Sabtu, 27 April 2024 | 2:11pm
Foto hiasan. - Bernama
Foto hiasan. - Bernama

Penstrukturan akaun ahli KWSP sesuai arus perubahan ekonomi

Kelmarin, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan penstrukturan semula akaun ahlinya apabila bermula 11 Mei ini, ia akan distruktur semula daripada Akaun 1 dan Akaun 2 kepada Akaun Persaraan (AP), Akaun Sejahtera (AS) dan Akaun Fleksibel (AF).

Ini membabitkan nisbah simpanan adalah 75 peratus caruman akan diserap ke dalam AP dan 15 peratus akan dicarum ke dalam AS, manakala 10 peratus caruman akan dimasukkan ke dalam AF. Ahli KWSP boleh mengakses AF pada bila-bila masa dengan pengeluaran minimum sebanyak RM50.

Itu adalah sedikit sebanyak maklumat berkenaan penstrukturan semula akaun ahli KWSP. Persoalan mungkin timbul adalah mengapa KWSP dilihat begitu akomodatif dalam memenuhi kehendak masyarakat?

Di sini kita perlu memahami dinamik yang telahpun kita saksikan ketika COVID-19 berlaku pada 2020 yang merungkai situasi kedudukan kewangan rapuh dalam kalangan ahli KWSP dan masyarakat Malaysia amnya.

Kalau sebelum berlakunya penularan wabak COVID-19, kita sering mendengar dapatan kajian menyebut rakyat Malaysia yang sukar mengadakan wang RM1,000 bagi tujuan kecemasan tetapi apabila COVID-19 melanda, situasi itu jelas kelihatan.

Berdasarkan episod ini, ia menuntut KWSP untuk menilai semula peranan mereka sebagai institusi diberi amanah untuk mentadbir dana persaraan bagi ahlinya.

Kenaikan kos sara hidup sememangnya menyebabkan kuasa beli rakyat terjejas terutama harga barang berkaitan dengan makanan dan minuman terus-menerus meningkat.

Kadar inflasi bagi sektor makanan dan minuman bukan beralkohol melonjak ke paras 5.8 peratus dan 4.8 peratus pada 2022 serta 2023 berbanding kadar inflasi negara secara keseluruhan, iaitu pada kadar 3.3 peratus dan 2.5 peratus pada 2022 dan 2023.

Ini tidak termasuk dengan harga rumah yang rata-ratanya di luar mampu milik serta pelbagai harga barang dan perkhidmatan yang meningkat naik. Disebabkan faktor kenaikan harga, gaji benar juga merosot.

Sebagai contoh, gaji di peringkat median adalah RM2,424 sebulan pada 2022. Sekiranya kita mengambil kira faktor harga barang, gaji median benar adalah RM1,905 sebulan dengan perbezaan antara kedua-dua angka ini adalah RM519 sebulan.

Ini bererti kuasa beli rakyat sudah hilang sebanyak RM519 disebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Justeru, peranan KWSP adalah amat relevan dari segi memastikan kedudukan kewangan ahli pada masa kini juga terpelihara untuk membina masa depan lebih baik.

Dapatan kajian KWSP menunjukkan hanya 17 peratus ahli KWSP berumur antara 51 tahun hingga 55 tahun yang mencapai simpanan asas, iaitu berjumlah RM240,000 setakat Disember 2023.

Ini bererti 83 peratus ahli-ahli KWSP berumur antara 51 tahun dan 55 tahun tidak mempunyai simpanan asas mencukupi. Simpanan asas adalah suatu penanda aras yang RM240,000 ini membolehkan ahli untuk menggunakan wang sebanyak RM1,000 sebulan untuk menampung kehidupan mereka apabila bersara kelak bagi tempoh 20 tahun akan datang.

KWSP berhati-hati perkenal skim pengeluaran

Oleh itu, KWSP perlu sentiasa berhati-hati dalam memperkenalkan skim pengeluaran akan datang. Nisbah 10 peratus diletakkan terhadap AF menunjukkan KWSP cuba meminimumkan kesan kepada keseluruhan simpanan sekiranya ahli membuat keputusan untuk membuat pengeluaran.

Sememangnya negara ini mempunyai permasalahan dari segi struktur ekonomi yang memerlukan semakan semula terhadap sumber yang digunakan terutama bagi pihak kerajaan.

Di sini terdapat keperluan untuk merombak semula pemberian subsidi dan memperkenalkan pelbagai cukai yang menjadi suatu usaha untuk meningkatkan tahap keupayaan kewangan kerajaan.

Dengan kewangan kerajaan lebih baik seperti defisit fiskal yang semakin kurang dan diikuti pula hutang kerajaan terkawal, maka kerajaan akan mempunyai banyak ruang untuk membangunkan negara.

Sumber kewangan kerajaan yang dirombak akan digunakan untuk meningkatkan daya produktiviti negara bagi tempoh sederhana dan panjang. Apabila produktiviti meningkat, ia mampu menaikkan jualan dan keuntungan dalam kalangan peniaga. Peniaga pula, tidak kiralah kecil atau besar boleh membayar kadar upah lebih tinggi kepada pekerja mereka.

Namun, peralihan ini memakan masa. Kerajaan perlu melaksanakan rancangan konsolidasi fiskal ini yang dalam jangka terdekat akan ada kesan sampingan seperti kenaikan harga barang terutama apabila subsidi bahan api mula dikurangkan.

Justeru, perlu ada suatu mekanisme untuk meminimumkan kesannya. Antara mekanisme yang digunakan adalah bayaran pindahan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Di sini peranan AF boleh dijadikan suatu alatan tambahan bagi mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat di negara ini terutama dalam kalangan ahli KWSP.

Sehubungan itu, penstrukturan semula akaun ahli KWSP ini menunjukkan KWSP sentiasa cakna dalam mengharungi arus perubahan landskap ekonomi. Isu kontemporari seperti kenaikan harga barang, pertumbuhan gaji mendatar dan peningkatan dalam pekerja gig menuntut pihak KWSP untuk menilai strategi mereka dalam memastikan jaminan keselamatan sosial rakyat dapat dikembangkan secara efektif.

Oleh itu, ahli KWSP disaran untuk membuat penilaian cermat dan teliti sebelum membuat keputusan untuk mengeluarkan simpanan mereka. Ahli KWSP juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kedudukan kewangan mereka sentiasa selesa dan sejahtera, bukan semata-mata diletakkan di bahu KWSP.

Penulis adalah Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X