Selasa, 27 Februari 2024 | 12:20pm
Makamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
Makamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Perancangan strategik asas perkasa institusi perundangan, syariah

Sejak kebelakangan ini, kedudukan dan kedaulatan institusi pentadbiran serta kehakiman syariah di negara ini hangat diperdebatkan. Isu berkaitan yang timbul secara tidak langsung menuntut pemerkasaan terhadap institusi Mahkamah Syariah bagi memastikan kelestarian institusi berkaitan untuk jangka masa panjang.

Hasil daripada isu yang timbul, terdapat beberapa cadangan diutarakan, termasuk berkaitan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM). Walaupun cadangan penubuhan JPSM ini dilihat baharu, usaha untuk menubuhkan JPSM mula digerakkan sejak 2019.

Pada awal idea penubuhannya, matlamat utama pembentukan jabatan itu bertujuan mengawal selia semua perkara berkaitan pendakwaan syariah di Malaysia, termasuk perkara berkaitan isu pengurusan dan tadbir urus, kemahiran pendakwa syarie, penyeragaman undang-undang jenayah syariah serta pelaksanaan proses dan prosedur perundangan.

Dalam keterujaan kita melihat agenda pemerkasaan institusi syariah di negara ini, apa yang menjadi keperluan mustahak untuk masyarakat massa, khususnya penganut Islam adalah untuk memahami asas pentadbiran dan perundangan syariah di negara ini.

Konsep sistem kehakiman, perundangan dan pentadbiran syariah di negara ini bukan sesuatu yang baharu, malah sudah wujud sejak sekalian lama, terutama sejak era Kesultanan Melayu Melaka. Ini dapat dilihat apabila pengaruh undang-undang Islam di bawah pentadbiran kesultanan Melayu Melaka dizahirkan melalui Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka.

Pengiktirafan terhadap kepentingan Islam dan sistem perundangan Islam kekal walaupun selepas negara mencapai kemerdekaan. Ia dinaik taraf melalui Perlembagaan. Pelbagai peruntukan mengenai Islam disebut dalam Perlembagaan khususnya melalui Perkara 3.

Terdapat peruntukan menyekat penyebaran doktrin selain Islam kepada penganut Islam seperti disebut dalam Perkara 11 dan pengiktirafan penubuhan institusi Islam mengikut Perkara 13. Kewujudan dan keabsahan bidang kuasa Mahkamah Syariah pula diperakui pada Perkara 121 (1A) Perlembagaan.

Dalam aspek perundangan dan pentadbiran syariah pula, kuasa berkaitan secara amnya diletakkan di bawah bidang kuasa negeri, kecuali wilayah persekutuan berada di bawah perhatian Persekutuan. Hal ini kerana secara tradisinya, kuasa berkaitan tadbir urus Islam sentiasa terletak di bawah jagaan dan naungan Raja-Raja Melayu.

Oleh itu, dalam menjunjung amalan federalisme, Perlembagaan membahagikan kuasa perundangan dan pentadbiran di antara Persekutuan dan negeri. Dalam konteks ini, kuasa berkaitan hal ehwal Islam secara umumnya diletakkan di bawah Butiran 1 Senarai II Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan.

Persoalan federalisme mengenai keabsahan perundangan kesalahan jenayah syariah digubal peringkat negeri timbul dalam beberapa kes mutakhir, termasuk kes Iki Putra Mubarak mencabar keabsahan Enakmen Jenayah Syariah di setiap negeri, manakala dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, peguam berkenaan mencabar 16 kesalahan di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

Persamaan dengan undang-undang Persekutuan

Dalam kes Nik Elin, Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 kesalahan jenayah terbabit sebagai tidak sah dan batal kerana peruntukan mengenai kesalahan terbabit mempunyai persamaan mengikut undang-undang Persekutuan di bawah Senarai I Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan.

Oleh itu, menurut Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, memandangkan Parlimen membuat undang-undang jenayah seperti liwat, persetubuhan dengan mayat, muncikari dan kesalahan lain termaktub dalam Kanun Keseksaan, maka Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak diberi kuasa membuat undang-undang sama walaupun ia bercanggah dengan agama Islam.

Isu yang timbul mutakhir ini sudah tentu menuntut suatu tindakan lebih proaktif diambil bagi memperkasakan institusi perundangan dan kehakiman syariah negara.

Pendekatan berhikmah, menjunjung kedaulatan Perlembagaan serta berteraskan matlamat mengharmonikan perundangan di antara undang-undang syariah dan sivil wajar menjadi teras aspirasi memperkasakan sistem perundangan syariah negara.

Malah, keputusan mahkamah dalam kes Nik Elin baru-baru ini sudah tentu membuka lembaran baharu berkaitan usaha untuk mengharmonikan institusi pentadbiran dan kehakiman syariah serta sistem perundangan sivil sedia ada.

Secara asasnya, cadangan menubuhkan JPSM adalah cadangan positif usaha untuk memartabatkan institusi perundangan dan kehakiman syariah, namun ia harus melalui proses teliti dan mendalam, apatah lagi isu undang-undang jenayah syariah amat dekat dan sensitif kepada penganut agama Islam di negara ini.

Pada masa sama, agenda pemerkasaan institusi perundangan dan kehakiman syariah harus dijalankan secara strategik serta menyeluruh bagi memastikan penyelesaian digerakkan berkesan dan bersifat jangka panjang.

Agenda pengukuhan lain seperti pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355), RUU Mufti, pindaan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) harus berjalan seiring dan bersama-bersama dengan cadangan penubuhan JPSM bagi mencapai matlamat pemerkasaan perundangan syariah di negara ini.

Sementara itu, cadangan konstruktif, termasuk mengkaji semula peruntukan undang-undang sedia ada harus dilakukan secara serius. Malah, cetusan idea mengenai cadangan untuk memasukkan kesalahan jenayah syariah di bawah senarai bersama iaitu Senarai III membolehkan kedua-dua badan perundangan membuat undang-undang bersama dalam hal tertentu harus diberi perhatian sewajarnya.

Hal ini penting bagi mengelakkan wujud potensi pertindihan kuasa mendorong cetusan permasalahan baharu mampu timbul, sekali gus boleh mencetuskan krisis perlembagaan baharu dan lebih meruncing pada masa akan datang. Pendek kata, usaha memperkasakan institusi perundangan syariah di negara ini memerlukan kerjasama, komitmen, kesepakatan dan kepakaran semua pihak bagi menjayakannya.

Berita Harian X