Isnin, 8 April 2024 | 11:37am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

SUHAKAM perlu kaji kesan terima CEDAW terhadap perundangan Islam

Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) adalah deklarasi antarabangsa melihat diskriminasi dan kesamarataan dari sudut pandang Barat.

Umumnya, Malaysia menerima pakai kebanyakan artikel CEDAW, kecuali beberapa artikel dianggap bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan nilai kekeluargaan Islam.

Bagaimanapun baru-baru ini, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal menyeru Malaysia menarik balik reservasi ke atas artikel CEDAW itu, sekali gus menerimanya tanpa kecuali.

Hakikatnya, Islam menentang layanan buruk, keganasan rumah tangga, penderaan dan peluang pembelajaran tidak adil kepada wanita serta kanak-kanak.

Namun, terdapat beberapa artikel dalam CEDAW menjadi isu kerana dianggap antikeluarga, bercanggah dengan nilai budaya dan agama serta memberi kebebasan penuh hak asasi manusia, termasuk melanggar norma kehidupan seperti LGBT.

Sebenarnya, ada cara untuk memahami kesan reservasi Malaysia ke atas artikel 16 CEDAW itu ditarik balik, iaitu memahami asas artikel berkenaan dan pertentangan dengan nilai Islam, manakala kedua kita meneliti laporan dibuat oleh pejuang feminisme di negara ini dalam mengkritik reservasi Malaysia.

Asas reservasi ini dapat difahami daripada pandangan Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Zanariah Noor.

Artikel 16 (1) (a) merujuk kepada hak sama untuk masuk ke dalam ikatan perkahwinan. Antara isu berkaitan ialah perbezaan umur minimum dibenarkan untuk berkahwin bagi lelaki dan wanita.

Di negara ini, Seksyen 8 Akta 303 memperuntukkan ketetapan umur minimum perkahwinan berbeza bagi lelaki dan wanita, iaitu masing-masing 18 dan 16 tahun.

Hak sama untuk memasuki ikatan perkahwinan bagi lelaki dan wanita yang memilih pasangan daripada jantina berlainan sudah termaktub dalam undang-undang negara, sama ada undang-undang keluarga Islam atau undang-undang perkahwinan dan perceraian masyarakat bukan Islam.

Namun, ruang yang ada di bawah Artikel 16 (1) (a) CEDAW antara lain membuka ruang kepada semua orang memasuki ikatan perkahwinan, termasuk golongan memilih untuk berkahwin dengan pasangan sama jantina membabitkan golongan gay dan lesbian.

Oleh itu, Malaysia mereservasi peruntukan di bawah Artikel 16 (1) (a) kerana perkahwinan sama jantina bertentangan dengan undang-undang Islam berasaskan sumber utama al-Quran dan sunah, sekali gus bukan sesuatu perkara boleh diijtihadkan atau menjadi khilaf.

Peruntukan dalam Artikel 16 (1) (a) ini juga dikaitkan hak untuk berkahwin atau tidak berkahwin tanpa paksaan mana-mana pihak. Terdapat dua aspek perwalian perkahwinan dalam Islam dikritik pejuang hak asasi manusia berdasarkan CEDAW, iaitu syarat perwalian bagi wanita.

Perbezaan syarat perkahwinan bagi lelaki dan wanita dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi kerana hanya wanita diwajibkan memerlukan persetujuan wali bagi menjadikan suatu perkahwinan itu sah dari segi hukum dan undang-undang.

Artikel 16 (1) (c) pula memperuntukkan keperluan kesetaraan antara lelaki (suami) dan wanita (isteri) dari segi hak serta tanggungjawab dalam suatu perkahwinan dan perceraian.

Pertikai hak berpoligami

Pelaksanaan Artikel Artikel 16 (1) (c) ini boleh dikaitkan hak berpoligami hanya diberikan kepada lelaki. Disebabkan undang-undang Malaysia mengiktiraf amalan poligami, ini juga antara sebab mengapa Artikel 16 (1) (c) CEDAW direservasi.

Golongan pejuang hak asasi universal berpendapat kebenaran berpoligami kepada lelaki dianggap tindakan diskriminatif dan tidak sensitif dengan perasaan wanita (isteri).

Artikel 16 (1) (f) pula merujuk kepada tuntutan kesetaraan hak dan tanggungjawab lelaki dan wanita sebagai ibu bapa. Dalam Islam, hak ibu dan bapa terhadap anak berbeza disebabkan perbezaan peranan ditetapkan dalam Islam.

Antara isu dibangkitkan pejuang hak asasi universal ialah mengenai perbezaan hak kepada ibu bapa mengenai hadanah dan perwalian diri. Hak hadanah diutamakan kepada ibu dan hak perwalian diri kanak-kanak dipegang bapa atau asabah lelaki. Ini dianggap bersifat diskriminatif.

Artikel 16 (1) (g) memperuntukkan hak sama antara suami isteri, termasuk hak memilih nama keluarga, kerjaya dan pekerjaan. Dalam Islam, isteri tidak perlu menggunakan nama keluarga suami kerana mempunyai identiti sendiri dan berhak mengekalkan nama keluarga atau bapanya.

Dalam hal ini, tiada pertentangan antara amalan masyarakat Islam dengan apa dituntut di bawah Artikel 16 (1) (g). Bagaimanapun, keperluan bekerja bagi suami dan isteri berbeza kerana tertakluk kepada tanggungjawab memberi nafkah yang hanya diwajibkan ke atas suami dalam Islam.

Dari aspek kedua pula, iaitu berdasarkan laporan pejuang feminisme di negara ini, kita boleh merujuk CEDAW and Malaysia: Malaysian Non-Government Organisations' Alternative Report Assessing the Government's Progress in Implementing the CEDAW pada 6 September 2012.

Laporan 259 halaman itu menyeru kepada memansuhkan kebanyakan undang-undang syariah dan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Antara isu dibangkitkan ialah poligami yang dikatakan bercanggah dengan artikel 5(a) dan artikel 16(1) kerana ketidaksamarataan kepada wanita. Laporan itu turut memuji negara yang menghalang amalan itu secara undang-undang seperti Kyrgyz, Tajikistan, Turkey and Uzbekistan.

Dari aspek perceraian pula, laporan itu mempersoalkan syariah Islam membenarkan lelaki menjatuhkan talak kepada wanita, tetapi tidak sebaliknya. Peranan taqliq, fasakh dan khulu' bagi wanita dipandang kecil walaupun semua peruntukan ini sudah ada bagi kedua-dua lelaki dan wanita untuk keluar daripada perkahwinan.

Dalam hal nusyuz, penjagaan anak, anak luar nikah, harta sepencarian dan faraid, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mengambil pandangan organisasi feminis Muslim antarabangsa, Musawah dengan Sister in Islam menjadi sekretariatnya yang mengkritik Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, berhubung penetapan hal berkenaan.

Kritikan kerajaan dan badan agama

Laporan WAO turut mengesyorkan pengguguran dibenarkan dari sudut undang-undang di hospital kerajaan dan mengkritik kaunseling agama yang didakwa memberi stigma kepada remaja Muslim mengandung di luar nikah.

Ia juga mengkritik prosedur hospital menghubungi ibu bapa remaja terbabit yang dikatakan melanggar hak asasi remaja berkenaan.

Turut dimasukkan dalam laporan itu ialah kritikan terhadap kerajaan dan badan agama kerana menyokong fatwa 'pengkid' dan LGBT serta pengharaman Seksualiti Merdeka.

Justeru, SUHAKAM sewajarnya meneliti dan mengkaji implikasi sekiranya mengiktiraf semua peruntukan CEDAW ke atas syariah Islam. Adalah tidak wajar hanya kerana forum dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pesuruhjaya Tinggi British, Kedutaan Brazil, Delegasi Kesatuan Eropah (EU) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), maka Ucaptama SUHAKAM perlu berkiblatkan pandangan alam mereka.

Hakikatnya, nilai Islam amat cantik dan tidak sesekali menzalimi sesiapa pun. Justeru, menganggap setiap deklarasi dan konvensyen antarabangsa perlu diterima sepenuhnya tanpa pemikiran kritis, adalah bentuk penjajahan baharu.

Penjajahan pemikiran sebegini sebenarnya boleh merosakkan nilai kekeluargaan masyarakat Islam khususnya dan masyarakat Timur di negara ini umumnya.

Penulis adalah Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)

Berita Harian X