Khamis, 29 Februari 2024 | 11:57am
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Perbetul persepsi kes Nik Elin sebagai hina Mahkamah Syariah

Antara persoalan berbangkit susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dengan keputusan majoriti 8-1 baru-baru ini terhadap kes peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid mencabar 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah ia dikatakan satu bentuk penghinaan terhadap Mahkamah Syariah di negara ini.

Dari satu sudut, ia satu episod mendukacitakan dan menyedihkan umat Islam kerana implikasi berlaku ini menyebabkan bukan sahaja 16 kesalahan di bawah Undang-Undang Syariah Kelantan terbatal, bahkan kesalahan sama diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara juga berpotensi untuk turut terbatal.

Perkara pertama yang harus difahami ialah, seperti dinyatakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, hakim mahkamah sivil beragama Islam hanya sekadar memberi tafsiran terhadap undang-undang dan Perlembagaan.

Mengikut ilmu dan kepakaran mereka, tafsiran yang benar dan hukuman adil terhadap situasi dihadapi adalah seperti itu. Oleh itu, masyarakat perlu mengelak mengecam mereka sebagai jahil atau menolak syariah atau sekular atau cercaan seumpama itu.

Mereka terikat dengan undang-undang dan Perlembagaan, walaupun mungkin mereka mempunyai keinginan peribadi berbeza sebagai seorang Islam.

Perkara kedua ialah berkaitan bidang kuasa DUN. Perkara 76A (1) Perlembagaan dengan jelas menurunkan kuasa membuat undang-undang kepada DUN, namun ia tertakluk kepada syarat dan sekatan tertentu.

Ia menyebut 'Dengan ini ditegaskan kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang mengenai sesuatu perkara disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan, termasuk kuasa membenarkan Badan Perundangan Negeri atau mana-mana daripadanya, tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan (jika ada) dikenakan Parlimen, untuk membuat undang-undang mengenai kesemua atau mana-mana bahagian perkara itu'.

Antara sekatan yang wujud ialah Senarai Persekutuan (Senarai 1) yang juga perkara di bawah bidang kuasa Perundangan Parlimen. Butiran 4 Senarai Persekutuan memperuntukkan antara lain undang-undang dan tatacara jenayah serta pentadbiran keadilan di bawah kuasa perundangan Parlimen.

Berkaitan jenayah syariah pula, Butiran 1 Senarai Negeri memperuntukkan kuasa perundangan negeri merangkumi pewujudan dan hukuman kesalahan dilakukan umat Islam terhadap perintah agama Islam, kecuali perkara terkandung dalam Senarai Persekutuan.

Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid ketika sidang media selepas mendengar keputusan akhir petisyen mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di Mahkamah Putrajaya. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid ketika sidang media selepas mendengar keputusan akhir petisyen mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di Mahkamah Putrajaya. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Dalam kes Nik Elin ini, Mahkamah Persekutuan mendapati 16 peruntukan daripada 18 peruntukan dicabar peguam terbabit adalah berkaitan perkara di bawah Senarai Persekutuan, iaitu di bawah kuasa perundangan Parlimen. Oleh itu DUN Kelantan melangkaui bidang kuasanya dalam menggubal undang-undang itu.

Mahkamah Persekutuan teliti petisyen

Ada pun dua lagi petisyen terhadap Seksyen 13 dan Seksyen 30 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan, Mahkamah Persekutuan memutuskan DUN mempunyai kuasa dan ia adalah sah.

Seksyen berkenan berkaitan penyerahan anak kepada orang bukan Islam atau Muslim rosak akhlaknya (Seksyen 13), dan perkataan boleh memecahkan keamanan (Seksyen 30). Di sini ternampak Mahkamah Persekutuan tidak semberono menerima petisyen itu bulat-bulat, namun meneliti dan menolak dua permohonan petisyen cabaran itu.

Apa yang dibawa Nik Elin melalui petisyen difailkan pada 25 Mei 2022 dan keputusannya diumumkan 9 Februari 2024 lalu bukan sesuatu yang baharu. Sebelum ini seorang lelaki bernama Iki Putra Mubarrak pernah didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat di Bangi, Selangor.

Namun, disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, dia mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang dibuat Iki Putra, sekali gus mengenepikan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

Susulan itu, mahkamah memutuskan bidang kuasa jenayah adalah bidang kuasa Persekutuan, bukan negeri. Undang-Undang syariah Selangor lebih awal lagi pernah dicabar keabsahannya sebelum Undang-Undang syariah Kelantan oleh Nik Elin.

Apa yang jelas di sini ialah wujud pertindihan undang-undang jenayah syariah negeri dan undang-undang jenayah Persekutuan. Oleh itu, tindakan dilakukan hakim terbabit dari satu segi ada positifnya kerana ia meletakkan bidang kuasa DUN dan Parlimen dalam kedudukan betul, tidak bercelaru atau bertindan antara satu sama lain.

Akta 355 sekadar perkasakan hukuman

Perkara ketiga, ada pihak menyalahkan kerajaan sebelum ini kerana kegagalan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 melalui Rang Undang-Undang (RUU).

Jika Akta 355 berjaya dipinda sebelum ini sekalipun, ia tidak akan menyelesaikan masalah dihadapi ini. RUU Akta 355 sekadar memperkasakan hukuman bagi kesalahan syariah, namun jika peruntukan kesalahan syariah itu sendiri tidak sah dan terbatal, apa makna jika hukuman lebih berat diwujudkan.

Perkara keempat, persoalan seterusnya apakah tindakan harus diambil selepas itu. Sudah pasti sesuatu perlu dilakukan dan tidak boleh berpeluk tubuh kerana implikasinya amat besar terhadap undang-undang syariah seperti berlaku terhadap Selangor dan Kelantan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar sudah pun mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang mengumpulkan pakar perundangan serta pemegang taruh bagi mencari penyelesaian terbaik.

Saranan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Wan Mohamad Abdul Aziz supaya kedudukan Mahkamah Syariah diperkukuhkan melalui pindaan Perkara 121 Perlembagaan supaya penubuhan Mahkamah Syariah disebut dengan jelas sewajarnya menjadi antara keutamaan dalam mencari penyelesaian terhadap pertelingkahan tanpa penghujungnya antara bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil di negara kita ini.

Felo Utama, Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X