Selasa, 9 April 2024 | 11:59am
Foto hiasan. - Foto fail NSTP
Foto hiasan. - Foto fail NSTP

Terjemahkan silaturahim sesama insan ketika sambutan Syawal

Kita sampai ke penghujung Ramadan dan akan masuk 1 Syawal meraikan Aidilfitri selepas sebulan umat Islam ditarbiah serta dididik dalam madrasah Ramadan. Kehadiran Ramadan amat dinanti-nanti kerana membawa seribu satu rahmat, hadiah pengampunan dosa dan tawaran pembebasan api neraka.

Perintah puasa ada tujuannya. Allah SWT berfirman; "Wahai orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa." (Al-Baqarah: 183)

Membentuk takwa dalam diri, itulah tujuan sebenar perintah puasa Ramadan. Apakah itu takwa? Sayidina Ali Abi Talib RA berkata: "Taqwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab diturunkan. Reda dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan."

Sayidina Abdullah Mas'ud RA pula berpendapat: "Takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah SWT dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari."

Begitu penting takwa dalam hidup, masakan tidak penting, hingga diulang-ulang dalam khutbah Jumaat setiap minggu. Firman Allah SWT: "Wahai orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (Ali Imran: 102)

Bermula 1 Ramadan, kita semua melalui madrasah dengan penuh kesabaran dan ketekunan. Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, bahkan mengawal diri daripada melakukan dosa dan noda.

Nafsu manusia dididik dengan amalan kerohanian. Melazimi solat fardu dan sunat Tarawih di masjid serta surau, menyediakan juadah berbuka puasa kepada mereka yang tidak berkemampuan, bersedekah dan membantu golongan asnaf, selain saling memberikan nasihat ke arah kebaikan. Inilah pakej amalan menyuntik rasa ihsan di dalam diri.

Begitulah amalan bersahur, berpuasa pada siang hari Ramadan, tilawah dan tadarus al-Quran, iktikaf, muhasabah, qiamullail, zikrullah dan sebagainya yang dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan jiwa hamba.

Ini adalah medan latihan membentuk takwa dalam hayat dan mesti diterjemah dalam setiap dimensi kehidupan. Kita mesti berusaha menjadi ayah dan ibu bertakwa, juga majikan dan pekerja bertakwa, pentadbir dan pengurus bertakwa dan sebagainya. Begitulah sisi hidup kita, semuanya mesti diletakkan di atas asas iman, takwa dan amal soleh.

Semoga semua amalan itu diterima sebagai amal soleh. Semoga kita semua menerima ganjaran seperti dijanjikan Allah SWT dalam mafhum sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu dikenali dengan nama Al-Rayyan khusus bagi ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada kiamat nanti. Selain mereka tidak dibenarkan masuk (melalui pintu itu)." (Hadis riwayat Bukhari).

 Terus usaha santuni masyarakat

Merenung kembali sepanjang Ramadan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) meneruskan usaha menyantuni masyarakat tidak berkemampuan. Begitu juga program bantuan untuk meringankan beban golongan tidak berkemampuan diteruskan. Ini saya selalu titipkan kepada warga kerja agensi hal ehwal Islam bahawa adalah amat perlu kita memastikan masyarakat merasai keberadaan agensi hal ehwal Islam.

Sekadar mencatatkan beberapa contoh, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan program Rahmah Ramadan membabitkan keseluruhan peruntukan RM38.7 juta diagih kepada asnaf dan mereka yang memerlukan dalam pelbagai bentuk seperti ziarah ke pusat kebajikan dan rumah asnaf, sumbangan pakaian dan keperluan hari raya, sumbangan kepada pesakit hospital dan petugas barisan hadapan.

Pada masa sama, untuk memberikan kemeriahan Syawal kepada golongan asnaf, MAIWP menyalurkan Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM500 sekali beri kepada 32,250 penerima Bantuan Kewangan Bulanan di Wilayah Persekutuan membabitkan peruntukan RM16.1 juta.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pula menggerakkan usaha menganjurkan Iftar Rahmah MADANI dengan peruntukan RM9.45 juta. Program Iftar Rahmah Ramadan berlangsung secara berpusat di 70 masjid dan surau terpilih di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Setiap hari dalam Ramadan, sekitar 21,000 pek makanan berbuka puasa diagih percuma kepada mereka memerlukan khususnya asnaf, B40 dan golongan memerlukan. Maknanya, dalam tempoh sebulan Ramadan ini, sebanyak 630,000 pek makanan berbuka puasa diedarkan percuma dijayakan JAWI, iaitu antara agensi hal ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Begitu juga Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperuntukkan RM2.7 juta bagi program Ihya' Ramadan dan Aidilfitri 2024. Program ini disusun rapi untuk membantu anak yatim, pelajar miskin, keluarga B40 dan golongan rentan.

Selain memberi penumpuan kepada program berbentuk agihan bantuan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JAWI menganjur program pembangunan insan, iaitu 'Geng Subuh Macam Jumaat' di masjid terpilih di Wilayah Persekutuan. Program ini akan terus diadakan berkala sebagai antara usaha pendidikan kepada masyarakat untuk melazimi solat menjadi kekuatan individu dan hubungan kemasyarakatan.

Ramadan tahun ini juga memahat sejarah. JAWI merealisasikan aspirasi saya mewujudkan Akademi Al-Quran Wilayah Persekutuan (AQWA) bagi memberikan fokus program penghayatan al-Quran khususnya kepada generasi muda.

Pada masa sama, AQWA mencungkil bakat baharu dalam tilawah al-Quran, termasuk dalam kalangan anak asnaf di Wilayah Persekutuan.

Kini, kita akan sampai kepada Syawal yang membawa erti kembali kepada fitrah. Meraikan kemenangan selepas sebulan mengharungi cabaran mengekang hawa nafsu daripada melakukan perkara dilarang agama.

Firman Allah SWT: "... dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur." (Al-Baqarah: 185)

Seharusnya Syawal menjadi medan untuk diterjemahkan kasih sayang dan silaturahim sesama insan. Marilah kita menghidupkan tradisi amalan kunjung-mengunjung sesama ahli keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga.

Firman Allah SWT: "Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu." (An-Nisa': 1)

Silaturahim adalah satu nikmat besar kepada kita semua selaku hamba. Berziarah adalah antara usaha mengeratkan silaturahim. Pun begitu, semua perlu sentiasa memperingatkan diri untuk menjaga adab berziarah. Jagalah lidah dan tingkah laku agar tidak mengguris hati ahli keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga.

Saling menghormati dan saling membantu di atas nilai rahmah akan mempertaut kasih sayang sesama kita. Semoga dengan rahmat silaturahim, Allah SWT akan merahmati dan memberkati kemakmuran negara.

Semoga agenda Membangun Malaysia MADANI akan berjaya dilestarikan dengan jaya demi manfaat negara dan ummah.

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Penulis adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Berita Harian X