Sabtu, 20 April 2024 | 9:01am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Manfaat Konvensyen Khas PKR untuk teruskan agenda reformasi

Reformasi dan PKR bukan asing dalam latar politik negara sejak era Reformasi 1998. Bahkan apabila kita bercakap mengenai reformasi, pastinya figura daripada PKR amat sinonim dengan ungkapan itu.

Dari reformasi berstatus 'slogan' hingga kejayaan meraih kekuasaan, ia kekal menjadi agenda dalam pembentukan naratif politik negara terutama PKR dalam pakatan besar, Pakatan Harapan (PH).

Dengan sosok Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai lambang utama agenda reformasi, ia menjadikan PKR konsisten memperjuangkan idea politik ini. Mungkin boleh dikatakan, apabila merujuk soal reformasi, sosok inilah akan muncul dalam minda rakyat hingga kini menjadi Perdana Menteri Ke-10 atau lebih sinonim dengan PMX.

Bermula Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila PH menumbangkan Barisan Nasional (BN) hingga hari ini yang menyaksikan pakatan itu menerajui pentadbiran negara di bawah struktur 'Kerajaan Perpaduan.'

Lebih menarik, gabungan politik pasca PRU15 memperlihatkan kerjasama politik dengan rejim lama, BN yang kemudian menimbulkan banyak naratif politik kurang enak dalam kalangan penyokong kedua-dua parti besar ini.

Kesannya pasca PRU-15, pembentukan Kerajaan Perpaduan dan gelombang penolakan khususnya majoriti pengundi Melayu-Islam diperlihatkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

Hampir sebahagian besar pengundi Melayu-Islam memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai simbol penolakan kerjasama PH-BN, bantahan undi kepada calon BN dan transisi sokongan mula beralih daripada BN kepada PN terutama kelompok pengundi ini.

Ditambah pula latar politik Malaysia pasca PRU-15 diperjuangkan PN dengan agenda 3R (agama, kaum dan raja) sebagai strategi pemasaran politik, ia mencetuskan kesukaran dan beban berat buat PMX untuk menjayakan agenda reformasi, ditambah imej UMNO dalam BN dilihat bertentangan dengan agenda berkenaan.

Justeru, timbul persoalan apakah PH masih menjadikan reformasi sebagai agenda utama selepas meraih tampuk pentadbiran? Bagaimana dengan dalaman PKR, apakah persepsi ahli dan penyokong parti ini selepas hampir 16 bulan Anwar mengemudi bahtera Malaysia?

Tidak dinafikan, pasca PRU-15 memperlihatkan perubahan latar politik negara. Perubahan rejim kembali berlaku namun kali ini pembentukan gabungan politik besar apabila tidak ada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Dalam hal ini, peranan konstruktif Yang di-Pertuan Agong diperlihatkan dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan. Namun, beberapa naratif dibangkitkan berkait rapat dengan soal keterancaman Melayu, kemampuan Anwar menguruskan negara dan kekaburan visi pembangunan negara.

Paling mendominasi ruang awam adalah berkisarkan soal naratif 3R yang secara amnya sinonim dengan masyarakat Melayu-Islam. Justeru, Konvensyen Khas PKR yang bakal berlangsung esok, dijangka memberikan tumpuan kepada tiga isu utama membabitkan soal prestasi pengurusan ekonomi, sentimen perkauman dan masa depan PKR sebagai parti menjulang agenda reformasi sebagai visi utama pembangunan negara.

Pertama, dalam konteks prestasi ekonomi. Pastinya yang menjadi tumpuan ialah ucapan penzahiran PMX ketika awal lantikan beliau memberikan tumpuan dan fokus kepada usaha menstabilkan kos sara hidup negara.

Hasilnya, program Bantuan Rahmah diperkenalkan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, dilancarkan dan memberikan satu sudut pandang positif dalam kemampuan Kerajaan Perpaduan menguruskan kos sara hidup.

Dengan pelancaran MADANI sebagai teras dasar negara pula membawa kepada pembentukan Ekonomi MADANI, agenda reformasi ataupun penstrutkturan semula model agihan subsidi diperkenalkan dalam usaha memastikan faedah ekonomi diterima kelompok sepatutnya.

Misi dan visi masih kabur

Bagaimanapun, hal ini masih lagi dikatakan dalam mod kabur kerana tidak jelas visi dan misi pembangunan, ditambah pula isu pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) dibangunkan untuk mengenal pasti penerima program subsidi bersasar didakwa berpotensi berlaku kebocoran maklumat dan menimbulkan ketidaksenangan kepada rakyat masih kurang jelas hala tuju program pembangunan ini di sebalik penegasan diberikan terutama Menteri Ekonomi. Ini mungkin juga berpunca daripada kelemahan sistem penyampaian dan komunikasi strategik pada pihak kerajaan yang menyumbang kepada situasi berkenaan.

Kedua, pengurusan sentimen perkauman. Penulis berasakan perkara ini paling mustahak perlu diberikan tumpuan oleh PKR dalam konvensyen khas ini. Ia disandarkan kepada beberapa situasi negara terutama di Semenanjung yang naratif perkauman masih giat dibangkitkan khususnya berkaitan keterancaman Melayu dan kedudukan Islam khususnya berkait soal peranan mahkamah syariah.

Ini menandakan naratif atau sentimen perkauman masih berleluasa, sekali gus menjadi bebanan besar kepada PKR yang mendukung nilai teras pelbagai kaum untuk menguruskan perihal politik perkauman khususnya bagi PMX.

Umum mengetahui, sokongan Melayu kepada PKR tidaklah begitu boleh dibanggakan, malah 16 bulan selepas pentadbiran PMX, sokongan Melayu-Islam dilihat kian merudum.

Ini boleh diterjemahkan melalui pola sokongan pengundi Melayu dalam PRN 2023 dan kaji selidik ringkas dijalankan sekitar November 2023 oleh Merdeka Centre yang menurun dari 2022 dengan 68 peratus kepada 50 peratus (2023).

Meskipun, dapatan kaji selidik masih boleh dibahaskan, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR wajar memberikan fokus bagaimana untuk menjadikan parti itu relevan dalam meraih sokongan Melayu-Islam terutama pada PRU16.

Ketiga, soal masa depan parti. Pastinya ini menjadi sandaran utama, dengan agenda reformasi perlahan direalisasikan, kredibiliti PKR sebagai parti mendukung dan menjulang agenda itu kian dipersoalkan.

Pada masa sama, PKR berdepan soal krisis legasi kepemimpinan dengan persoalan dilontarkan dari bawah adalah siapakah bakal menggantikan Anwar sebagai figura atau sosok unggul dalam PKR pada masa depan?

Tentu sekali ini menjadi tumpuan kerana jika dilihat dalam PKR, belum ada sosok mampu menyaingi karisma PMX bahkan parti lain pun turut bergelumang dengan krisis ini dalam membina legasi kepemimpinan karismatik masa hadapan.

Mungkin ini jugalah menjadi kegusaran Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang membangkitkan persoalan kesediaan PKR menyediakan calon pengganti Anwar sebagai Presiden PKR dan Perdana Menteri pada masa akan datang.

Tentu sekali dalam lapangan politik, soal menerajui agenda perjuangan setelah meraih kekuasaan, dilihat mustahak untuk direalisasikan. Namun, jika belum mampu dicapai, ternyata masih belum terlambat.

Apa yang pasti Konvensyen Khas PKR 2024 pastinya akan membangkitkan ketiga-tiga isu itu dalam usaha memastikan parti terbabit sentiasa relevan dalam konteks politik negara.

Dengan kuasa yang ada dan dominasi PKR dalam Kerajaan Perpaduan, langkah terbaik adalah memastikan komunikasi strategik kerajaan berada dalam keadaan konstruktif dan efektif dalam usaha memperkukuh persepsi positif rakyat terhadap kepimpinan PMX dan mengemudi kembali agenda reformasi secara berperingkat namun kekal berkesan.

Paling utama, pastinya pendukung agenda reformasi tidak hanya mahu reformasi kekal sebagai slogan populis sahaja.

Penulis adalah Pensyarah Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X