Isnin, 15 April 2024 | 8:47am

Semak semula Akta Anti Lompat Parti demi kestabilan politik jitu

PERTUKARAN kerajaan akibat Langkah Sheraton pada 2020 secara tidak langsung menyedarkan ahli politik negara mengenai pentingnya satu akta khas bagi menjaga etika ahli politik dalam konteks strategi dilaksanakan.

Susulan perspektif buruk terhadap politik negara ini, maka Ahli Dewan Rakyat bagi penggal ke-14 bersepakat supaya sebuah akta khas digubal bagi membentuk kestabilan politik untuk negara.

Pada 31 Ogos 2022, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan pada 6 September 2022.

Menariknya mengenai akta ini, ia diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga, iaitu seramai 209 orang Ahli Parlimen mengundi supaya akta ini diluluskan. Situasi ini secara tidak langsung membuktikan semua Ahli Parlimen bersetuju untuk membendung tindakan lompat parti bagi menjamin kestabilan politik negara.

Walaupun begitu, pelaksanaan segera akta ini memperlihatkan kelompangan jelas, sehingga menyebabkan akta ini kelihatan longgar, terutama dalam aspek pelaksanaan. Justeru, perkara ini menimbulkan polemik mengenai keberkesanan akta ini terhadap matlamat untuk menjamin kestabilan politik negara.

Melalui undang-undang anti lompat parti ini, terdapat dua klausa asas membolehkan seseorang Ahli Parlimen diisytihar lompat parti dan kerusi disandangnya diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Rakyat.

Klausa itu adalah apabila seorang Ahli Parlimen mengumumkan keluar parti politik dengan menyatakan menjadi ahli Bebas atau menyertai parti politik lain, maka beliau akan diisytihar terlucut kerusi Parlimen.

Kedua, seorang Ahli Parlimen tetapi dipecat parti juga ditakrifkan sebagai melompat parti. Walaupun begitu, undang-undang berkenaan jelas mempunyai kelemahan masih lagi perlu dibaiki.

Kelemahan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi turut berlaku di negara lain mengamalkan undang-undang sedemikian seperti Singapura, India, New Zealand dan United Kingdom (UK).

Faktor utama menyebabkan undang-undang ini nampak longgar disebabkan mekanisme pelaksanaannya belum jelas dan akhirnya matlamat undang-undang ini untuk melindungi pihak berwajib tidak tercapai.

Di Malaysia, kelemahan paling ketara mengenai undang-undang ini adalah berlakunya perubahan sokongan, namun masih kekal dalam parti yang sama masih lagi dikira sebagai Ahli Parlimen yang sah.

Dalam tempoh Kerajaan Perpaduan dibentuk, akta ini pertama kali diuji. Walaupun begitu, terdapat kejanggalan apabila ada Ahli Parlimen dari blok pembangkang mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi tidak menukar parti atau berpindah dari blok pembangkang kepada blok kerajaan.

Sehingga kini, seramai enam Ahli Parlimen dari blok pembangkang khasnya BERSATU mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri secara terbuka tanpa bertukar parti. Namun begitu, pengisytiharan itu tidak menjejaskan kedudukan mereka sebagai Ahli Parlimen.

Tindakan serlah kelemahan akta

Situasi ini berlaku disebabkan mereka hanya mengisytihar sokongan, tetapi tidak bertukar parti yang mana klausa ini tidak dinyatakan dalam akta melarang Ahli Parlimen bertukar parti. Tindakan Ahli Parlimen ini menyerlahkan kelemahan ketara akta berkenaan.

Selain kesan positif berlaku kepada kerajaan, kelemahan akta berkenaan ini juga membuka pekung terhadap kerajaan. Sekiranya enam Ahli Parlimen menyokong kerajaan tanpa bertukar parti, tindakan sama juga boleh dilakukan Ahli Parlimen dari blok pembangkang.

Sehingga kini, kerajaan mempunyai 153 kerusi Parlimen, manakala pembangkang 69 kerusi Parlimen. Berdasarkan kepada jumlah ini, pembangkang hanya perlu mendapat 45 kerusi sahaja lagi bagi mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Jumlah ini bukan sesuatu sukar diperoleh memandangkan terdapat beberapa Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN), Sabah serta Sarawak tidak sehaluan kerajaan. Persoalannya, sekiranya 45 orang Ahli Parlimen menyokong kepada blok pembangkang, adakah kerajaan akan bertukar? Jawapan langsung adalah ya.

Berdasarkan kepada situasi politik berlaku sekarang, kerajaan boleh bertukar dan ini secara tidak langsung memperlihatkan akta diwartakan pada 2022 oleh Ahli Parlimen tidak memiliki keabsahan jelas bagi melindungi integriti politik negara.

Sebelum pindaan dilakukan pada akta berkenaan, pihak yang sepatutnya lebih cakna dalam hal ini adalah penasihat undang-undang dan majlis tertinggi setiap parti.

Mereka perlu memahami akta ini, seterusnya menstruktur semula dengan meminda perlembagaan parti supaya selaras dengan akta berkenaan. Antara parti terawal meminda perlembagaan bagi menghalang mana-mana wakil rakyat sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Parlimen bertukar sokongan atau parti secara langsung adalah DAP, PKR dan UMNO.

Perlembagaan PAS sudah mempunyai 'baiah' atau lafaz ikrar lebih tersusun sebelum Akta Anti Lompat Parti digubal. Walaupun begitu, terdapat juga parti politik terlewat meminda perlembagaan seperti BERSATU. Pindaan perlembagaan BERSATU hanya dilakukan selepas peristiwa enam orang Ahli Parlimen mereka menyokong Perdana Menteri.

Selaras dengan kelompangan terdapat pada akta berkenaan, tindakan perlu dilakukan bagi memperkasanya adalah mengubah beberapa klausa mengelirukan.

Antaranya mengambil tindakan dan mengisytiharkan kekosongan kerusi pada mana-mana Ahli Parlimen bertindak bertentangan keputusan ketua parti dan whip parti dalam Dewan Rakyat, terutama perkara membabitkan undian seperti usul belanjawan dan undi tidak percaya.

Sekiranya klausa ini diutamakan, tidak akan berlaku perkara sedemikian dan tindakan mereka membolehkan Speaker Dewan Rakyat mengisytiharkan kekosongan kerusi.

Oleh itu, beberapa perkara membabitkan Akta Anti Lompat Parti ini perlu disemak semula, selaras dengan matlamat bagi membentuk kestabilan politik jitu. Dengan adanya pemerkasaan semula akta berkenaan, keraguan pengundi terhadap integriti Ahli Parlimen dan sistem politik Malaysia dapat dihapuskan sekali gus menjamin kestabilan negara.

Penulis adalah Pensyarah di Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Berita Harian X