Sabtu, 4 Mei 2024 | 10:20am

Jadi 'rakan kritikal' AI tempuh era kemanusiaan digital

FRASA 'kemanusiaan digital' masih agak baharu pada era dunia semasa. Konsep berasal daripada bahasa Inggeris, iaitu 'digital humanities' itu menggambarkan persilangan bidang kemanusiaan dengan teknologi digital yang semakin diperkata, terutama dengan kepesatan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Kemanusiaan digital sebenarnya mempunyai tapak dalam amalan seharian kita. Contohnya, apabila memandu di jalan raya, kita lazimnya menggunakan aplikasi seperti Google Maps untuk mendapatkan lokasi tepat untuk dituju.

Bayangkan, tanpa aplikasi digital begini, kita mungkin terpaksa 'berpusing' banyak kali untuk ke sesuatu lokasi. Dengan aplikasi digital begini, perjalanan pemanduan menjadi lebih berfokus, menjimatkan masa dan mengelak kita tersesat lokasi.

Nilai kemanusiaan yang dapat dijana daripada hubungan pemandu (manusia) dengan aplikasi digital ialah ketepatan hala tuju, penjimatan masa dan fokus lebih baik.

Seperti juga halnya dalam penciptaan aplikasi digital popular, ChatGPT. Pelancaran chatbot berasaskan Model Besar Bahasa (LLM) pada November 2022 itu menciptakan fenomena luar biasa.

Tidak hairanlah walaupun hanya dalam lima hari dilancarkan ketika itu, bilangan penggunanya terus mencecah jutaan orang.

ChatGPT boleh menjadi satu lagi contoh membabitkan konsep dan amalan kemanusiaan digital. Dengan ChatGPT, pengguna hanya perlu memasukkan arahan atau 'command prompts' dalam ruangan chatbot tersedia.

Contohnya, memasukkan arahan seperti 'huraikan sejarah perkembangan pendidikan sains di Malaysia berserta rujukan berkaitan' akan menghasilkan penulisan membabit perkembangan pendidikan bidang itu di negara ini bersama sumbernya.

Namun, dalam kita memanfaatkan kewujudan teknologi terutama AI, ada isu yang harus kita berikan perhatian terutama mengenai maklumat disediakan aplikasi digital terbabit.

Ketika Forum Current and Future Digital Skills Trend for Researchers yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada Mei 2023, penulis dijemput sebagai ahli panel untuk memberikan pandangan mengenai teknologi AI dalam penyelidikan.

Penulis mengemukakan beberapa konsep dan prinsip penting membabitkan penggunaan teknologi AI dalam dunia pendidikan dan penyelidikan.

Antara penekanan penulis adalah teknologi AI tidak dijadikan musuh atau pesaing manusia, sebaliknya manusia menjadi 'rakan kritikal' kepada teknologi AI. Maksudnya, apa sahaja maklumat diberikan teknologi itu perlu melalui proses pemikiran kritikal dan tidak diterima secara bulat-bulat oleh manusia.

Bagi menjayakan peranan manusia dalam ledakan teknologi AI, penulis mengemukakan tiga prinsip harus dipatuhi dalam memanfaatkan kewujudan teknologi AI.

Pertama, keaslian. Teknologi AI pada dasarnya 'belajar' melalui data tersedia dalam pangkalan maklumat di internet. Jadi, perspektif dijana melalui teknologi AI seperti ChatGPT adalah lazimnya bersifat retrospektif atau berasaskan masa lalu.

Teknologi AI mungkin dapat membuat jangkaan masa hadapan berasaskan data sedia ada. Namun, kekuatan akal manusia dapat menilai sejauh mana jangkaan ditawarkan AI itu tepat atau mungkin tersasar.

Maka, prinsip keaslian memainkan peranan. Manusia harus memiliki upaya menciptakan atau 'creating' yang sifatnya adalah asli atau baharu. Dalam gagasan Malaysia MADANI, daya cipta adalah salah satu nilai teras ditekankan kerajaan.

AI mungkin membantu manusia menciptakan idea atau produk baharu, tetapi keupayaan menyempurnakan ciptaan lebih diyakini untuk dilaksanakan manusia.

Manusia dapat memanfaatkan potensi akal untuk berkreativiti dan berinovasi atas cadangan dikemukakan teknologi AI, sekali gus tidak semata-mata mengikut apa-apa sahaja yang dikemukakan AI tanpa pemikiran kritikal.

Dalam hal ini, manusia bersifat untuk menyempurnakan apa-apa yang tidak sempurna daripada janaan AI. Ini sebahagian daripada semangat untuk menjadi rakan kritikal kepada teknologi terutama AI.

Prinsip kedua ialah autoriti, iaitu membabitkan persoalan 'siapa'. Timbul isu apabila adanya penulis jurnal akademik meletakkan nama ChatGPT sebagai pengarang artikel. Hal ini tampak seperti satu jenaka, namun ia sememangnya terjadi. Isu timbul kerana ChatGPT bukanlah orang atau institusi.

Prinsip autoriti memerlukan satu kepastian terhadap 'siapa' menghasilkan sesuatu produk atau karya atau idea. Dengan prinsip autoriti, persoalan 'siapa' ini membolehkan kita menentukan pihak bertanggungjawab terhadap produk, karya atau idea terhasil.

Maka, dalam perspektif kemanusiaan digital, pertanggungjawaban itu, pada akhirnya, jatuh kepada manusia.

Prinsip ketiga ialah kesahan. Prinsip ini amat penting kerana tidak ada jaminan maklumat diberikan teknologi AI adalah sah dan tepat. Bagi memastikan kebenaran dan ketepatan, peranan manusia mustahak dalam mengesahkan maklumat diberikan oleh AI.

Kebergantungan kepada hanya satu sumber tidak mencukupi. Manusia sebagai pengguna AI perlu merujuk sumber lain boleh dijadikan bandingan dengan maklumat disediakan AI, termasuk menghubungi pengarang atau pencipta yang menghasilkan produk asal terbabit untuk memberikan tafsiran sebenar.

Tuntasnya, dalam menjayakan konsep dan amalan kemanusiaan digital, peranan manusia terutama pendidik, amat penting dalam menyuburkan amalan pemikiran kritikal untuk kesahan dan penyempurnaan, berdaya cipta dan memahami prinsip pertanggungjawaban melibatkan autoriti.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita Harian X