Rabu, 8 Mei 2024 | 9:50am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Keputusan naik gaji penjawat awam ambil kira kesan ekonomi

KENAIKAN gaji penjawat awam menjadi topik hangat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji lebih 13 peratus membabitkan peruntukan melebihi RM10 bilion bermula Disember tahun ini, pada 1 Mei lalu.

Selain itu, kenaikan itu boleh mencecah sehingga 40 peratus bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan.

Keputusan ini adalah respons terhadap keperluan bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat serta daya saing bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara lebih inklusif, kukuh serta mampan.

Pengumuman kenaikan gaji melebihi 13 peratus ini adalah kenaikan terbaik dalam sejarah oleh kerajaan, bukan sekadar memberikan khabar gembira kepada penjawat awam, tetapi mencerminkan komitmen kerajaan menangani isu ketidakseimbangan ekonomi dan mengekalkan kuasa beli masyarakat serta akan merangsang permintaan barang dan perkhidmatan.

Ini memberikan kesan positif dalam ekonomi, secara tidak langsung merangsang pertumbuhan sektor swasta dan membantu pemulihan ekonomi secara keseluruhan.

Namun, langkah kerajaan meningkatkan ganjaran penjawat awam menimbulkan pelbagai reaksi, dengan beberapa pihak menyokongnya sebagai peningkatan keadilan dan kesejahteraan, manakala ada pihak berpandangan ia boleh memberi kesan terhadap ekonomi negara secara keseluruhan.

Antara spekulasi sering timbul adalah bagaimana kenaikan gaji penjawat awam mungkin merangsang pertumbuhan dalam sektor swasta. Salah satu hujah utama sering dikemukakan adalah dengan kenaikan gaji penjawat awam, akan terdapat peningkatan dalam kuasa beli mereka.

Penjawat awam yang menerima gaji lebih tinggi, cenderung membelanjakan lebih banyak wang terutama dalam pembelian barangan dan perkhidmatan daripada swasta. Ini membantu merangsang permintaan dalam ekonomi dan memberi dorongan kepada perniagaan dalam sektor swasta.

Di samping itu, kenaikan gaji penjawat awam menyebabkan persaingan lebih baik bagi bakat dalam pasaran kerja. Kenaikan gaji minimum akan menarik bakat baharu ke dalam perkhidmatan awam serta mengekalkan pekerja berkualiti tinggi.

Dengan meningkatnya gaji, penjawat awam berasa dihargai dan terangsang meningkatkan produktiviti kerja. Kesejahteraan pekerja secara langsung mempengaruhi prestasi, meningkatkan kecekapan dan kualiti kerja.

Peningkatan ganjaran dan faedah dalam perkhidmatan memberi dorongan kepada swasta menawarkan ganjaran lebih baik dan kelebihan untuk menarik pekerja berkualiti. Ini menyumbang peningkatan keseluruhan dalam produktiviti dan inovasi dalam ekonomi.

Selain itu, kenaikan gaji penjawat awam mungkin menyebabkan persaingan lebih sukar bagi swasta untuk menarik bakat berkualiti. Jika penjawat awam mendapat ganjaran lebih baik, mereka mungkin cenderung untuk tetap dalam perkhidmatan awam dan meninggalkan syarikat swasta.

Namun, sebagai negara mencapai keseimbangan dalam pentadbiran kerajaan dengan kadar pertumbuhan penduduk sekitar 2.0 peratus, peluang untuk bekerja di sektor awam adalah terhad. Kebanyakan pengambilan pekerja berlaku jika terdapat kekosongan jawatan terutama bagi menggantikan pekerja bersara dan berhenti menyertai sektor swasta.

Tidak boleh dinafikan, kenaikan gaji penjawat awam meningkatkan keyakinan pelabur. Pelabur cenderung melihat kenaikan gaji sebagai tanda positif pertumbuhan ekonomi, mendorong mereka melabur dalam projek baharu atau memperluas perniagaan mereka.

Bagaimanapun, terdapat pandangan berbeza menyatakan kenaikan gaji penjawat awam boleh memberi tekanan kepada ekonomi negara. Peningkatan dalam kos operasi bagi kerajaan untuk menampung kenaikan gaji boleh mengakibatkan keperluan memperoleh lebih banyak pendapatan melalui cukai atau pemotongan belanja daripada pelbagai sektor, boleh menyebabkan kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi.

Langkah progresif bangun kelestarian ekonomi

Apa yang penting, keputusan menaikkan gaji penjawat awam adalah langkah progresif diambil kerajaan untuk membangun kelestarian ekonomi negara.

Langkah ini bukan sekadar meningkatkan pertumbuhan ekonomi, tetapi taraf hidup penjawat awam dan membantu mengurangkan tekanan kewangan dialami penjawat awam, terutama dalam konteks kenaikan kos sara hidup.

Walaupun kenaikan gaji penjawat awam dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi, ia juga mempunyai kesan terhadap inflasi. Jika peningkatan gaji ini tidak disokong peningkatan produktiviti sepadan.

Dalam hal ini, penjawat awam, dengan segala peranan dan tanggungjawab mereka, diiktiraf sebagai tulang belakang kerajaan dalam memberikan dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Namun, pandangan terhadap peranan mereka berubah seiring dengan perubahan landskap sosio-ekonomi dan teknologi. Kini, penjawat awam bukan sahaja dianggap sebagai pengurusan pentadbiran, tetapi juga aset berharga negara dalam usaha memacu pertumbuhan dan pembangunan.

Salah satu aspek utama memperlihatkan penjawat awam sebagai aset negara adalah kepelbagaian kemahiran mereka miliki. Dalam era globalisasi dan digitalisasi, kemahiran seperti kecekapan teknologi maklumat, kemahiran komunikasi antarabangsa dan kepimpinan berinovasi menjadi semakin penting.

Penjawat awam dilengkapi dengan kemahiran ini mampu menjadikan negara lebih bersaing di peringkat global. Selain itu, peranan penjawat awam kini semakin meluas, tidak terbatas kepada sekadar menjalankan tugas hakiki mereka.

Mereka sering berperanan sebagai ejen perubahan dalam masyarakat, menjalankan program pembangunan dan menyediakan perkhidmatan bermakna kepada rakyat. Kreativiti dan kecekapan mereka menangani cabaran semasa seperti perubahan iklim, kesenian digital dan krisis kesihatan, menunjukkan nilai tambah mereka pada negara.

Aspek kejujuran dan integriti adalah ciri penting pada penjawat awam. Dalam memastikan akauntabiliti dan kepercayaan awam terpelihara, mereka perlu sentiasa menunjukkan standard tinggi dalam amalan tugasan mereka.

Bagaimanapun, bagi memastikan penjawat awam terus menjadi aset berharga, penting bagi kerajaan memberikan sokongan mencukupi dalam pembangunan dan penyempurnaan kemahiran mereka seperti peluang untuk latihan dan pendidikan berterusan, sistem ganjaran adil, serta persekitaran kerja membolehkan kreativiti dan inovasi berkembang.

Bagi meningkatkan golongan pekerja berkemahiran dalam sektor awam, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di rangkaian institusi teknikal kepada penjawat awam perlu dilihat sebagai platform terbaik bagi meningkatkan kemahiran mereka.

Apatah lagi dalam era teknologi kecerdasan buatan (AI), permintaan dan peluang pekerjaan untuk pekerja tidak mahir dijangka berkurangan, sementara permintaan bagi pekerja mahir akan meningkat dengan ketara.

Berbekalkan kemahiran pelbagai, peranan meluas dan integriti tinggi, mereka berpotensi membawa negara ke arah keunggulan dalam arena global.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah

Berita Harian X