Jumaat, 26 April 2024 | 9:47am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

PH-BN perlu yakinkan pengundi naratif kejayaan Kerajaan Perpaduan

Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei depan membuka lembaran persaingan baharu dalam konteks politik negara terutama di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PRK yang kali pertama diadakan di negeri menjalani Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun lalu itu, membuka seribu satu tafsiran terhadap kedinamikan dan kekentalan landskap politik negara dalam usaha mewujudkan satu identiti kuasa tidak terhad dalam kerangka pentadbiran.

Perlu diingatkan PRK Kuala Kubu Bharu ini walaupun sekadar berlaku pada peringkat negeri, iaitu Selangor, ia tetap akan diukur dengan ribuan persepsi yang akan membentuk pemikiran masyarakat bahawa perencanaan kuasa itu hanya boleh direalisasikan dengan kerjasama pengundi bersifat matang untuk menentukan masa depan mereka melalui jalan demokrasi.

Jika peluang ini tidak dilunaskan dengan bijak, maka aktor dan figura tertentu akan dapat meraih kepentingan mereka dengan membelakangkan posisi rakyat jelata.

Sejak tarikh penamaan calon, undi awal dan hari pengundian diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), gendang perang pilihan raya mula kedengaran dan teka-teki mula berlegar mengenai siapakah sosok sesuai boleh dicalonkan.

Memandangkan sudut geografi politik di kerusi itu menyasarkan etnisiti Melayu sebagai pengundi diikuti Cina dan India, kebanyakan parti bertanding akan mula merencanakan strategi bersesuaian.

Kelmarin, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan calonnya daripada DAP, iaitu Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao, manakala calon daripada Perikatan Nasional (PN) pula diumumkan malam tadi.

Sama ada Kerajaan Perpaduan dianggotai antaranya PH dan Barisan Nasional (BN) atau blok pembangkang, PN, semuanya meletakkan harapan tinggi untuk memenangi PRK ini.

Pada saat Kerajaan Perpaduan sedang menyusun atur segala bentuk dasar membabitkan orang ramai dan negara, tidak kurang terdapat juga rungutan masyarakat mengenai beberapa isu berbentuk ekonomi seperti kejatuhan ringgit, kenaikan harga barang, gaji tidak setimpal, isu bekalan makanan, ketirisan dan penyelewengan.

Ini pastinya memberikan cabaran dan menjadi kekangan utama kepada Kerajaan MADANI demi memastikan kegelisahan rakyat termasuk dari segi ekonomi itu berjaya dinoktahkan.

Dihujahkan bahawa faktor calon semasa tidak memberikan kesan signifikasi mendalam dalam percaturan untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kerana titik pendominasian itu berpusat kepada isu semasa yang boleh disensasikan parti bertanding.

PH, BN pamer semangat setia kawan tinggi

Kita sedia maklum semangat setia kawan dipamerkan PH dan BN dengan UMNO mula mengaktifkan war room PRK mereka dan jaminan diberikan pucuk pimpinan parti itu untuk kekal berkempen bersama calon diketengahkan, menunjukkan ura-ura 'kegoyahan' dalaman tidak berlaku.

Apatah lagi, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran membuat pusingan U bahawa partinya akan turun padang dalam kempen PRK demi kebajikan kaum India selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertingginya memutuskan tidak berbuat demikian.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA memutuskan tidak terbabit dalam aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Bharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN, Jumaat lalu.

Apapun kerjasama antara PH dan BN dipaparkan tepat pada waktunya bukanlah satu jaminan substantif bahawa kemenangan akan berpihak kepada calon Kerajaan Perpaduan.

Ini kerana berdasarkan rekod dicatatkan dan apa yang disaksikan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), apa-apa sahaja boleh berlaku sebenarnya.

Ia berdasarkan realiti dominasi UMNO sendiri semakin susut, PH tidak berjaya mencapai majoriti mudah dan gabungan baharu PN berjaya mengatasi prestasi BN, sekali gus menunjukkan perubahan drastik agak sukar dijangkakan.

Ini juga membuktikan politik Malaysia bersifat lentur dan boleh berubah mengikut kesesuaian yang menunjukkan fenomena terbabit bakal berulang dalam PRK akan datang.

Pada masa sama, pengekalan status quo penyandang kerusi daripada DAP selama lebih dua penggal itu bukanlah satu jaminan bahawa parti itu akan mengulangi episod kemenangan sama.

Malah, persaingan kepartian kali ini lebih kritikal dan mencabar. Tidak kurang juga dengan penurunan umur mengundi daripada 21 ke 18 tahun secara automatik memberikan 'kuasa' kepada remaja lepasan sekolah untuk mencorak masa depan negara.

Pertambahan ketara pengundi kali pertama ini, tidak keterlaluan untuk dihujahkan sebagai angkubah utama yang mencorakkan keputusan PRK berkenaan. Sepahit mana sekalipun, ia adalah cerminan realiti politik semasa yang perlu ditelan.

Seperti yang diperlihatkan baru-baru ini apabila perang psikologi mula disasarkan antara satu sama lain, manakala ketidakharmonian sebahagian pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan menjadi perbualan hangat.

Walaupun ia hanyalah sekadar modal pertikaman lidah antara parti, ia membuka kepada pembentukan persepsi.

Justeru, keberkesanan mobilisasi jentera PRK daripada Kerajaan Perpaduan adalah bergantung kepada kreativiti gabungan itu untuk memposisikan diri sebagai satu sosok politik ampuh dan berjaya menangkis segala serangan daripada pembangkang.

Langkah pertama pastinya dengan menawarkan penjelasan murni mengenai naratif gerak kerja dilakukan kerajaan dalam memastikan struktur sosioekonomi masyarakat dapat dipelihara dengan sebaik mungkin.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X