Isnin, 8 April 2024 | 10:39am
Dunia perlu terus memberi tekanan kepada Israel terhadap kebiadapan ke atas penduduk Palestin. - Foto Reuters
Dunia perlu terus memberi tekanan kepada Israel terhadap kebiadapan ke atas penduduk Palestin. - Foto Reuters

Malaysia perlu pelopori usul gantung Israel di UNGA

Sudah dua minggu sejak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan Resolusi 2728 terbaru yang yang mendesak Israel segera melaksanakan gencatan senjata di Gaza.

Meskipun dianggap satu detik bersejarah apabila resolusi ini berjaya diluluskan dengan sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat (AS) tunduk kepada tekanan antarabangsa dan mengambil posisi berkecuali daripada proses undian, rejim Zionis tetap berdegil dan menggiatkan lagi keganasannya terhadap rakyat Palestin.

Ini termasuk melancarkan serangan di Hospital al-Aqsa, selain meneruskan kepungan terhadap Hospital al-Shifa' yang mengorbankan lebih 20 pesakit. Ditambah ancaman semakin meningkat untuk memulakan serangan darat ke Rafah yang sedang menempatkan lebih sejuta pelarian perang Palestin, nampaknya jumlah korban yang kini melebihi 30,000 orang akan terus meningkat.

Dalam hal ini, kebiadapan negara haram Israel mencabuli undang-undang antarabangsa ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Sudah menjadi rahsia umum, Israel sekian lama tidak senang terhadap sebarang bentuk pertubuhan antarabangsa seperti PBB yang suara majoriti masyarakat dunia selalu memihak kepada pembelaan nasib rakyat Palestin tertindas.

Seperti biasa, Israel cuba menggunakan kad antisemitisme dengan memaparkan dirinya sebagai mangsa pembulian antarabangsa.

Sejarah merekodkan, sejak negara haram Israel ditubuhkan pada 1948, sudah lebih 1,000 resolusi mengecam pelbagai bentuk jenayah dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin diluluskan PBB, baik melalui Perhimpunan Agung (UNGA), Majlis Keselamatan mahupun Majlis Hak Asasi Manusia.

Malangnya, hingga kini tiada satu pun resolusi itu dipatuhi. Bahkan, Israel sewenangnya melanggar lebih 30 resolusi Majlis Keselamatan PBB bersifat mengikat terhadap semua negara anggota PBB. Ini termasuk Resolusi 242 masyhur menuntut Israel agar kembali berundur kepada sempadan pra-Perang Enam Hari pada 1967. Jumlah ini akan menjadi jauh lebih banyak tanpa perlindungan diplomatik dan veto daripada sekutu rapat Israel di Barat terutama AS.

Oleh itu, tindakan terbaru Israel pimpinan Benjamin Netanyahu melanggar pelbagai undang-undang antarabangsa seperti keputusan interim kes genosid Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Resolusi 2728 Majlis Keselamatan PBB terus menunjukkan Israel berterusan berasakan mereka sentiasa kebal daripada sebarang tindakan undang-undang antarabangsa.

Ironinya, Israel yang sejak sekian lama menikmati segala keistimewaan dan perlindungan di bawah sistem antarabangsa, namun pada masa sama enggan patuh dan hormat terhadap peraturannya.

Dunia tidak boleh lagi membiarkan Israel terlepas daripada terus memperlecehkan kedudukan prinsip peraturan undang-undang. Sudah tiba masanya untuk usaha serius diambil bagi menyekat penyertaan Israel dalam sistem antarabangsa, terutama melalui penggantungan keanggotaannya dalam PBB.

Namun, kita juga perlu bersikap realistik, dalam sistem PBB sedia ada didominasi Anggota Tetap Majlis Keselamatan PBB, usaha murni ini sudah pasti hampir mustahil dicapai.

Dalam pengamalan PBB pada hari ini, sebarang cadangan melucutkan dan menggantung keanggotaan mana-mana negara perlulah diusulkan Majlis Keselamatan dengan restu kuasa veto seperti termaktub dalam Artikel 5-6 Perlembagaan PBB.

AS gunakan kuasa veto halang resolusi

Oleh itu, sebarang usul menggantung apatah lagi melucutkan keahlian Israel nescaya akan dihalang oleh kuasa veto AS. Selagi reformasi menyeluruh belum berjaya dilaksanakan terhadap struktur kuasa veto ini, usaha ini nyata tidak praktikal.

Namun, terdapat alternatif lain boleh diambil untuk memberi tekanan dan hukuman kepada Israel. Antaranya, menggunakan platform UNGA yang dilihat lebih seimbang dengan setiap negara mempunyai suara dan undi setara.

Bagi memastikan suara kecaman terhadap kezaliman Israel ini membuahkan hasil konkrit, suatu usul perlu diluluskan di peringkat UNGA menuntut supaya Israel digantung daripada menyertai sidang Perhimpunan Agung berlangsung.

Hal ini dapat dilakukan menerusi usul Jawatankuasa Watikah Perakuan (Credentials Committee) UNGA menolak watikah perakuan (credentials) daripada delegasi Israel yang menjadi prasyarat untuk sesebuah delegasi diterima menghadiri sesinya.

Meskipun dilihat lebih bersifat teknikal, inisiatif ini nyata berkesan memulaukan Israel di peringkat antarabangsa. Tanpa watikah perakuan itu, delegasi sesebuah negara tidak akan dibenarkan menduduki kerusinya, berucap, mengemukakan usul mahupun mengundi dalam mana-mana sidang UNGA.

Lebih mustahak lagi, memandangkan kuasa menerima watikah perakuan menjadi prerogatif UNGA, maka usul menolak watikah perakuan delegasi Israel ini tidak dapat dihalang mana-mana kuasa veto Majlis Keselamatan terutama AS.

Pendekatan ini terbukti pernah berjaya dalam menggantung penyertaan rejim aparteid Afrika
Selatan pada 1974. Ini dilakukan melalui usaha bersepadu blok negara Afrika melobi usul menolak watikah perakuan delegasi Afrika Selatan di UNGA.

Tindakan ini dilakukan setelah usul sama untuk menggantung keanggotaan Afrika Selatan daripada PBB dihalang di peringkat Majlis Keselamatan melalui veto daripada AS, Britain dan juga Perancis.

Dalam hal ini, Malaysia dilihat antara negara paling berpotensi mengetuai inisiatif ini terhadap Israel. Malaysia terkehadapan dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan mempunyai latar belakang tidak berkompromi terhadap kekejaman Israel, seperti ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jerman baru-baru ini. Kredibiliti Malaysia menggerakkan inisiatif strategik dan praktikal ini sememangnya tidak dapat dipertikai. Dengan itu, Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk mengetuai lobi di pelbagai peringkat, baik di peringkat serantau melalui Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, dalam kalangan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), mahupun dalam kalangan Dunia Selatan yang dilihat lebih kritikal terhadap kezaliman rejim Israel.

Penulis adalah Felo Penyelidik di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X