Jumaat, 15 March 2024 | 11:45am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pindaan isu kewarganegaraan tanggungjawab bersama Kabinet

Pada Disember lalu, Jabatan Peguam Negara sedang merangka draf cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan hak kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing.

Draf itu dibuat bagi meminda Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.

Jemaah Menteri pada 8 Mac lalu dilaporkan bersetuju membuat pindaan membabitkan lapan perkara ke atas Perlembagaan menyentuh peruntukan mengenai pemberian hak kewarganegaraan.

Pada Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pindaan utama akan dibuat adalah memasukkan perkataan 'ibu atau bapanya' dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan bagi membenarkan anak lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia diterima sebagai warganegara melalui Kuat Kuasa Undang-Undang.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata pindaan utama ini tidak boleh dilakukan secara sendirian, sebaliknya perlu dibuat bersama, bukan secara berpisah atau 'decoupled'.

Saifuddin juga menjelaskan cadangan untuk membuat pindaan secara berpisah (decoupled) dibentang kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri tetapi tidak mendapat perkenan Majlis Raja-Raja dan turut ditolak Jemaah Menteri.

Pertimbang teliti aspek pindaan

Oleh itu, tidak perlu lagi perkara ini dibangkitkan, apatah lagi selepas keseluruhan cadangan pindaan ini diterima Majlis Raja-Raja, kerajaan Sabah, Sarawak dan Jemaah Menteri. Sudah pasti semua pihak ini mempertimbangkan dengan teliti semua aspek akan dipinda secara bersama sebelum menerimanya.

Dalam pelaksanaan fungsi Jemaah Menteri, mereka dikawal dua doktrin penting mengenai tanggungjawab menteri (ministerial responsibility), iaitu tanggungjawab individu dan tanggungjawab bersama.

Tanggungjawab individu merujuk kepada tanggungjawab menteri ke atas setiap perkara berlaku di bawah kementeriannya. Tanggungjawab bersama pula merujuk kepada tanggungjawab menteri untuk menerima, menyokong dan mempertahankan keputusan dibuat secara kolektif Jemaah Menteri.

Doktrin tanggungjawab bersama dengan tiga konsep utama, iaitu 'unity rule' (kebersamaan), 'unanimity rule' (sebulat suara) dan 'confidentiality rule' (kerahsiaan), memerlukan semua menteri bertanggungjawab mempertahankan dan tidak boleh dilihat mengasingkan diri apabila ada menteri menjelaskan atau melaksanakan keputusan Jemaah Menteri.

Peri pentingnya doktrin tanggungjawab bersama ini tergambar di dalam Perkara 43(3) Perlembagaan menyatakan, 'Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen'.

Begitupun, walaupun banyak penjelasan diberikan, masih ada pihak mempertikaikannya cadangan pindaan itu atas alasan pemindahan peruntukan Seksyen 19b Bahagian II Jadual Kedua dari kategori Kewarganegaraan Melalui Kuat Kuasa Undang-Undang kepada kategori Kewarganegaraan Melalui Pendaftaran dikatakan akan menjejaskan hak kanak-kanak baru lahir dijumpai ditinggalkan tanpa perlindungan di mana-mana tempat (bayi terdampar) untuk mendapat kewarganegaraan secara automatik.

Salah fahamnya di sini adalah walaupun berada di bawah kategori Kewarganegaraan Melalui Kuat Kuasa Undang-Undang, pemberiannya tetap bukan secara automatik kerana elemen penyiasatan tetap dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tidak mudah beri kewarganegaraan

Agensi terbabit ini akan menyiasat latar belakang kes kanak-kanak berkenaan bagi memastikan kerajaan tidak sewenang-wenangnya memberikan taraf kewarganegaraan melalui Kuat Kuasa Undang-Undang kepada kanak-kanak terbabit. Jika tiada pengesahan daripada badan ini maka kanak-kanak itu tetap tidak boleh diberikan kewarganegaraan.

Pemindahan peruntukan Seksyen 19b Bahagian II Jadual Kedua ini ke kategori Kewarganegaraan Melalui Pendaftaran adalah perlu bagi mengelakkan kewarganegaraan diberi kepada kanak-kanak dengan cara salah, representasi palsu atau penyembunyian apa-apa fakta material atau dengan silap.

Jika kerakyatan diberi dengan cara begitu, pelucutan kewarganegaraan masih boleh dibuat mengikut Perkara 26(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan berbanding jika dikekalkan dalam kategori Kewarganegaraan Melalui Kuat Kuasa Undang-Undang yang pelucutan kewarganegaraan tidak boleh dibuat.

Ada pihak menentang cadangan pindaan ini mengaitkannya dengan ketidakselarian dengan amalan antarabangsa sedangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan pasukan penyelidik untuk menyelidik 840 akta yang ada dalam negara supaya wujud keseragaman dan tidak berlaku percanggahan antara semua cadangan pindaan ini dengan akta lain.

Hakikatnya perbandingan dengan negara Singapura dan United Kingdom (UK) mendapati peruntukan mengenai 'stateless' ini hanya diperuntukkan dalam peruntukan tambahan dan bukannya dalam perundangan kewarganegaraan mengenai Kuat Kuasa Undang-Undang negara terbabit.

Dalam hal ini, boleh diterima jika pihak mempertikaikan adalah mereka yang bukannya pendukung kerajaan yang mungkin masih belum mendapat maklumat jelas mengenainya, tetapi malang sekali jika yang mempertikaikannya juga Ahli Parlimen parti kerajaan.

Jika ini berlaku, ia menunjukkan seolah-olah ketua mereka yang menganggotai Jemaah Menteri gagal menyokong dan menjelaskan keperluan memihak keputusan dibuat secara kolektif Jemaah Menteri ini Ahli Parlimen mereka.

Oleh itu, Jemaah Menteri perlu lebih menghayati doktrin tanggungjawab bersama dan tidak semata-mata meletakkan ke atas bahu Saifuddin sendirian mendapatkan sokongan mengenai cadangan pindaan ini.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP)

Berita Harian X