Ahad, 28 April 2024 | 9:49am
Persaingan terarah antara PH, PN di Kuala Kubu Bharu. - Foto NSTP
Persaingan terarah antara PH, PN di Kuala Kubu Bharu. - Foto NSTP

Persaingan terarah antara PH, PN di Kuala Kubu Bharu

SEMALAM terjawab sudah siapa calon parti mengambil bahagian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang menyaksikan persaingan empat penjuru antara Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

PH memilih Pang Sock Toa, 31, yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ngar Kor Ming sebagai calon manakala Pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut menjadi ayam tambatan PN.

Kehadiran calon bebas Nyau Ke Xie atau dikenali Eris seperti sudah dijangka dan ia dikaitkan dengan tindakan protes daripada GERAKAN terhadap PN memandangkan GERAKAN bertanding di kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos tahun lalu.

Kehadiran calon PRM, Hafizah Zainuddin juga dikatakan protes kepada PH kerana tidak meletakkan calon Melayu sebagai taruhan. PRM dikatakan parti mesra PH walaupun tidak menyokong Kerajaan Perpaduan.

Persoalan mengenai calon Melayu menjadi topik hangat diperkatakan seminggu lalu kerana 50 peratus pengundi di Kuala Kubu Bharu adalah orang Melayu. Perkara inilah menjadi pertimbangan PN dalam menentukan calonnya kali ini.

GERAKAN daripada awal menegaskan keperluan mengekalkan calon mereka, walaupun salah seorang dipertimbangkan adalah bekas calon kalah pada PRN, yang juga Pengerusi GERAKAN Selangor, Henry Teoh Kien Hong dengan alasan itu kerusi tradisi mereka.

Empat calon yang bersaing pada PRK Kuala Kubu Bharu. (Dari kiri) Khairul Aizat (PN); Nyau Ke Xin (Bebas); Hafizah (PRM) dan Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan dari DAP. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Empat calon yang bersaing pada PRK Kuala Kubu Bharu. (Dari kiri) Khairul Aizat (PN); Nyau Ke Xin (Bebas); Hafizah (PRM) dan Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan dari DAP. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Sementara itu, PH dikatakan menimbangkan calon Melayu di kerusi itu pada peringkat awal, iaitu ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Saripah Bakar tetapi menukar keputusan pada saat akhir.

Difahamkan tindakan menukar calon itu dibuat selepas ada desakan dalam kalangan Ahli Jawatankuasa DAP Hulu Selangor berdasarkan prestasi dan hubungan baik mendiang Lee Kee Hiong dengan penduduk tempatan disenangi pelbagai kaum.

Keputusan meletakkan calon Melayu di DUN itu juga seolah-olah tidak menghormati mendiang Kee Hiong atas sumbangannya ketika hayatnya.

Lebih penting pertimbangan DAP mahu pun PH dalam menentukan calon adalah mengenai memenangi pengundi dan penyokong yang sememangnya sudah bersama parti itu terutama pengundi Cina walaupun jumlahnya sedikit menurun berbanding sebelum ini.

DAP akhirnya menamakan Sock Toa, 31, walaupun beliau bukan calon anak tempatan, tetapi dikatakan sudah banyak pendedahan mengenai parti ketika beliau menjadi penerbit UbahTV kendalian DAP.

Pemilihan calon wanita itu juga dikatakan sebagai meneruskan legasi mendiang Kee Hiong yang juga calon wanita DAP dan namanya disenaraikan saat akhir selepas Pengarah PRK PH di DUN Kuala Kubu Bharu, Ng Sze Han menyatakan 10 nama berpotensi disenarai pendek sebagai calon.

Selain Saripah, turut disenaraikan adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Digital Gobind Singh, Mandeep Singh dan Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Alice Choo Foong Thye.

Pemilihan Sock Toa dibuat selepas dikatakan DAP belajar daripada sejarah susulan kekalahan parti itu pada PRK Parlimen Teluk Intan pada 2014 menyaksikan calon mereka, Dyana Sofya Mohd Daud tewas kepada Presiden GERAKAN, Datuk Dr Mah Siew Keong.

DAP elak insiden berulang

Kekalahan calon DAP pada PRK itu kerana penyokong tegar DAP tidak keluar mengundi sebagai protes kerana calon anak tempatan dalam kalangan orang Cina tidak dipilih selepas mengambil kira peratusan pengundi majoriti dalam kalangan bukan Melayu pada waktu itu.

Bimbang insiden sama berulang, maka percaturan DAP adalah mengekalkan calon kaum Cina di PRK DUN Kuala Kubu Bharu, walaupun wujud pertambahan pengundi orang Melayu.

Namun, penampilan calon Cina bukan hanya mahu mengekalkan status quo, tetapi sebarang keputusan pada PRK itu tidak beri kesan besar kepada kerajaan Selangor dan Persekutuan, walaupun seandainya kemenangan berpihak kepada PN.

Bagaimanapun, untuk menang bergaya, jentera kempen PH bukan sahaja perlu memenangi hati pengundi bukan Melayu tetapi pengundi Melayu dan pengundi muda 18 hingga 35 tahun yang sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menunjukkan sokongan meningkat kepada PN.

Namun, ada pendapat menyatakan PN mahu menampilkan calon Melayu kali ini dalam cubaan BERSATU untuk mengukuhkan kedudukan mereka selepas kehilangan satu kerusi di Selangor selepas ADUN mereka di Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menyatakan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sumber PN menegaskan, pemilihan Khairul Azhari dibuat selepas mengambil kira peratusan jumlah pengundi Melayu di Kuala Kubu Bharu, selain faktor kegagalan GERAKAN mempertahankan kerusi itu pada PRN lalu.

Sebelum ini, BERSATU menegaskan parti itu cenderung mencadangkan calon Melayu pada PRK Kuala Kubu Bharu selepas mengambil kira sokongan pengundi Melayu pasca PRN Ogos lalu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata PN yakin tidak akan berlaku sebarang protes sekiranya calon daripada parti gabungannya, GERAKAN tidak terpilih bertanding pada PRK ini.

Apa pun percaturannya, semuanya bergantung kepada bagaimana jentera kempen pilihan raya parti masing-masing memenangi pengundi di kawasan itu dengan isu nasional tetap akan menjadi pilihan berbanding isu tempatan pada PRK kali ini.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita BH

Berita Harian X