Jumaat, 3 Mei 2024 | 10:31am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Reformasi cukai, subsidi bersasar tampung kenaikan gaji RM10b

Dalam pengumuman pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024, kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan berita gembira kenaikan gaji signifikan lebih 13 peratus kepada penjawat awam yang akan dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Disember tahun ini.

Kenaikan melalui pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu ini disertai jaminan pendapatan menyeluruh gaji dan elaun tetap penjawat awam mesti lebih RM2,000, dikatakan kenaikan paling baik dalam sejarah negara.

Ketika temu bual khas pada program Soal Jawab Perdana Menteri bersama stesen televisyen tempatan, beliau menjelaskan rancangan ini bertujuan mengimbangi pendapatan kelompok bergaji rendah dengan kelompok bergaji tinggi.

Dalam suasana kekangan ekonomi sekarang, rancangan yang akan memakan anggaran kos tambahan RM10 bilion kepada kerajaan setiap tahun ini sudah semestinya satu tindakan berani yang akan memberi impak besar kepada negara.

Kenaikan gaji besar boleh meningkatkan semangat dan motivasi penjawat awam, mendorong peningkatan produktiviti serta kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan awam. Ini boleh diterjemah kepada penyampaian perkhidmatan lebih baik dan lebih teratur.

Dalam hal ini, ingatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, bahawa semua penjawat awam perlu meningkatkan produktiviti dan kecekapan masing-masing seiring dengan pengumuman kenaikan gaji amat dialu-alukan.

Kenaikan gaji tidak disertai dengan peningkatan produktiviti dan kecekapan pasti memberi banyak kesan negatif. Oleh itu, seperti dihasratkan Perdana Menteri wajib dipastikan penjawat awam tidak produktif dan cekap, tidak akan menerima kenaikan gaji.

Pakej gaji lebih kompetitif juga boleh membantu mengekalkan penjawat awam berpengalaman dan menarik bakat baharu, terutama profesional yang mahir ke sektor awam, sekali gus menyuntik perspektif lebih segar dan kepakaran serta meningkatkan kualiti tadbir urus.

Selain membantu memastikan reformasi dilaksanakan dengan lebih agresif, pakej gaji lebih baik juga akan membantu mengurangkan rasuah, kebocoran dan pembaziran yang sering berlaku apabila penjawat awam dengan gaji rendah mencari wang dengan cara haram.

Dengan merapatkan jurang pendapatan antara penjawat awam kelas rendah dengan tinggi, kenaikan gaji juga menyumbang kepada kesaksamaan pendapatan lebih besar dalam sektor awam. Ini akan mewujudkan keadilan dan mempromosikan kesamarataan sosial.

Pada masa sama, komitmen kewangan besar diperlukan untuk membiayai kenaikan gaji menyebabkan tekanan signifikan ke atas kewangan kerajaan. Pemberian tambahan RM10 bilion setiap tahun boleh mengalihkan sumber daripada bidang lain.

Suntikan wang ke dalam ekonomi melalui kenaikan gaji juga boleh membawa kepada inflasi. Jika perbelanjaan pengguna melebihi kapasiti pengeluaran, ia boleh membawa kepada peningkatan harga, mengikis kuasa beli pengguna dan memberi kesan kepada kestabilan ekonomi.

Soalan timbul: Daripada mana akan datang RM10 bilion itu? Kerajaan boleh meneroka pelbagai cara untuk membiayainya, termasuk mengoptimumkan aliran pendapatan melalui reformasi cukai, peningkatan kecekapan dalam pemungutan cukai atau pengenalan subsidi bersasar.

Laksana pengurusan kewangan bijak

Seperti dijamin Perdana Menteri, risiko inflasi boleh dikurangkan apabila kerajaan memantau secara rapat dinamik permintaan dan penawaran agregat, melaksanakan dasar fiskal merangsang kapasiti pengeluaran dan memastikan dasar monetari tetap menyokong harga stabil.

Pelaksanaan berkesan, pengurusan kewangan bijak dan intervensi dasar bersepadu adalah penting untuk memaksimumkan impak positif serta menangani cabaran dari segi kelestarian kewangan dan risiko inflasi, sekali gus memastikan kemampanan ekonomi.

Dari sudut politik, kenaikan gaji ini pasti memperkuatkan persepsi awam terhadap Perdana Menteri dan kerajaannya sebagai responsif serta prihatin terhadap kesejahteraan penjawat awam, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kesamarataan sosial dan keadilan.

Walaupun perbezaan politik sering memisahkan parti mengikut garis ideologi, langkah memberi manfaat terus kepada rakyat seperti kenaikan gaji juga berpotensi untuk mendapat sokongan bipartisan kerana langkah meningkatkan kesejahteraan rakyat susah ditentang.

Pengkritik mungkin melihat pengumuman kenaikan gaji sebagai langkah politik untuk mendapatkan sokongan pengundi pada pilihan raya, terutama mengambil kira waktu pengumuman berdekatan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Walaupun begitu, kenaikan ini sebenarnya sudah lama dirancang, malah Perdana Menteri sendiri sudah beberapa kali membuat pengumuman bahawa kenaikan gaji akan dilaksanakan pada tahun ini. Pengumumannya bersempena Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 adalah munasabah.

Kritikan yang boleh dibuat pembangkang hanyalah setakat ke atas perkara teknikal seperti kenaikan gaji lebih 13 peratus bukan kenaikan tertinggi dalam sejarah kerana dikatakan pada 1 Julai 2007 pernah ada kenaikan 35 peratus.

Walaupun begitu, pengkritik tidak boleh terlalu cepat membuat kesimpulan. Kenaikan sebanyak 35 peratus itu hanya membabitkan Kumpulan Sokongan II berbanding Kumpulan Sokongan I, iaitu 25 peratus; Pengurusan dan Profesional (15 peratus) dan Pengurusan Tertinggi (7.5 peratus).

Kita perlu menunggu perincian lebih lanjut mengenai perkara ini apabila dibentangkan dalam Belanjawan 2025 nanti, tetapi kenaikan gaji lebih 15 peratus itu kemungkinan besarnya hanya peratusan minimum kenaikan dicadangkan bagi kumpulan tertentu.

Hakikatnya, kenaikan gaji ini satu keputusan berimpak besar. Kerajaan perlu menjelaskan dengan berkesan mengenai rasionalnya dengan menekankan komitmennya terhadap mengatasi jurang pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan penjawat awam.

Dalam usaha memajukan negara, adalah penting bagi kerajaan dan pembangkang untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat mengatasi pertimbangan partisan. Jika tidak mahu menyokong, maka parti pembangkang harus menyediakan alternatif yang berkredibiliti kepadanya.

Berita Harian X