Rabu, 17 April 2024 | 1:42pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Tehran sekadar gertak Tel Aviv, bukan mahu cetus konflik besar

Andaian tercetusnya konflik lebih besar di rantau Asia Barat susulan serangan bertubi-tubi Iran terhadap Israel beberapa hari lalu sememangnya ada kemungkinannya, tetapi jika ditinjau strategi 'berhemah' Iran melancarkan lebih 300 peluru berpandu dan dron, disusuli kejayaan Israel memintas serangan itu dan keputusan mesyuarat Kumpulan G7 serta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), kemungkinan itu amat tipis kebarangkaliannya.

Hebat sangatkah sistem pertahanan udara Israel sehingga 99 peratus daripada semua dron dan peluru berpandu Iran berjaya dipintas bahkan paling menakjubkan hanya 10 peratus sahaja berjaya menembusi ruang udara Israel.

Persepsinya juga betapa Iran kurang bijak mencatur strategi serangan sehingga mudah dipatahkan Israel yang dibantu Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) sehingga tiada satu pun infrastruktur Israel dapat dimusnahkan. Apa yang dipamerkan adalah lubang besar akibat hentakan serpihan dron dan peluru berpandu dipintas.

Hakikatnya, 48 jam sebelum serangan Iran bermula, Washington mula mengeluarkan amaran seolah-olah sudah dapat menghidu perancangan Tehran. Begitu spesifik amaran itu sehingga dijangka Iran akan melancarkan peluru berpandu dan juga dron bukan sahaja melalui proksi, tetapi berpunca dari wilayah Iran sendiri.

Seperti diketahui, jangkaan Washington adalah tepat sekali seakan Tehran sendiri memaklumkannya. Khabar angin Tehran memang memaklumkan rancangan spesifik mereka ke Ankara, Turkiye dan besar kemungkinan maklumat diperoleh Washington berpunca dari sini.

Berpandukan senario ini, Iran sebenarnya merencanakan serangan bukan dengan niat membawa kemusnahan secara besaran terhadap Israel. Niatnya adalah untuk memberi amaran Iran mampu melancarkan serangan dari wilayah mereka yang selama ini tugas berkenaan dipikul proksi seperti kumpulan Hizbullah di Lubnan dan Houthi di Yaman.

Isyarat ini sebenarnya dibaca dengan sempurna Washington apabila Presiden Joe Biden menasihati Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak perlu mengambil tindakan serang balas kerana Israel sebenarnya menang dalam pertelingkahan dengan Iran. Tehran pula mendakwa berjaya menyempurnakan strategi mereka.

Sukar juga untuk menerima kenyataan kedua-dua seteru ini mencapai kejayaan kerana jika ada pihak menang, pihak mana pula tewas. Sememangnya serangan Iran dianggap mengejutkan dan tidak diduga kerana seperti AS, tindak balas bakal diambil Israel terhadap negara atau kumpulan menyerang kepentingannya adalah melampaui batas.

Zionis ceroboh kedaulatan Iran

Lihat sahaja apa yang berlaku selepas Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober tahun lalu. Iran sebenarnya tidak mempunyai pilihan kerana selama ini proksi mereka berada di baris hadapan. Tetapi selepas pejabat konsulat di Damsyik dibom, kedaulatan Iran seperti diceroboh Israel.

UNSC melakukan kesilapan susulan serangan konsulat Iran itu kerana gagal mengambil tindakan tegas terhadap Israel atau sekurang-kurangnya membidas tindakan Israel itu.

Walaupun Iran dan Israel seteru tradisi, selain Tel Aviv secara logiknya dan strategik sudah pasti akan mengambil peluang menyerang balas kepentingan Iran, tetapi senario Perang Gaza tidak memungkinkan Israel mengambil tindakan lebih drastik untuk membalas dendam. Malah semua pemimpin G7 menasihati Netanyahu tidak mengambil tindakan drastik.

Memang agak ironis sekali kerana Iran yang dianggap negara 'pariah' dan dituduh membiayai kumpulan pengganas seperti Hizbullah, Houthi serta Hamas dan melakukan serangan bertubi-tubi terhadap Israel, sekutu Israel melalui G7 dan UNSC hanya mampu mengkritik Tehran dan tidak mencadangkan Iran dikenakan sekatan ekonomi dan diplomatik lebih ketat.

Malah lebih ironis lagi seolah-olah tangan Netanyahu diikat demi mengelak Israel melancar serangan balas. Lebih memalukan Tel Aviv adalah Washington tidak akan membantu Israel secara langsung jika Netanyahu mengambil keputusan menyerang balas. Maksudnya Netanyahu berseorangan dalam hal berdepan dengan Iran walaupun AS tidak akan menghentikan bekalan senjata kepada Israel.

Hakikatnya adalah konflik lebih besar tidak menguntungkan sesiapa. Berlatarbelakangkan apa yang berlaku di Gaza, walaupun ada negara Arab lebih akrab dengan Israel berbanding Iran, tetapi jika perang meletus atau pun Israel membuat serangan balas sudah agak pasti negara Arab akan bersama-sama dengan Iran sebagaimana negara Arab bersama rakyat Palestin.

Netanyahu begitu arif Perang Gaza menyebabkan Israel kehilangan rakan dalam kalangan negara Arab dan Islam yang mungkin sebelum ini agak mesra dengan Tel Aviv. Jika sekali lagi Netanyahu bertindak secara angkuh dan sembrono terhadap Iran, maka besar kemungkinan bukan sahaja rakan negara Arab menjauh diri dari Israel, kemungkinan juga penyokong tegar seperti AS bakal membuat keputusan dianggap tidak diduga Netanyahu. Tidak dapat dinafikan yang menang adalah Iran sebenarnya dan bukan Israel.

Berita Harian X