Isnin, 29 April 2024 | 8:31am

Balikatan 2024 tingkat 'gelora' di Laut China Selatan

LATIHAN ketenteraan antara angkatan tentera berbeza negara dianggap lazim kerana ia peluang terbaik menjalin kesefahaman ketenteraan dan biasanya setiap latihan mempunyai tujuan tertentu.

Umpamanya latihan Keris Aman yang mana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Markas Pemerintahan Indo Pasifik Amerika Syarikat (AS) sebagai tuan rumah kepada angkatan tentera lebih dari 15 negara bertujuan meningkatkan kerjasama dalam bidang tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Tetapi ada juga latihan ketenteraan dianggap begitu sensitif sehingga menimbulkan ketegangan seperti sering berlaku apabila AS, Korea Selatan dan Jepun melaksanakan latihan secara spesifik bertujuan mengekang ancaman Pyongyang.

Lazimnya juga Korea Utara membalas dengan melancarkan peluru berpandu demi memberi isyarat mereka mampu juga mempamer kekuatan ketenteraan yang di miliki.

Tetapi ada juga latihan ketenteraan yang pada satu ketika dianggap lazim dan tidak sensitif namun akibat perubahan geopolitik global, tanggapan dan tujuan latihan juga berubah.

Latihan ketenteraan tahunan Balikatan antara tentera Filipina dan AS sudah masuk kali ke-39, tetapi latihan 2024 dianggap begitu sensitif sehingga menimbulkan ketegangan ketenteraan dan geopolitik.

Balikatan kali ini dianggap terbesar dan disertai lebih dari 16,000 tentera Filipina dan AS. Latihan kali ini juga turut disertai Angkatan Tentera Australia (ADF) dan Tentera Laut Perancis. Latihan bermula 22 April lalu akan tamat pada 10 Mei ini turut disertai Malaysia sebagai negara pemerhati.

Latihan ini menimbulkan ketegangan serantau kerana buat pertama kalinya ia dilaksanakan di luar kawasan perairan 12 batu nautika Filipina iaitu di Laut Barat Filipina atau Laut China Selatan yang mana tercetus tuntutan bertindih antara Manila dan Beijing.

Sejak kebelakangan ini kedua-dua negara bertelingkah begitu agresif mempertahankan hak masing-masing sehingga menjerumus kepada pertembungan secara fizikal mampu mencetus kepada pertembungan lebih besar.

Pertembungan sebegini membuatkan Presiden Joe Biden memberi amaran AS melalui perjanjian pertahanan antara Manila dan Washington dimeterai pada 1951 mempunyai tanggung jawab pertahan Filipina jika diserang.

Tidak syak lagi amaran ini ditujukan kepada Beijing berkait rapat dengan masalah tuntutan bertindih Laut China Selatan. Malah, jurucakap Balikatan dari Angkatan Tentera Filipina (AFP) Kolonel Michael Logico berterus terang mendakwa Balikatan kali ini adalah untuk mempertahankan hak Filipina di Laut China Selatan.

Jurucakap tentera AS, Leftenan Jeneral William Jurney pula menambah Balikatan kali ini adalah manifestasi perjanjian pertahanan bukan sekadar termaktub di atas kertas semata-mata tetapi dibuktikan secara fizikal. Kedua-dua kenyataan ini manifestasi jelas maksud Balikatan kali ini.

Akan tetapi hakikatnya isu Laut China Selatan dapat ditangani dengan baik ASEAN walaupun rundingan mengenai Kod Tatalaku (CoC) dengan China mengambil masa agak lama.

Pertembungan antara Manila dan Beijing sering tercetus adalah kerana kehadiran pihak ketiga iaitu AS. Sebab itu juga kebimbangan terhadap Balikatan jika dikaitkan dengan tuntutan bertindih ini tidak begitu berat untuk ditangani.

Namun apabila dikaitkan dengan isu Taiwan, yang mana Beijing mendakwa Taiwan adalah sebahagian wilayah mereka, maka Balikatan boleh dianggap pemangkin kepada pencetus keadaan lebih berbahaya dalam hal hubungan AS dan China.

Ini kerana Filipina adalah lokasi pangkalan tentera AS terdekat dan strategik dengan Taiwan serta kekangan untuk menghalang Beijing mengambil tindakan ketenteraan sebenarnya perjanjian pertahanan antara Manila dan Washington, bukannya tertumpu kepada Akta Hubungan Taiwan 1979 yang didakwa Washington sebagai tanggungjawab untuk mempertahan kedaulatan Taiwan.

Walaupun perjanjian penempatan pangkalan tentera AS di Filipina lupus pada 1991, tetapi dengan Perjanjian Kerjasama Pertahanan Dipertingkat 2014 (EDCA), beberapa pangkalan tentera baharu sudah dirancangkan di seluruh Filipina seperti di wilayah Cagayan, Luzon iaitu wilayah paling hampir dengan Taiwan.

Seperti mana Pyongyang bertindak balas setiap kali latihan ketenteraan AS dengan Korea Selatan dan Jepun, Beijing juga mengambil pendekatan serupa dengan mengadakan latihan di Laut China Selatan pada awal April. Situasi sebegini yang mahu dielak ASEAN kerana tidak mahu isu Taiwan menjejaskan kestabilan rantau ini.

Tambahan pula Kongres AS sebelum ini meluluskan bantuan khas berjumlah AS$8.1 bilion untuk mempertingkat pertahanan beberapa negara Indo Pasifik.

Filipina dan Taiwan umpamanya diperuntukkan hampir AS$4 bilion untuk mempertingkat sistem pertahanan negara masing-masing melalui dana ini. Malah, Filipina juga mendapat peruntukan tambahan khas berjumlah AS$500 juta dibawah dana Kewangan Ketenteraan Luar kendalian Jabatan Negara AS. Begitu jelas pentingnya Manila kepada AS dalam hal Taiwan.

Sebab itu juga latihan ketenteraan Balikatan kali ini mendapat perhatian luar biasa bukan sahaja dalam kalangan negara ASEAN tetapi juga kuasa besar China. ASEAN tidak mahu kemelut tuntutan bertindih Laut China Selatan dikaitkan pula dengan isu Taiwan tetapi dengan Balikatan 2024 kedua-dua isu ini menjadi saling berkait.

Penulis adalah Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR)

Berita Harian X