Selasa, 7 Mei 2024 | 9:32am
Foto hiasan. - Bernama
Foto hiasan. - Bernama

Kebebasan media wajar hormati pandangan, sensitiviti masyarakat

Secara umumnya kita mengetahui kebebasan media adalah tiang utama mendukung demokrasi kukuh. Di bawah konsep kebebasan media sejati berlandaskan prinsip Perlembagaan, rakyat diberikan hak bersuara dan ruang untuk didengar, serta sebagai manifestasi kuasa dikekalkan dalam konsep semak dan imbang.

Aspek ketelusan media juga menjadi landasan untuk tadbir urus bertanggungjawab mengikut acuan tatakelola serta peraturan yang wujud selama ini.

Namun, dalam landskap media Malaysia semakin berkembang terutama dalam dunia digital tanpa batasan, laporan terkini mengenai Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 menyorot satu cabaran sentiasa dihadapi negara ini dalam memastikan integriti dan kebebasan media sejati serta mampu mempertahankan keharmonian dan keseimbangan dalam masyarakat berbilang kaum.

Aspek pendemokrasian maklumat sentiasa menjadi tumpuan utama mana-mana pemerintah dalam memastikan bukan sahaja kedaulatan negara terjamin, tetapi aspek lebih besar, iaitu kerukunan dalam lapisan masyarakat perlu dijaga dengan baik dan rapi.

Dalam beberapa dekad lalu, Malaysia menyaksikan transformasi ketara dalam bidang media dan perubahan dalam landskap politik negara terutama pada waktu terdekat ini menyaksikan media bukan sahaja berkembang dalam satu keadaan dinamik, tetapi dari segi aspek kawalan dan pematuhan sentiasa diambil kira terutama daripada pengamal media dan masyarakat.

Dari satu sudut, perubahan media arus perdana tradisional ke media digital merentasi sempadan, perubahan teknologi membentuk cara kita mengakses, berkongsi dan menerima maklumat.

Ini menunjukkan media sentiasa bersifat dinamik bukan sahaja dari sudut kebebasannya, tetapi ia juga impaknya kepada sesebuah negara seperti kefasihan dan literasi media.

Walaupun peluang besar ini membawa harapan peningkatan kebebasan media, kenyataan menunjukkan cabaran besar masih wujud terutama dalam memastikan kestabilan dan kekukuhan struktur masyarakat serta hubungan wujud selama ini dapat dipelihara.

Menurut laporan Reporters Without Borders (RSF), kedudukan Malaysia turun 34 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024, menempatkannya pada kedudukan ke-107.

Penurunan ini menimbulkan kebimbangan mengenai pendekatan dan amalan dalam menangani isu sensitif serta kecekapan menghadapi perubahan landskap media dinamik. Ini adalah panggilan untuk refleksi serius dan tindakan mendalam.

Ledakan maklumat dalam media digital dengan kewujudan platform maklumat memberikan satu cabaran baharu dan permasalahan perlu diambil perhatian serius.

Lambakan maklumat menyentuh aspek kaum, agama dan Raja (3R) serta maklumat siber mempunyai elemen buli, jenayah terancang dan hasutan mampu memberikan kesan ke atas sikap dan tingkah laku khalayak. Oleh itu, setiap aspek kawalan dan saringan terhadap maklumat ini mungkin mempengaruhi skor indeks kebebasan diguna pakai RSF.

Pasti ramai bersetuju antara aspek penting mesti diambil kira dalam pengukuran dan penilaian indeks ialah peranan kerajaan serta perundangan dalam membentuk persekitaran media kondusif mampu memberikan aspek kestabilan dan keharmonian bukan sahaja dari sudut politik, tetapi ekonomi.

Dakwaan tidak berasas dan berfakta oleh mereka yang tidak memegang tauliah dalam memberikan ulasan juga perlu diambil kira sebagai antara sumber maklumat boleh dipersoalkan kredibiliti dan keabsahan mereka dalam memberikan atau menyampaikan maklumat.

Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang membolehkan kebebasan media, pelaksanaannya mungkin perlu sentiasa konsisten dengan prinsip asas yang wujud selama ini.

Keadaan ini termasuk isu seperti penapisan internet, tindakan undang-undang ketat dan pembatasan serta pemantauan terhadap perbincangan awam kritikal.

Reformasi undang-undang media

Dalam usaha untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam indeks global, langkah kerajaan mereformasi undang-undang media dan memastikan hak asasi manusia, termasuk kebebasan media, diberikan keutamaan tinggi dalam dasar serta amalan negara penting untuk memastikan rukun keselamatan, perpaduan, keharmonian, kestabilan dan keutuhan dijaga rapi.

Di samping itu, peranan industri media tempatan juga harus diambil kira sebagai ejen dan pemangkin kepada kebebasan bersuara dalam konteks Perlembagaan negara.

Kita mengetahui dalam mendepani era digital semakin canggih, kompleks, sentiasa berubah, realitinya media tempatan sentiasa berhadapan dengan cabaran untuk memelihara standard kualiti serta integriti ketika bersaing dengan platform media besar global.

Aspek peningkatan kualiti dan kebertanggungjawaban dalam penyampaian berita adalah penting untuk membina kepercayaan masyarakat dan memastikan suara minoriti serta pendapat alternatif diberi ruang sama dalam ruang awam.

Dalam masyarakat semakin peka terhadap isu kebebasan dan keadilan, pendidikan awam mengenai hak asasi manusia dan peranan media dalam demokrasi adalah penting.

Bagi meningkatkan kesedaran kepentingan kebebasan media dalam masyarakat, kita dapat membina masyarakat matang media dan mampu membezakan setiap maklumat diterima. Ini memastikan aspek kematangan dapat membantu masyarakat awam berperanan dalam satu ekosistem stabil dan mampan.

Namun, dalam usaha mencapai kebebasan media, ia bukan sesuatu yang dapat dicapai secara berasingan. Kerjasama antara pelbagai pihak termasuk kerajaan, industri media dan masyarakat awam amat diperlukan.

Di sini pentingnya kerjasama antara semua pihak untuk merangka dan melaksanakan inisiatif bertujuan meningkatkan kebebasan media di Malaysia.

Sebarang maklumat mempunyai elemen hasutan, kejian, fitnah dan buli siber perlu dihentikan dalam memastikan masyarakat dapat menerima secara meluas dan menjadi progresif, produktif, positif dan membina identiti bangsa beracuan negara kita sendiri.

Mengambil kira konteks unik Malaysia, kebebasan media tidak boleh dipandang sebagai satu konsep statik, tetapi harus difahami dalam konteks budaya, agama dan politik tempatan mengikut acuan serta latar belakang sesebuah negara.

Ini bermakna kita perlu memahami keperluan menghormati pelbagai pandangan dan sensitiviti dalam masyarakat Malaysia pelbagai. Pendekatan holistik dan bersepadu adalah kunci mencapai perubahan berkesan dalam sistem media negara.

Kebebasan media juga adalah asas kepada demokrasi sihat dan berfungsi. Apabila kebebasan media meningkat, kita bukan sahaja memperkukuhkan institusi demokratik, tetapi memberikan suara kepada yang tidak didengar, menyokong ketelusan dan akauntabiliti serta memperkaya perbincangan awam.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk berusaha menuju kepada sistem media lebih terbuka, inklusif dan bertanggungjawab di Malaysia.

Penulis adalah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X