Ahad, 10 March 2024 | 12:40pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

PRK enam Parlimen tidak gugat kedudukan Kerajaan Perpaduan

Kesetiaan pemimpin dan ahli adalah faktor penting sesebuah parti mengekalkan kelestarian perjuangannya. Kesetiaan dan ketaatan pemimpin dan ahli parti menentukan jatuh bangunnya sesebuah parti. Taat setia dalam parti diikat perlembagaannya.

Pemimpin atau ahli melanggar perlembagaan parti berisiko dikenakan tindakan disiplin. Hampir semua parti di Malaysia menghadapi masalah kesetiaan ahli. Kini, BERSATU menghadapi tekanan sama apabila enam Ahli Parlimennya menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Uniknya, enam Ahli Parlimen terbabit memberi sokongan terhadap kerajaan dan Anwar tanpa meninggalkan parti. Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Justeru, tindakan mereka meningkatkan tekanan terhadap krisis keyakinan terhadap kepemimpinan BERSATU. Tindakan enam Ahli Parlimen terbabit dilihat sebagai derhaka kepada parti dan patut disingkirkan.

Sebagai langkah awal membanteras kejadian sama berulang pada masa depan, BERSATU meminda perlembagaannya pada Perkara 10 atas sokongan 1,956 perwakilan yang hadir.

Pada Mesyuarat Agung Khas BERSATU, 2 Mac lalu, panel disiplin BERSATU dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan keenam-enam Ahli Parlimen terbabit dipecat secara automatik. Dengan itu, kerusi diwakilinya mesti dikosongkan.

Jika Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan Perkara 10 itu, maka pilihan raya kecil (PRK) di enam kerusi Parlimen perlu diadakan. Menurut Muhyiddin, keputusan parti itu selari dengan Perkara 49, perlembagaan khasnya berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Bagaimanapun, selang sehari selepas pengumuman tindakan keras terhadap enam wakil rakyat terbabit, empat daripada mereka membantahnya dan sedia mencabar pindaan perlembagaan parti. Justeru, konflik dalaman BERSATU belum bernoktah. Hanya keputusan ROS bakal menentukan status enam wakil rakyat BERSATU itu.

Seandainya ROS meluluskan pindaan perlembagaan BERSATU itu, PRK tidak dapat dielakkan. Maka, antara isu bakal timbul adalah kemungkinan berlaku 'sorong tarik' antara BERSATU dan PAS dalam memilih calon layak bertanding di enam kawasan Parlimen terbabit.

Letak calon PAS

Berdasarkan rekod lalu, sokongan dan kekuatan pengundi PAS di enam kawasan Parlimen terbabit memang tidak boleh dipandang rendah. Sewajarnya PAS diberi merit untuk meletakkan calon di kawasan berkenaan bagi menyaingi prestasi Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

Soalnya, wajarkah PRK diadakan pada ketika negara sedang bergelut dengan pelbagai krisis kewangan? Kos untuk mengadakan PRK bukan kecil. Jika satu PRK menelan belanja RM5 juta, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan lebih RM30 juta untuk mengurus enam PRK terbabit.

Justeru, amat tidak wajar PRK diadakan pada waktu terdekat ini semata-mata ingin memuaskan hati kepemimpinan BERSATU. Bukan sekadar itu, jika PRK diadakan di semua kawasan Parlimen berkenaan, ia akan membabitkan kos sosial lebih besar seperti perang politik, fitnah memfitnah dan apa sahaja boleh berlaku.

Namun, PRK tidak dapat dielak jika ROS sudah membuat keputusan dan SPR juga perlu bermesyuarat menentukan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan bila hari mengundi. Bahkan Muhyiddin turut mencabar kerajaan, sudah tentu ROS untuk meluluskan pindaan perlembagaan BERSATU bagi membolehkan PRK dilangsungkan.

Bagi BERSATU, PRK jika diadakan nanti mungkin menjadi kesempatan paling sesuai dan boleh diambil untuk mengukuhkan persepsi pengikut serta pengundi dengan pelbagai serangan politik. Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan kesempatan ini untuk meraih sokongan pengundi khususnya orang Melayu dan pengundi muda untuk menarik sokongan kepada pakatan mereka.

Sudah tentu juga, ia akan menjadi peluang kepada PN mendedahkan pelbagai kelemahan Kerajaan Perpaduan. Inilah kesempatan terbaiknya untuk mengangkat isu terkini seperti kenaikan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (SST), kejatuhan nilai ringgit, kenaikan caj air dan elektrik, peningkatan harga barangan asas dan pelbagai lagi.

Ada banyak implikasi politik boleh diukur jika PN menang di enam kerusi Parlimen dengan menafikan calon Kerajaan Perpaduan antaranya akan memberi isyarat kepada umum bahawa sokongan 70 peratus pengundi Melayu masih kekal dan bertahan kepada PN.

Sungguhpun begitu, kemenangan calon PN tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap keutuhan Kerajaan Perpaduan. Namun sudah pasti PN/BERSATU akan memanfaatkan kemenangan itu sebagai suatu propaganda dan perang saraf terhadap Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya jika PN tewas kepada calon Kerajaan Perpaduan pada PRK, maka ia suatu kekalahan moral, sekali gus menunjukkan kepercayaan rakyat semakin pulih dan lebih yakin dengan kestabilan politik serta program pembangunan dirancang Anwar.

Berita Harian X