, teknologi AI dapat membantu guru meneroka ilmu baharu terutama membabitkan aspek pembelajaran secara kendiri yang mana mereka boleh mendaftar dan mempelajari kursus pensijilan dalam talian melalui sistem generatif AI, seterusnya menduduki sistem peperiksaan berdasarkan modul tertentu pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Ia boleh digabungkan menjadi program pengajian untuk bidang atau kurikulum tertentu yang bergantung kepada minat guru terbabit.

Oleh demikian, penguasaan teknologi AI dalam kalangan guru ini dapat melonjakkan kapasiti dan keupayaan guru sebagai cekap serta mahir digital.

Terdapat pelbagai peranan boleh dimainkan teknologi AI di dalam memperkasakan kompetensi digital guru secara kendiri termasuk menyediakan kemudahan keperluan ekosistem pendidikan berpandukan AI dalam melaksanakan tugas seharian untuk meningkatkan mutu PdP.

Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan (KPM) harus memastikan ekosistem pendidikan berpandukan AI dirancang dan dilaksanakan dengan sistematik terutama membabitkan penyediaan infrastruktur dan maklumat digital mampu beroperasi dengan baik lagi lancar.

Sistem pengurusan maklumat dilengkapi dengan kandungan terkini serta mempunyai kawalan berpandukan AI wajar dibangunkan secara 'hands-on' bagi menyimpan maklumat dan kandungan kursus diambil guru serta dapat dicapai secara automatik menggunakan konsep sistem maklumat pemprofilan.

Di samping itu, menerusi sistem berpandukan teknologi AI ini, guru dapat membuat latihan dalam talian dan pra-penafsiran secara kendiri bagi mengetahui peringkat pemahaman mereka pada masa bila-bila masa. Teknik pembelajaran ini juga dikenali sebagai Learning on Demand (LoD).

Seterusnya, pihak berkepentingan juga boleh menggerakkan agenda guru digital berasaskan teknologi AI dengan mengaplikasikan sistem merit atau pemarkahan. Melalui sistem ini, notifikasi dan cadangan dapat diberikan bagi mengelakkan isu terlepas pandang terhadap tugas hakiki mereka melalui SMS, emel dan media sosial.

Terdapat pelbagai isu dan cabaran perlu ditangani semua pihak bagi memastikan pelaksanaan AI dapat meningkatkan kompetensi digital guru secara kendiri.

Dalam hal ini, persediaan infrastruktur berasaskan teknologi AI harus diambil perhatian oleh mereka yang menawarkan perkhidmatan kepada pengguna akhir bagi tujuan promosi serta penawaran perkhidmatan diberikan.

Beri penekanan keselamatan, kerahsiaan data

Perkhidmatan disediakan boleh dicapai melalui peranti pintar seperti telefon atau jam pintar yang mampu menarik minat pengguna terutama pelajar untuk membuat pilihan pembelajaran pada bila-bila masa dan di mana saja.

Ia termasuk memastikan semua data diperoleh pihak tertentu seperti data pengguna, data pembekal dan maklumat pembayaran dalam talian serta lain-lain adalah selamat, tidak disalah guna pihak ketiga bagi tujuan tertentu.

Dalam konteks ini, keselamatan dan kerahsiaan data harus diberi penekanan sewajarnya supaya sistem ini dapat mengekalkan tahap kepercayaan dan kelestarian kepada semua pihak.

Di samping itu, pihak berkepentingan berurusan di peringkat global atau serantau juga perlu meningkatkan kemahiran dan saling bekerjasama antara mereka terutama berkaitan penggunaan teknologi AI sebagai pelantar digital pada masa hadapan.

Dengan memahami dan menangani isu dan cabaran ini, penggunaan AI dalam meningkatkan kompetensi digital guru boleh dioptimumkan untuk memperoleh manfaat maksimum. Pendekatan holistik dan kerjasama semua pihak berkepentingan dalam ekosistem pendidikan sangat diperlukan.

Penggunaan AI dalam meningkatkan kompetensi digital guru secara kendiri berpotensi adalah langkah perlu untuk memperkasa pendidikan abad ke-21. AI boleh menyediakan sistem pembelajaran fleksibel seterusnya menjadikan PdP lebih efisien serta mampu memberi sokongan bersesuaian kepada guru mengembangkan kemahiran mereka.

Melalui analisis data dan pemberian maklum balas cepat, AI dapat membantu guru memahami keperluan pelajar dengan lebih baik, mengadaptasi strategi pengajaran dan memastikan pembabitan pelajar lebih tinggi di dalam kelas.

Namun begitu, beberapa cabaran yang timbul dalam penggunaan AI untuk memperkasa guru harus ditangani lebih awal seperti masalah akses internet yang lemah, keperluan melindungi data peribadi.

Guru di kawasan luar bandar atau tidak mempunyai akses kepada teknologi mungkin ketinggalan dalam mendapat manfaat AI. Tambahan pula, keselamatan data dan privasi menjadi kebimbangan utama dalam era digital ini, yang mana maklumat peribadi pelajar dan guru perlu dilindungi dengan sebaik-baiknya.

Oleh itu, langkah keselamatan ketat perlu dilaksanakan untuk memastikan penggunaan AI selamat dan beretika. Maka, pendekatan bersepadu dan bekerjasama diperlukan.

Apa yang jelas, pendidikan dan latihan berterusan kepada guru dalam penggunaan teknologi AI adalah kritikal, di samping memastikan semua guru mempunyai akses kepada sumber mencukupi.

Selain itu, dasar yang kukuh dan sokongan daripada pihak berkuasa pendidikan dapat membantu mengarahkan penggunaan AI dengan cara mampan dan inklusif.

AI memiliki manfaat yang besar dan berpotensi membawa transformasi positif dalam pendidikan, mengembangkan kompetensi digital guru dan meningkatkan kualiti pengajaran negara.

Berita Harian X