Khamis, 9 Mei 2024 | 9:19am
 Suasana perang bendera dan poster di sekitar pekan Kuala Kubu Bharu sempena Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Bharu.- Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Suasana perang bendera dan poster di sekitar pekan Kuala Kubu Bharu sempena Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Bharu.- Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Fokus kempen perlu tumpu kuasa penentu pengundi India

Bahang dan retorik Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu yang akan berlangsung Sabtu ini susulan kematian bekas ahli Dewan Undangan (ADUN) cukup berbeza dengan apa kita saksikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang membuahkan kemenangan sama rata 3-3 di enam negeri terbabit.

Diakui politik bersifat dinamik dan seni segala kemungkinan tetapi PRK Kuala Kubu Bharu memiliki keunikan tersendiri terutama demografi penduduknya sebagai 'kerusi campuran' dan dikaitkan pula dengan prestasi pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Persekutuan serta negeri.

Walaupun pengundi India di Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkumi 18 peratus, pelbagai jangkaan boleh diramalkan berdasarkan corak pengundian. Secara umumnya, pengundi India berperanan cukup penting dalam demokrasi di negara ini.

Dalam Kerajaan Perpaduan, kepemimpinan masyarakat India boleh dilihat daripada parti PKR, MIC dan DAP yang mengorak langkah memperjuangkan isu mengenai masyarakat itu.

Pada pihak Perikatan Nasional (PN) pula, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) menjadi entiti baharu bersama BERSATU dalam menguji kesediaan masyarakat India di Kuala Kubu Bharu dalam menerima 'gelombang hijau'.

Di bawah kepemimpinan bekas Ketua Pemuda MIC Selangor, P Punithan, MIPP turut berkempen dengan PN tetapi persoalan besar masih menjadi tanda tanya adalah apakah retorik politik baharu akan parti terbabit untuk masyarakat India.

Dalam konteks ini, Kuala Kubu Bharu boleh dianggap medan cukup penting kepada MIPP untuk memberikan asakan penting kepada masyarakat India berkaitan kerelevanan parti mereka dalam melindungi hak dan isu masyarakat India secara keseluruhan.

Sebenarnya, banyak isu panas dalam kalangan masyarakat India di Kuala Kubu Bharu. Antara yang menjadi perhatian khusus ialah isu pemilikan rumah pekerja ladang yang berlarutan.

Kempen PRK Kuala Kubu Bharu juga dihangatkan dengan kehadiran Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) ditubuhkan bekas Ketua Menteri II Pulau Pinang yang juga pemimpin kanan DAP, P Ramasamy yang lebih dikenali sebagai Prof Ramasamy dalam kalangan masyarakat.

Parti ini mempunyai pendirian tersendiri dan memiliki retorik kritis yang tidak memberikan sokongan kepada kerajaan mentadbir, sebaliknya meminta pengundi untuk menyokong calon lain sebagai satu bentuk 'isyarat' kepada Kerajaan Perpaduan.

Dengan kehadiran parti mewakili masyarakat India sama ada sebagai pemain utama dalam PRK ini, iaitu PH-Barisan Nasional (BN) dan PN atau pemain sampingan seperti URIMAI yang tidak meletakkan sebarang calon, beberapa persoalan penting perlu boleh dilihat sebagai isu yang perlu ditangani untuk mendapatkan sokongan pengundi kaum itu.

Persoalan pertama ialah penempatan Unit
Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada Kementerian Perpaduan yang dikembalikan semula ke JPM dengan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khasnya pada Februari lalu.

Fokus isu kos sara hidup rakyat

Antara perlu ditangani atau dijawab adalah berkaitan kos sara hidup cukup tinggi dalam konteks masyarakat India dan isu tiada jawatan menteri untuk kaum itu dalam Kabinet.

Persoalan kedua ialah isu tempatan masyarakat India di Kuala Kubu Bharu yang masih menjadi tanda tanya seperti isu tanah ladang estet yang selama ini dibiarkan tanpa sebarang usaha signifikan. Isu ini boleh memberikan kesan kerana pengundi tertanya apakah manfaat akan diterima jika mengundi parti politik mentadbir dan apakah peluang mereka lebih cerah dengan memilih pembangkang.

Bagaimanapun dalam perkembangan terbaru, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bestari Jaya bagi menyelesaikan isu perumahan dihadapi 245 keluarga peneroka estet getah di lima ladang di daerah ini sejak 1998.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata projek bernilai RM75 juta dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu dibina di atas tanah seluas 8.09 hektar di Lot 25, Ladang Sungai Tinggi di sini melalui kerjasama kerajaan Selangor serta Berjaya Corporation Berhad yang menyediakan tanah secara percuma.

Persoalan ketiga pula ialah sejauh mana pengundi India akan mengundi calon Kerajaan Perpaduan yang diwakili Pang Sock Tao. Walaupun Sock Tao adalah dalam kalangan generasi muda, sejauh manakah beliau membawa retorik politik baharu di kawasan itu.

Bagi pihak PN pula, walaupun calon mereka berbangsa Melayu, sejauh manakah kedudukan Khairul Azhari Saut sebagai anak jati Kuala Kubu Bharu dapat menawan hati pengundi bukan Melayu.

Justeru, persaingan terutama antara calon Kerajaan Perpaduan dengan PN pastinya memerlukan formula pantas yang dapat digunakan untuk mendapatkan undi masyarakat India.

Realitinya, banyak pertimbangan dalam kalangan masyarakat India sendiri pada PRK ini. Kita tidak boleh menafikan potensi mereka memberikan sokongan kepada pembangkang atau menyebabkan undi rosak sebagai isyarat tidak menyokong mana-mana pihak.

Namun, pengundi masyarakat India seperti sebelum ini turut menunjukkan simpati atas jasa pemimpin sebelumnya yang berkhidmat di kawasan berkenaan, sekali gus menjadikan sifat timbang rasa itu memberikan nilai tambah kepada PH.

Apapun, semua calon terutama mewakili PH/BN atau PN masih perlu berusaha berkempen hingga ke akar umbi untuk memberikan pendedahan kepada pengundi. Ini kerana hari-hari terakhir kempen ini perlu dijadikan kesempatan untuk mereka memberikan pendedahan kepada pengundi India yang jelas menjadi 'king maker' dalam PRK kali ini.

Penulis adalah Penganalisis Politik

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X