Selasa, 30 April 2024 | 9:08am
Foto hiasan. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Foto hiasan. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Undi bukan Melayu peluang PH kekal kemenangan di Kuala Kubu Bharu

Beberapa hari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada Sabtu lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi akaun media sosialnya memuat naik satu video meluahkan rasa kesalnya terhadap DAP yang disifatkan sering mengkritik serta menghina parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

Selama ini pun memang diketahui hubungan antara MCA dan DAP adalah musuh, namun perseteruan itu kelihatan reda apabila BN menyokong Kerajaan Perpaduan. Namun, hakikatnya sehingga hari ini MCA dan DAP tidak mampu untuk mengorbankan ego masing-masing.

Lantaran itu, Ka Siong menjadikan alasan DAP sering mengkritik MCA sebagai 'modal' untuk menegaskan parti itu tidak akan turun berkempen pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu, selain kesal BN tidak meletakkan calon untuk bertanding di sana.

Penyertaan MCA mutakhir ini dalam siri pilihan raya, khususnya di Selangor agak terhad. Parti itu turut mengambil keputusan tidak bertanding sebarang kerusi DUN pada PRN tahun lalu. Rasa kurang senang antara sesama dua parti didominasi masyarakat Cina ini diakui sendiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kenyataan Ahmad Zahid pada hari penamaan calon Sabtu lalu, yang menaruh harapan supaya MCA sudi turun membantu kempen calon dipilih Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, menggambarkan ada yang tidak kena khususnya tahap kerjasama parti bukan saja membabitkan parti dalam Kerajaan Perpaduan, bahkan dalam BN juga.

Setakat semalam, belum ada gerak kerja jelas dalam jentera MCA untuk membantu kempen calon PH di Kuala Kubu Bharu. Bilik gerakan dan operasi PRK MCA juga tidak dibuka, sekali gus dijangka tiada pasukan MCA berkempen dari rumah ke rumah bagi merayu pengundi Cina sepanjang tempoh berkempen ini.

Tindakan protes, boikot bakal jejas kempen

Selain MCA melakukan protes, nada sama juga ditampilkan MIC. Ia dapat dihidu sebelum hari penamaan calon apabila wujud gerakan tersembunyi mahu pengundi India memboikot kempen Kerajaan Perpaduan di sana. Hal ini diakui Ketua Bahagian MIC Hulu Selangor, K Balasundaram.

Namun, sejauh mana tindakan protes dan boikot ini bakal menjejaskan kempen dan gerak kerja calon Kerajaan Perpaduan, ia masih terlalu awal untuk dijelaskan, memandangkan tempoh berkempen dan gerak kerja PRK masih berada di fasa permulaan.

PH mungkin boleh menarik nafas lega apabila Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran minggu lalu menyatakan parti itu sedia turun membantu kempen PRK, termasuk membuka bilik gerakannya. Ia dilihat bakal membantu Kerajaan Perpaduan menarik keyakinan pengundi India di sana, untuk sekurang-kurangnya untuk turun mengundi kelak.

Bagaimanapun, di sebalik komitmen MIC mahu turun berkempen ini, mereka juga meletakkan syarat besar iaitu mahu mahu supaya banyak isu dihadapi masyarakat India di sana diselesaikan segera serta mendapat perhatian penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 40,226 orang pengundi di DUN berkenaan, 39,362 orang adalah pengundi biasa, manakala seramai 625 pengundi adalah anggota polis dan pasangan, tentera pula seramai 238) dan pasangan serta seorang pengundi luar negara.

Kira-kira 46 peratus pengundi terdiri daripada kaum Melayu, sementara Cina sekitar 30 peratus. DUN Kuala Kubu Bharu memiliki sekitar 6,000 pengundi India atau mewakili 18 peratus daripada keseluruhan pengundi. Dua pusat daerah mengundi (PDM) merekodkan jumlah tinggi pengundi India adalah di Bukit Tagar dan Kerling. Baki peratusan pengundi adalah masyarakat Orang Asli.

Ketika PH dan BN terus bergelut untuk meraih sebanyak mungkin undi Melayu, selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk rekod dan prestasi PH serta BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, sandaran calon Kerajaan Perpaduan untuk mengekalkan kemenangan dalam PRK kali ini, amat bergantung kepada undi bukan Melayu.

Undi bukan Melayu amat penting, malah boleh dianggap sebagai 'deposit tetap' mampu menjamin kemenangan PH pada 11 Mei ini. Jika undi mereka berpecah atau kempen boikot digerakkan secara senyap kepada pengundi India berhasil, kesannya sudah tentu kepada pola sokongan bakal diterima calon Kerajaan Perpaduan.

Justeru, masalah dalaman kalangan parti Kerajaan Perpaduan khususnya MCA, MIC dan DAP wajar diselesaikan segera. Persengketaan berterusan akan memberi kesan besar dan mampu mempengaruhi sentimen sokongan pengundi terhadap Kerajaan Perpaduan.

Walaupun rekod dan prestasi Kerajaan Perpaduan dalam mentadbir negara, bakal dijadikan bahan utama sepanjang tempoh berkempen, namun perlu sama diakui stigma rakyat khususnya masyarakat luar bandar terhadap kerajaan hari ini juga tidak begitu mengukuh, terutama dalam isu berkait kenaikan harga barang, kos sara hidup dan sebagainya.

Saingan kuat dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu adalah antara PH dan Perikatan Nasional (PN). Masing-masing kini memegang dan memiliki kumpulan penyokongnya sendiri. Oleh itu, kemenangan parti bertanding di PRK DUN Kuala Kubu Bharu banyak bergantung kepada sejauh mana parti bertanding mampu mengekalkan sokongan menerusi pengundi masing-masing.

Berita Harian X