Ahad, 21 April 2024 | 9:01am
Foto hiasan. -Foto fail NSTP
Foto hiasan. -Foto fail NSTP

Peluang PH padam kekecewaan gagal pertahan majoriti dua pertiga

Politik Selangor kembali menjadi tumpuan selepas kekosongan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong.

Susulan itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan dengan penamaan calon pada 27 April, hari undi awal (7 Mei) dan pengundian pada 11 Mei ini.

Meskipun PRK ini tidak mengubah status kedudukan kerajaan negeri, kemenangan Pakatan Harapan (PH) amat penting bagi memastikan luka kegagalan mempertahankan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu tidak kembali berdarah, sekali gus meremukkan semangat parti pemerintah.

Bagi Perikatan Nasional (PN), PRK ini menjadi medan pertempuran sengit untuk menebus semula kekecewaannya gagal merampas kerajaan negeri dalam PRN apabila hanya memenangi 22 daripada 56 kerusi keseluruhannya.

Dalam PRN itu juga, PN berjaya merampas kerusi Parlimen Hulu Selangor, DUN Hulu Bernam dan Batang Kali tetapi tewas di Kuala Kubu Bharu dengan majoriti 4,119 undi.

PRK ini juga penting kepada PN kerana bakal mencerminkan kekuatan kepemimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerajui PN Selangor selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Abdul Rashid Asari daripada BERSATU membuat kejutan dengan mengalih sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan PH negeri.

Sekiranya PN berjaya memenangi PRK Kuala Kubu Bharu, imej Mohamed Azmin dan PN di Selangor akan kembali pulih, sekali gus mampu membenam persepsi musuh politiknya untuk menyekat momentum gabungan parti berkenaan.

Namun, kedua-dua gabungan parti politik ini mempunyai kekuatan tersendiri dan peluang untuk menang masih terbuka berdasarkan suasana perkembangan politik nasional serta tempatan sekiranya memilih strategi politik tepat serta tercetusnya 'ledakan bom politik' pada saat-saat akhir menjelang hari pengundian.

Kepada PH, beberapa pemerhatian penting dapat disimpulkan. Pertama, gabungan ini tidak berhadapan kesukaran meraih sokongan pengundi Cina dan India berjumlah 48 peratus tetapi jenteranya perlu memastikan segmen pengundi berkenaan keluar mengundi dengan peratusan tinggi dan mencalonkan individu bukan Melayu mewakili PRK berkenaan.

Faktor calon amat penting kerana kerusi DUN Kuala Kubu Bharu tidak pernah disandang wakil rakyat Melayu seperti Hulu Bernam dan Batang Kali. Sekiranya PH menukar calon kepada Melayu, eksperimen ini bakal mengundang malapetaka politik kepada PH apabila tahap sokongan berkemungkinan merosot secara mendadak.

Kedua, PH tidak perlu berkerja keras mendapatkan sokongan lebih 50 peratus pengundi Melayu, sebaliknya hanya perlu menyalurkan tenaga gerak kerja dengan meyakinkan pengundi Melayu sedia ada.

Ini kerana PH masih memperoleh sokongan padu pengundi bukan Melayu, sekali gus menjadi kelebihan kepada mereka berbanding kawasan lain.

Ketiga, PH sebenarnya berupaya menang 'cepumas' dalam PRK ini kerana ia tuan rumah PRK dan kerajaan semasa mentadbir Selangor.

Justeru, PH perlu memaksimumkan penggunaan jentera, kekuatan kewangan dan ketersediaan maklumat untuk menjejaki kumpulan pengundi sasaran bagi mencapai kempen berkesan.

Kerajaan Selangor perlu mengambil kesempatan PRK kali ini untuk menghebahkan pelbagai manfaat dan inisiatif berjaya, sedang dilaksanakan serta bakal dirancang bagi meningkatkan keyakinan pengundi.

Sokongan pengundi Melayu meningkat

Bagi PN pula, pemerhati politik dan rakyat hari ini melihat sokongan orang Melayu terhadap gabungan itu semakin meningkat berbanding sebelumnya.

Pada PRN lalu, PN mendapat peningkatan undi 30.85 peratus, sekali gus menunjukkan peralihan sokongan berlaku walaupun tewas kepada calon PH.

Peratusan undi ini dijangka bertambah dalam PRK apabila pelbagai isu nasional memanaskan suhu politik negara seperti cadangan mengiktiraf Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), isu stoking, kos harga barang dan isu 3R (agama, kaum dan raja) lain yang berpotensi menguntungkan gabungan berkenaan.

Emosi orang Melayu mudah 'terjentik' sekiranya mana-mana ada isu berkaitan Islam, bahasa, hak orang Melayu dan kemuliaan Raja-Raja Melayu. Ini bukanlah baharu kerana ahli akademik Singapura, Lily Zubaidah Rahim pada 1999 dalam bukunya juga mengakui dan menulis panjang lebar perihal sama mengenai sensitiviti Melayu di Singapura.

Oleh itu, PN mempunyai peluang terbaik dalam PRK untuk berpaut atas emosi orang Melayu yang sedang 'dijentik' untuk meraih lebih tinggi sokongan daripada segmen pengundi berkenaan.

Di samping itu, PN perlu berani meletakkan calon Melayu meskipun secara tradisinya GERAKAN bertanding dalam PRN lalu wajar diberi keutamaan. Suhu politik Melayu antara faktor dimanfaat PN dengan meletakkan calon Melayu termasuk daripada PAS demi memastikan sokongan segmen pengundi berkenaan terus melonjak.

Berdasarkan sifir politik, PN hanya perlu menarik 10 peratus sokongan undi bukan Melayu jika mereka yakin 80 peratus undi Melayu sudah berada dalam genggaman.

Cuma, timbul persoalan mengapa calon PAS, bukan BERSATU? Ini kerana pengundi bukan Melayu pernah melihat dan menilai prestasi PAS sebagai antara parti komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) mentadbir Selangor pada 2008.

Malah, PAS pernah bekerjasama dan mempunyai hubungan baik dengan pimpinan DAP serta masyarakat bukan Melayu di Selangor. Pengalaman ini amat mahal sebagai modal menarik sokongan pengundi bukan Melayu yang memiliki kematangan politik dan masih sukar menerima kerjasama politik DAP dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

Namun, peluang PH dan PN dalam PRK masih terbuka luas. Bagi PH, kemenangan ini penting untuk menoktahkan gelombang hijau di utara Selangor, manakala bagi PN inilah masanya 'memadamkan' lambang PH sepenuhnya dalam peta kawasan Parlimen Hulu Selangor, sekali gus menambah koleksi bilangan kerusi DUN sedia ada.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya (UM)

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X