Khamis, 14 March 2024 | 11:00am
Foto hiasan. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Foto hiasan. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

KEB 2024 hapus retorik silam agenda perkasa Bumiputera

Bermula dengan penganjuran sulung pada 1965, Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) menjadi titik tolak bersejarah bagi mewujudkan agenda dan laluan memperkasa bidang ekonomi negara dalam kalangan golongan pribumi.

Kongres dijuarai UMNO itu menerusi wadah Perikatan dan kemudian disambung menerusi Barisan Nasional (BN) berhasil mencipta, menggubal serta melaksanakan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang mula diguna pakai pada 1970, khusus bagi menjadi penunjuk arah golongan Bumiputera khasnya Melayu memperbaiki taraf hidup masing-masing.

Hasilnya, pelbagai kejayaan mula dilakar Bumiputera dengan ekonomi golongan terbabit terus berkembang dan mendapat perhatian, baik pada peringkat tempatan mahu pun pentas antarabangsa.

Terbaru, di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, KEB 2024 memberi tumpuan khusus terhadap cadangan hala tuju dan pendekatan baharu serta penambahbaikan agenda pemerkasaan Bumiputera lebih adil, saksama dan inklusif.

KEB 2024 turut mencadangkan pendekatan baharu untuk mengukur tahap penyertaan dan kawalan ekonomi Bumiputera yang lebih bermakna.

Ini membuktikan usaha memperbaiki kedudukan Bumiputera dalam sektor ekonomi berkaitan sentiasa diberi perhatian, namun bukan ke tahap 'disuap' dengan mudah semata-mata tanpa perlu bekerja keras melakar kejayaan.

Segala-galanya perlu diperkuat dengan usaha. Sebaik kongres tiga hari bermula 29 Februari hingga 2 Mac lalu anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Ekonomi itu berakhir, sebanyak 82 resolusi digariskan sebagai agenda baharu pemerkasaan Bumiputera.

Semua itu bukan sekadar memenuhi agenda mesyuarat, bukan juga ayat retorik mencantikkan bahasa. Ia adalah iltizam untuk melihat kalangan Bumiputera membuka langkah lebih meyakinkan dalam meneroka cabaran terkini.

Resolusi itu terbentuk daripada 10 kumpulan dipengerusikan penggiat industri dan tokoh cendekiawan membabitkan kluster Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pilihan kerjaya utama, pengukuhan industri halal, pembangunan desa dan pemerkasaan Orang Asli, penciptaan kekayaan serta penguasaan korporat.

Kluster lain adalah daya saing perusahaan Bumiputera, penguasaan teknologi baharu, FELDA, tanah wilayah serta sosioekonomi Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Penyatuan buah fikiran itu semestinya diharap menzahirkan hasil terbaik, terutama apabila semua sektor dibabitkan untuk tujuan sama, sejajar usaha mengatasi kelompangan yang mungkin terlepas pandang sebelum ini.

Pembentangan kumpulan hasil dapatan sesi libat urus bersama pelbagai pihak dan cadangan berkenaan, diangkat menjadi penyelesaian kepada permasalahan yang membelenggu golongan Bumiputera sejak sekian lama.

Antara cadangan diketengahkan ialah usaha memperkasa Bumiputera dalam bidang pendidikan dan ekonomi menerusi penubuhan Pusat Kajian Pembangunan Bumiputera, seperti diutarakan Pengerusi Kumpulan Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali.

Kumpulan TVET mencadangkan kerajaan menetapkan satu badan atau organisasi bagi menjalankan tadbir urus institut Tahfiz TVET dan memperkukuh jalinan kerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Kesungguhan itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang banyak menekankan supaya Unit Pemerkasaan Bumiputera di kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diaktifkan semula untuk memastikan penyelarasan, pemantauan serta penilaian dapat dijalankan dengan berkesan.

Ahmad Zahid mendapati dinamika cabaran ekonomi sejak KEB pertama sentiasa meletakkan Bumiputera di garisan permulaan atau padang tidak sekata walaupun banyak usaha, inisiatif dan ikhtiar dilaksanakan kerajaan melalui agensi pelaksana untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera.

Hala tuju agenda baharu

Beliau tidak silap dalam hal itu dan KEB 2024 digunakan sebaiknya untuk mengubah keadaan kerana Bumiputera tidak boleh lagi ketinggalan.

"Semua inti pati hasil KEB 2024, input sesi libat urus dan 'microsite' akan dicerakin untuk diterjemah ke dalam hala tuju agenda baharu pemerkasaan Bumiputera.

"Pelan jangka panjang agenda baharu pemerkasaan Bumiputera yang lebih segar dan inklusif tanpa meminggirkan peranan semua etnik di Malaysia, akan dirangka untuk tempoh 10 tahun akan datang dan dijangka diluncurkan pada Jun 2024.

"Ini termasuk kaedah dan pendekatan baharu yang menepati ciri status pembangunan dan sosioekonomi tempatan bagi meningkatkan penguasaan ekonomi Bumiputera, khususnya segmen ekonomi baharu seperti bidang pertumbuhan tinggi dan nilai ditambah tinggi (HGHV)," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada majlis penutup KEB 2024, menegaskan kepentingan tatakelola bagi memenuhi hasrat serta usaha pemerkasaan Bumiputera perlu menjadi agenda tunjang .

Perancangan lebih mudah apabila pembuat dasar mempunyai pemikiran sama. Di sebalik teguran dan penegasannya, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi melahirkan Generasi Baharu Usahawan Bumiputera yang akan dikendalikan GLIC.

Sejumlah RM100 juta turut diperuntukkan untuk mewujudkan Wakaf MARA MADANI dengan sasaran dana terkumpul RM1 bilion dalam tempoh dua tahun, menubuhkan Suruhanjaya Pekerja Gig Malaysia dan pembabitan GLIC, GLC serta syarikat swasta bagi melatih 100,000 pelatih TVET dalam tempoh lima tahun dan menyediakan tawaran pekerjaan dengan sasaran gaji sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan.

Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Shahbudin Embun, berpandangan resolusi digariskan dalam KEB 2024 berupaya diangkat menjadi teras pemangkin kepada dasar lain, selain menjadikannya antara inti pati Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan kesungguhan politik.

KEB 2024 menyaksikan tekad politik itu diterjemah menerusi penubuhan sekretariat tetap di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikan sendiri Perdana Menteri, bagi memastikan setiap usul dan resolusi KEB 2024 dijayakan sebaiknya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Tricia Yeoh, melihat KEB 2024 sebagai inklusif kerana perkembangan ekonomi negara bukan membabitkan Bumiputera semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kaum lain.

Antara usaha boleh digarap kumpulan minoriti, pada pandangannya, ialah membantu Bumiputera memperkasa ekonomi dengan pembabitan syarikat atau perniagaan yang berjaya dengan memberi sokongan, latihan dan membimbing perniagaan milik golongan itu.

Bertemakan Positif, Progresif dan Inovatif, inti pati rumusan KEB 2024 diharap mendapat kerjasama dan sokongan bersama daripada masyarakat Cina dan India bagi membantu menangani masalah kemiskinan, malah pemimpin dewan perniagaan mewakili masyarakat Melayu, Cina dan India turut memberi input supaya KEB 2024 tidak eksklusif kepada golongan tertentu.

Penulis adalah Ketua Biro BH Putrajaya

Berita Harian X