Rabu, 1 Mei 2024 | 8:39am
Perundangan buruh menjamin hak minimum kepada pekerja seperti tempoh masa bekerja, waktu rehat, pelbagai jenis cuti, prosedur penamatan kerja, upah minimum dan tempat kerja selamat. - Foto hiasan NSTP
Perundangan buruh menjamin hak minimum kepada pekerja seperti tempoh masa bekerja, waktu rehat, pelbagai jenis cuti, prosedur penamatan kerja, upah minimum dan tempat kerja selamat. - Foto hiasan NSTP

Dinamika alam pekerjaan mencorak budaya kerja baharu

Hari Pekerja disambut setiap tahun pada 1 Mei membawa pengertian besar kepada golongan pekerja di negara ini. Hari itu disambut di seluruh dunia sebagai memperingati titik peluh dan perjuangan golongan pekerja menuntut hak meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Di Malaysia, Hari Pekerja diisytihar sebagai cuti umum mengikut Seksyen 60D(1)(iv) Akta Kerja 1955. Mereka berhak untuk tidak bekerja pada hari berkenaan, selaras dengan dasar kerajaan menghargai sumbangan besar pekerja kepada negara.

Akan tetapi jika seseorang pekerja dikehendaki bekerja pada hari cuti umum itu, maka dia berhak menerima kadar bayaran berganda. Jika dahulu perjuangan golongan pekerja berbentuk anarki, menjadikan majikan dan pemerintah sebagai lawan, tetapi kini perspektifnya berbeza.

Pekerja kini sumber tenaga manusia sangat penting dan komponen utama dalam pembangunan ekonomi, sosial dan siasah negara. Mereka menyumbang fikiran dan tenaga dalam pelbagai aktiviti ekonomi, sama ada di sektor swasta, kerajaan atau badan berkanun. Menurut data Jabatan Perangkaan, kadar penyertaan tenaga pekerja, setakat Februari 2024, ialah pada 70.2 peratus.

Jika pada awal perjuangan, pekerja sering dihimpit keadaan, waktu dan tempat kerja daif serta menyedihkan, kini pekerja dilindungi perundangan mengatur hubungan antara majikan dengan pekerja.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) diberi tanggungjawab mengendalikan hal ehwal pekerja. Pelbagai rancangan dan aktiviti diatur sepanjang tahun bagi memberi kesedaran kepada pekerja berhubung hak mereka di samping pemantauan dan penguatkuasaan perundangan kementerian ke atas majikan dan tempat kerja.

Piawaian dan peraturan pekerja ditetapkan pada peringkat antarabangsa oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan negara pada peringkat kebangsaan. Perundangan pekerjaan atau buruh di Malaysia menerima pengaruh besar daripada pelbagai Konvensyen ILO.

Perundangan buruh menjamin hak minimum dalam pelbagai aspek pekerjaan seperti tempoh masa bekerja, waktu rehat, pelbagai jenis cuti, prosedur penamatan kerja, upah minimum dan tempat kerja selamat selain melindungi golongan pekerja wanita dan kanak-kanak.

Di antara perundangan digubal bagi melindungi pekerja di negara ini ialah Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah, Ordinan Buruh Sarawak, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Majlis Perundingan Gaji Minimum 2011.

Isu gaji antara rungutan pekerja

Hari ini, antara rungutan sering didengar daripada golongan pekerja ialah isu gaji atau upah. Bagi menangani isu ini, Perintah Gaji Minimum dikuatkuasakan supaya pekerja memperoleh gaji minimum dalam pelbagai sektor pekerjaan.

Sebelum Perintah Gaji Minimum pertama dikuatkuasakan, terdapat pekerja dibayar gaji sangat kecil, seperti bawah RM500 sebulan. Apabila terlaksana Perintah Gaji Minimum, pekerja kini dibayar gaji sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

Namun, rungutan masih terdengar berhubung gaji minimum, misalnya isu pengiraan gaji asas/minimum dan implikasinya kepada beberapa pekerja lama atau senior yang gaji mereka lebih kurang sama dengan pekerja baharu.

Perundangan pekerja menetapkan syarat pemakaian kepada golongan pekerja iaitu mereka dilantik di bawah 'kontrak perkhidmatan' sahaja memperoleh faedah daripada akta terbabit. Kini dinamika pekerjaan sudah berubah.

Terdapat beberapa jenis pekerjaan digelar sebagai tidak formal. Namun, syarat perundangan yang ada masih kekal menyebabkan segolongan pekerja zaman moden ini terlepas perlindungan perundangan pekerjaan, terutama pekerja terbabit dalam ekonomi gig. Inilah bentuk pekerjaan baharu mencabar perundangan pekerja yang masih kekal dengan prinsip konsensional.

Begitu juga dengan pekerja dilantik secara 'kontrak untuk perkhidmatan' atau kontrak bertempoh tetap. Kontrak seperti ini lazimnya diperbaharui dari setahun ke setahun. Pekerja dilantik secara kontrak untuk suatu tempoh tidak mempunyai jaminan pekerjaan.

Terma pekerjaan mereka bergantung hanya kepada syarat terkandung dalam kontrak berkenaan. Justeru, negara perlu mempunyai perundangan atau peraturan baharu bagi menangani isu kontrak seperti ini.

Begitu juga dengan pekerja di bawah sistem penyumberan luar (outsourcing). Kaedah sistem bekerja seperti ini juga perkara lazim digunakan dalam banyak perusahaan. Pekerja di bawah sistem ini tidak mendapat perlindungan pekerjaan sepenuhnya kerana akta buruh atau perhubungan perusahaan tidak terpakai kepada mereka.

Waktu kerja dan rehat ditetapkan dalam Akta Kerja memastikan pekerja bekerja di pejabat atau premis dalam masa tertentu. Ini bagi menjamin supaya pemantauan berterusan majikan atau pengurusan dapat dilakukan.

Namun, sejak COVID-19 melanda dunia, alam pekerjaan sudah mula berubah dengan bermulanya konsep 'bekerja dari rumah' (BDR). Sebenarnya, Seksyen 60P dan 60Q, Akta Kerja memperuntukkan kemudahan pekerja memohon aturan kerja fleksibel.

Pekerja boleh memohon majikan mengubah waktu kerja, hari atau tempat bekerja. Permohonan pekerja mesti dijawab majikan dan jika ditolak, maka majikan perlu memberi alasan penolakan.

Bekerja dari rumah tak jejas produktiviti

Sesetengah majikan kini memberikan kebenaran kepada pekerja BDR misalnya dua hari seminggu. Ternyata apa dilakukan ketika pandemik COVID-19 dahulu membuktikan BDR tidak menjejaskan produktiviti pengeluaran. Kecanggihan teknologi maklumat, membolehkan BDR dilaksanakan asalkan pekerja pandai menyusun cara kerjanya.

Situasi seperti ini adalah langkah baik dan berkesan kepada penjimatan tenaga dan sumber. Pekerja yang BDR boleh menjimatkan kos perjalanan dan minyak kenderaan.

Sistem BDR sangat sesuai untuk pekerja bekerja di ibu kota yang terpaksa menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya kerana perjalanan ke tempat kerja. BDR wajar dihitung dari segi analisis kos faedah ekonomi.

Tekanan dan keletihan kerana perjalanan serta kesesakan jalan raya atau dalam kenderaan awam bagi pekerja di ibu kota adalah sangat tinggi, boleh menjejaskan kesihatan minda dan mental mereka, di samping tekanan di tempat kerja.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 mewajibkan majikan menyediakan tempat kerja kondusif dan selamat, termasuk menangani isu kesihatan mental pekerja, namun tidak begitu jelas menangani isu kesihatan mental pekerja. Justeru, perlu ada garis panduan berhubung hal ini kerana ia membabitkan isu kerahsiaan dan stigma masalah kesihatan.

Penulis adalah Profesor Undang-undang (Buruh), Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X