Selasa, 16 April 2024 | 10:18am

Perkukuh kursus antirasuah di IPT lahirkan mahasiswa berintegriti

SETIAP tahun, institusi pengajian tinggi (IPT) berjaya melahirkan ratusan ribu graduan dalam pelbagai bidang profesional. Golongan mahasiswa ini hakikatnya nadi kepada kelestarian pembangunan negara dan bakal menjadi pemimpin masa hadapan.

Namun, apakah kualiti pemimpin yang kita inginkan untuk mencorak masa hadapan negara. Bagaimana pula gaya kepemimpinan boleh menyumbang kepada kejayaan dan keberkatan sesuatu organisasi.

Persoalan sebegini sudah muak dan menjadi klise untuk diulang serta dilaungkan. Namun, sehingga kini perkara pokok seperti inilah mesti kita fikirkan untuk merancang apakah langkah strategik dan efektif harus dilaksanakan.

Hari ini, kes rasuah dan amalan tidak berintegriti masih berlaku, sama ada dalam skala serta aktiviti kecil atau kes besar. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan sebanyak 406 tangkapan (berdasarkan aduan) sehingga Mac tahun ini membabitkan kumpulan penjawat awam, sama ada pengurusan tertinggi, pengurusan dan profesional serta sokongan, termasuk orang awam.

Jika dibandingkan statistik keseluruhan pada 2023, terdapat sebanyak 1,137 tangkapan dibuat, manakala pada 2022 hanya 909 kes. Sekiranya membaca daripada maksud tersirat, peningkatan kes rasuah direkodkan pada 2022 dan 2023, maka tidak mustahil kes ini akan terus meningkat apabila berakhir tahun ini.

Tidak memeranjatkan apabila SPRM menunjukkan rekod penangkapan mereka yang terbabit dengan rasuah daripada kumpulan belia sebanyak 85 kes bermula usia 17 hingga 24 tahun. Mesej ini membawa kepada inisiatif kerajaan untuk memberi kesedaran, kefahaman dan pengajaran kepada golongan belia untuk tidak terjebak dengan aktiviti rasuah.

Oleh itu, modul Kursus Integriti Anti Rasuah (KIAR) mula diajar dan menjadi subjek wajib di IPT bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar konsep integriti dan amalan antirasuah.

Inisiatif diperkenalkan ini memberi impak positif dalam usaha memberi pengetahuan dan pemahaman bahaya jenayah rasuah kepada pelajar melalui topik disusun untuk melengkapkan kursus diambil.

Selari dengan fungsi IPT yang menjadi destinasi pertama dalam memberi pendidikan kepada pelajar sebelum memasuki alam pekerjaan, ilmu berkaitan integriti dan antirasuah ini menjadi satu daripada subjek penting untuk memberi pendidikan dan panduan kepada mahasiswa memahami erti rasuah supaya mengelak daripada terjebak amalan rasuah kelak.

Wujudkan kebencian terhadap rasuah

Berdasarkan pemerhatian umum sebagai tenaga pengajar modul KIAR, mahasiswa mengambil kursus ini boleh memahami secara literal apa dimaksudkan rasuah, apa yang boleh dan tidak dilarang dan sebagainya.

Namun, pengukuran kefahaman itu masih terlalu awal untuk memberi jaminan mereka yang mengambil kursus ini berjaya menimbulkan kebencian terhadap perbuatan rasuah dalam diri mereka.

Oleh itu, IPT perlu mencari inisiatif untuk memastikan kefahaman mereka terhadap slogan 'Kami Benci Rasuah' ini tetap malar segar dalam ingatan sehingga pada hari terakhir mereka keluar melangkah dari tempat pengajian. Hal ini penting supaya apa yang diajar dan diterapkan tidak hanya 'masuk ke telinga kanan, keluar telinga kiri'.

Justeru, antara ciri-ciri pemimpin berkualiti adalah apabila mereka mampu menjadi teladan kepada pengikutnya dan juga bersih daripada salah laku aktiviti rasuah. Hasrat ini sepatutnya disambut dengan baik pimpinan tertinggi universiti untuk bersama-sama melahirkan mahasiswa bersifat 'as-siddiq' (benar).

Mahasiswa IPT yang rata-ratanya berusia antara 20 hingga 24 tahun berada pada fasa pendewasaan untuk dilentur dan diterapkan bagi memahami erti serta konsep rasuah. Rasuah dan pemimpin saling berkait antara satu sama lain.

Sekiranya terdapat pemimpin mengambil dan mengamalkan rasuah, maka akan jatuh binasalah kepemimpinannya sehingga memusnahkan karier, politik dan lebih teruk jika perbuatan hina terus diingati seluruh rakyat.

Banyak bukti dan kes dilaporkan berlaku di dalam, mahupun di luar negara mengenai kemusnahan seseorang pemimpin terbabit dengan skandal rasuah. Oleh itu, penting untuk kerajaan memikirkan pendidikan jangka panjang untuk memastikan setiap belia Malaysia membenci amalan tidak berintegriti dan rasuah.

Inisiatif kerajaan membanteras amalan tidak berintegriti ini dengan lebih awal wajar dipuji dan disokong, namun modul KIAR ini hanya akan menjadi sia-sia sekiranya mahasiswa tidak bersungguh-sungguh memahami bahaya amalan rasuah walaupun mereka tahu mengupah kawan menyiapkan tugasan diberikan juga adalah bibit-bibit rasuah.

Selain itu, bukan hanya tadbir urus yang baik perlu diutamakan, bahkan persekitaran yang baik juga penting untuk sama-sama mengamalkan kepimpinan baik, tidak dipengaruhi persekitaran negatif selain cara berfikir salah dalam usaha membuang jauh amalan rasuah dan tidak berintegriti dalam kehidupan seharian dan pekerjaan.

Golongan belia yang kita harapkan untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan perlu dicorak mindanya untuk beriltizam mengamalkan nilai kepemimpinan mulia tanpa dipengaruhi pelbagai aktiviti salah laku, termasuk rasuah. Ia boleh bermula dengan pengurusan persatuan pelajar.

Hakikatnya, keimanan dan jati diri seseorang itu juga menjadi sandaran utama untuk membenci amalan rasuah, mengubah pendirian dan pemikiran supaya menolak segala amalan rasuah.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X