Khamis, 18 April 2024 | 9:01am
 Kesan ekonomi akibat ketidakstabilan dan konflik di Asia Barat akan menyebabkan negara lain mengalami pertumbuhan ekonomi perlahan. - Foto AFP
Kesan ekonomi akibat ketidakstabilan dan konflik di Asia Barat akan menyebabkan negara lain mengalami pertumbuhan ekonomi perlahan. - Foto AFP

Pastikan pasaran kewangan, inflasi stabil di sebalik konflik Asia Barat

Bermula dengan perang oleh penjajah Israel ke atas Palestin sejak Oktober 2023, konflik di rantau Asia Barat semakin meruncing apabila Iran melepaskan serangan dron kepada Israel sebagai tindak balas serangan Israel ke atas Kedutaan Iran di Damsyik yang mengorbankan tujuh anggota, termasuk jeneral tertinggi mereka.

Keadaan ini menyebabkan situasi yang lebih tegang di Asia Barat, sekali gus menimbulkan suasana ketidakpastian ekonomi yang tinggi. Walaupun impak ke atas ekonomi global masih sederhana, sekiranya ia berterusan berlaku ia akan memburukkan lagi keadaan ekonomi dan kewangan dunia.

Timbul kebimbangan sekiranya pergolakan ini mencetuskan perang yang lebih berskala besar dia Asia Barat dan akan menyebabkan lebih banyak krisis kemanusiaan. Umumnya, berapa besar kesan limpahan negatif kepada ekonomi akibat konflik ini bergantung kepada berapa lama pergolakan berlaku dan berapa banyak negara yang terbabit.

Ketidakstabilan ekonomi di rantau Asia Barat dijangka akan memperlihatkan pertumbuhan ekonomi negatif bagi tahun ini di rantau negara terbabit, terutama di negara MENA (Asia Barat dan Utara Afrika). Ini dapat dilihat daripada kesan konflik perang Palestin-Israel menjejaskan pertumbuhan ekonomi serantau di negara MENA.

Berdasarkan Laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada awal Januari lalu, kesan konflik Palestin-Israel mengunjurkan pertumbuhan ekonomi di rantau MENA pada tahun ini jatuh sebanyak 0.5 peratus kepada 2.9 peratus berbanding pencapaian Oktober tahun lalu. Pun begitu, MENA sudah menghadapi pertumbuhan ekonomi yang perlahan sekitar 2.0 peratus sahaja pada 2023.

Ahli Ekonomi IMF turut berkata, konflik lebih meluas antara Israel dan Iran berkemungkinan akan menyebabkan harga tenaga lebih tinggi, sekali gus menyebabkan bank pusat akan mengetatkan dasar monetari untuk mengawal inflasi, sekali gus menjejaskan pertumbuhan.

Pierre-Olivier Gourinchas dalam satu sidang media berkata, 'senario buruk' dalam Tinjauan Ekonomi Dunia IMF menunjukkan kenaikan 15 peratus harga minyak global disebabkan konflik Asia Barat meluas, selain kos perkapalan lebih tinggi bagi mengelak serangan Laut Merah, berkemungkinan meningkatkan inflasi global sebanyak 0.7 mata peratusan.

Gangguan rantai pengeluaran barangan 

Sementara itu, akibat ketidakstabilan di negara sekitar Laut Merah, banyak laluan perdagangan terpaksa dihentikan dan ini mengganggu rantaian pengeluaran barangan di kebanyakan negara. Kesannya akan meningkatkan kos pengeluaran barangan, terutama kos logistik pengangkutan dan penyimpanan yang akhirnya meningkatkan lagi harga barang.

Kebanyakan negara di Asia Barat juga negara pengeluar utama minyak dunia. Iran misalnya, adalah negara anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) ketiga terbesar pengeluar minyak dan pengeluar minyak ketujuh terbesar dunia.

Walaupun pergolakan tidak menunjukkan kesan ketara kepada harga minyak dunia setakat ini, sekiranya konflik berterusan untuk satu jangka masa lebih panjang atau berlaku serangan ke atas fasiliti minyak, mahupun sekatan perjalanan menjejaskan pengeluaran, ia akan menyebabkan harga minyak meningkat.

Kesan kenaikan harga minyak akan meningkatkan lagi kadar inflasi kerana adanya korelasi positif antara kedua-dua pemboleh ubah. Ekonomi saling bergantung menyebabkan sebarang ketidakpastian akan menyebabkan pelaburan luar dan permintaan domestik juga terjejas.

Malah, dengan ketegangan geopolitik Asia Barat, sektor pelancongan turut terjejas. Bilangan pelancong ke Asia Barat juga terjejas berikutan ruang udara terpaksa ditutup dan penerbangan dihentikan akibat laluan tidak selamat di negara Asia Barat.

Negara terdekat seperti Mesir, Jordan dan Lubnan antara negara akan terjejas teruk akibat konflik ini. Kesan ekonomi akibat ketidakstabilan dan konflik di Asia Barat akan menyebabkan negara lain juga mengalami pertumbuhan ekonomi perlahan dan inflasi meningkat kerana ekonomi global saling berkait.

Walaupun setakat ini kedudukan Malaysia masih stabil, sebagai sebuah negara kecil mengamalkan ekonomi terbuka, konflik di rantau Asia Barat masih boleh memberi kesan.

Justeru, pemantauan dari semasa ke semasa adalah penting untuk kerajaan dan pembuat dasar memastikan sektor terjejas dan cuba meminimumkan risiko terbabit.

Perlu juga difikirkan beberapa strategi jangka pendek dan jangka panjang dalam mengurangkan kesan akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat. Antara strategi boleh dilakukan adalah mengurangkan kebergantungan serta mempelbagaikan strategi pelaburan dan perdagangan.

Justeru, pembuat dasar monetari melalui alat instrumen dasar perlu memastikan pasaran kewangan dan inflasi kekal stabil. Begitu juga, peranan dasar fiskal perlu memastikan pasaran kewangan dan perdagangan tidak terjejas teruk akibat konflik Asia Barat. Pengurusan risiko adalah perlu untuk mengurangkan impak kemeruapan daripada ketidak-
stabilan geopolitik.

Apa yang pasti, kerajaan menerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberi jaminan akan terus memantau dengan teliti perkembangan konflik di Asia Barat dan mengambil langkah proaktif untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia, sentiasa terjamin.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X