Jumaat, 29 March 2024 | 12:30pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Rapatkan saf hadapi provokasi terhadap Islam, jauhi fahaman melampau

Cuaca panas pada Ramadan kali ini dihangatkan dengan isu kontroversi membabitkan umat Islam di Malaysia. Walaupun berlainan, tetapi ia membawa naratif sama perlu diteladani dan diinsafi.

Pertama, isu stoking tertera kalimah Allah. Kalimah Allah adalah kalimah agung bagi Muslim diletakkan pada tempat tidak sepatutnya ini bukan kali pertama berlaku.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 6 Julai 2010 membincangkan berkenaan selipar dan kasut bertulis kalimah Allah dengan ketetapan semua selipar dan kasut sebuah jenama terkenal mengandungi lambang menyerupai kalimah 'lillah' adalah haram penggunaannya.

Terdapat juga beberapa isu kalimah Allah diletakkan pada kasut dan selipar dilihat sengaja mencabar kesabaran umat Islam. Terbaru, tular isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di satu daripada cawangan kedai serbaneka KK Super Mart.

IKIM berduka cita dan terkilan dengan isu ini serta memohon supaya pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ada unsur menghina agama Islam.

Disebabkan kes seumpamanya bukan kali pertama terjadi, maka diharapkan insiden seperti ini tidak lagi berlaku pada masa akan datang dan tindakan lebih tegas perlu dikenakan sekiranya mana-mana pihak cuba mengganggu-gugat keamanan dan memecahbelahkan masyarakat, terutama isu menyentuh 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

Dalam negara berbilang kaum, bangsa dan agama, sensitiviti masyarakat Malaysia perlu dijaga sebaiknya demi mengekalkan keharmonian dan kedamaian dikecapi sejak sekian lama.

Pendekatan hidup dalam keadaan aman dan damai seperti ditekankan dalam Fiqh al-Ta'ayush (peaceful co-existence) hendaklah diterapkan dalam semua lapisan masyarakat.

Wajib Fahami pantang larang dalam agama

Semua pihak wajib memahami pantang larang dalam agama, terutama dalam agama Islam.

Pengasas rangkaian kedai serbaneka KK Mart dan isteri serta tiga individu lain membekalkan stoking tertera kalimah Allah kepada KK Mart dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 298 Kanun Kesiksaan, membabitkan perbuatan dan perkataan atau sebagainya dengan sengaja dengan niat mahu melukakan perasaan agama seseorang.

Jika sabit kesalahan, pelakunya boleh dipenjara sehingga setahun, dikenakan denda atau kedua-duanya. Justeru, rakyat diminta untuk terus bergerak maju dari insiden ini dan jangan sama sekali mengambil tindakan di luar dari batasan undang-undang serta tidak perlu terbabit dalam aktiviti boikot.

Kedua, bercakap soal perkara mampu memecahbelahkan umat Islam, tanpa disedari sesama umat Islam sendiri pun tidak bersatu dalam hal tertentu.

Baru-baru ini, tular isu saf jemaah perempuan di sebuah masjid ibu kota yang lompong dan solat secara berkelompok. Walau apa alasan diberikan sekalipun seperti malas bangun dan pindah kedudukan kerana perlu mengangkut sejadah dan barang lain, perbezaan saf antara tua dengan muda, ingin duduk di tempat selesa seperti bawah kipas, berhampiran pintu keluar dan sebagainya, ia tetap bertentangan sabda Nabi Muhammad SAW supaya meluruskan saf kerana ia sebahagian daripada kesempurnaan solat berjemaah.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata terdapat beberapa hadis memerintahkan umat Islam menyamakan saf ketika solat berjemaah.

Rasulullah SAW adalah suri teladan bagi umat Islam dan amat wajar mengikuti sunah Baginda dalam setiap aspek kehidupan, terutama berkaitan ibadat.

Setiap kali sebelum memulakan solat berjemaah, imam sering menasihati makmum merapatkan saf dan menyamakan tumit kaki sesama jemaah.

Ini simbolik supaya umat Islam bersatu-padu dan merendahkan diri ketika bersolat kerana Allah tidak membeza-bezakan umat mengikut kasta dan semua hamba adalah sama di sisi-Nya, yang membezakan hanyalah iman dan takwa seseorang itu.

Ketiga, bukan sahaja isu saf ini menjadi perbualan hangat, isu solat dua imam dalam satu masjid yang pernah diamalkan di sesetengah tempat juga turut diberi perhatian.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah bertitah supaya kesucian masjid dijaga dan tidak wajar dijadikan sebagai pentas politik.

Akhbar BH bertarikh 19 Julai 1982 pernah melaporkan kejadian solat tarawih dua imam secara serentak di Masjid Gong Pasir, Besut, Terengganu selama sebulan Ramadan pada Julai 1982 antara jemaah pengikut kerajaan dengan pengikut PAS.

Solat dua imam berakar umbi di sesetengah tempat ini juga ada kaitannya dengan parti politik dan wujudnya sifat takfiri iaitu tuduhan mengkafirkan orang lain.

Takfiri di Malaysia membimbangkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar turut menyatakan gelombang pemikiran khawarij baharu ingin menjatuhkan pemerintah dilabelkan sebagai zalim dan takfiri di Malaysia berada pada tahap membimbangkan.

Oleh yang demikian, kerajaan akan senantiasa memantau pengajaran agama Islam di semua platform supaya tidak menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Ini juga selaras dengan keputusan Muzakarah Khas Jawatankausa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 5 Mei 1996 bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Golongan keterlaluan atau melampau (ghuluw) ini menerapkan kefahaman ekstrem dalam memahami dan mengambil sesuatu tindakan. Ghuluw dalam beragama adalah sikap melampau batas dalam perintah agama.

Dalam hal ini, Islam ialah agama pertengahan (wasatiyyah) yang menyarankan umatnya senantiasa berada pada jalan lurus dan tidak berlebih-lebih.

Islam mahu umatnya bersederhana dalam semua perkara, baik dalam hal agama mahupun kehidupan secara keseluruhannya.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa' ayat 171 maksudnya: "Jangan kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan jangan kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar."

Sesungguhnya, konsep bersederhana adalah sangat sesuai dengan senario masyarakat majmuk di Malaysia mempunyai diversiti etnik, kaum, budaya dan agama.

Sekiranya gejala khawarij baharu dan ghuluw ini tidak dibendung, dikhuatiri dengan tindakan mengkafirkan seterunya, akan menimbulkan perpecahan dan merosakkan perpaduan dalam kalangan rakyat selain menyebabkan Islam itu sendiri dipandang serong oleh agama lain.

Dalam kita mengecam tindakan pihak yang dengan sengaja atau tidak memprovokasi agama Islam di Malaysia, janganlah umat Islam membutakan mata dan hati terhadap sikap umat Islam sendiri yang terlalu taasub dengan politik kepartian sehingga menganggap saudara seagama sebagai kafir kerana berbeza ideologi dan pemikiran dengannya.

Bak kata pepatah, seekor kuman di negeri China dapat dilihat, tetapi gajah bertenggek di batang hidung tiada sedar. Pada Ramadan ini, semua pihak harus bermuhasabah diri, bukan sahaja berpuasa menahan nafsu, lapar dan dahaga tetapi berpuasa mulut serta pancaindera lain daripada sebarang tindakan melampau dan ghuluw.

Penulis adalah Dr Mohamed Azam adalah Ketua Pengarah, manakala Dr Mohammad Hariz Shah, Pembantu Penyelidik

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X