Ahad, 18 Februari 2024 | 12:44pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Keputusan mahkamah isyarat jelas undang-undang syariah perlu diperkasa

Soalan (S): Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 seksyen dalam enakmen jenayah syariah Kelantan, bagaimana hendak mengharmonikan undang-undang syariah dengan Perlembagaan?

Jawapan (J): Sebarang rang undang-undang (RUU) pindaan kepada Perlembagaan memerlukan sokongan tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah

bilangan ahli Parlimen

di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengikut Perkara 159 Perlembagaan. Untuk membolehkan perkara ini berlaku, ia

memerlukan sokongan lebih dua pertiga daripada keseluruhan

ahli Parlimen. Perkara ini tidak mustahil berlaku kerana sebelum ini sudah ada beberapa pindaan terhadap Perlembagaan, walaupun dalam keadaan kerajaan tiada majoriti dua pertiga.

Berdasarkan komposisi wakil parti dalam kerajaan ketika ini, tidak mustahil pindaan Perlembagaan boleh dibuat untuk mengharmonikan undang-undang syariah dengan Perlembagaan. Sebagai contoh RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 (Akta A1642) diluluskan dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 19 Januari 2022 dan dikuatkuasakan pada Februari 2022.

Ia merangkumi pindaan Perkara 1(2), Perkara 160(2) serta Perkara 161A (6) dan (7) Perlembagaan. Walaupun, pindaan itu bukanlah membabitkan bidang kuasa perundangan Mahkamah Syariah atau jenayah syariah, prinsip terpakai adalah sama, adakah dua pertiga ahli Parlimen boleh sepakat dan bersetuju atau menentang RUU cadangan pindaan berkenaan.

S: Apa pula langkah perlu diambil kerajaan negeri berhubung peruntukan undang-undang syariah negeri susulan keputusan Mahkamah Persekutuan?

J: Kes dicabar peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid ini boleh dijadikan pencetus untuk memperkasa lagi undang-undang dan mahkamah syariah di negara ini. Kerajaan negeri seharusnya menubuhkan jawatankuasa khas mengkaji perkara ini dengan memanggil semua pemegang taruh berkaitan dan semua pihak terbabit dengan mahkamah syariah.

Mereka perlu berbincang dan menilai langkah ke hadapan bagi pemerkasaan mahkamah syariah, termasuk melakukan apa-apa pindaan undang-undang di negeri atau mencadangkan peruntukan kesalahan syariah baharu tidak berlawanan dengan peruntukan atau undang-undang Persekutuan.

Penggunaan istilah 'jenayah' syariah itu juga perlu diperhalusi bagi melihat, sama ada ia sesuai dalam konteks dan kehendak Perlembagaan. Cadangan pindaan itu perlu datang dari negeri kerana negeri lebih memahami keperluan dan 'uruf masyarakat Islam di negeri masing-masing.

Bagaimanapun, cadangan negeri itu perlu diselaraskan pada peringkat Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya sebarang cadangan pindaan atau peruntukan baharu dapat diselaraskan pada peringkat Persekutuan. Barulah peruntukan yang ada dalam Enakmen Kesalahan Syariah negeri akan selaras dan seragam serta tidak lagi berlaku negeri berlumba-lumba mengadakan peruntukan undang-undang, yang akhirnya dibatalkan mahkamah.

Pada peringkat Persekutuan, kerajaan sudah menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, maka kita serahkan kepada jawatankuasa ini untuk mengemukakan cadangan berkaitan.

S: Keputusan Mahkamah Keputusan itu didakwa menjadikan Malaysia lebih sekular?

J: Persoalan itu kita kena tanya dan kena jawab sendiri. Adakah dengan pengisytiharan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019 itu menjadikan negara ini sekular? Dalam Perkara 3 Perlembagaan, Islam masih kekal sebagai agama negara. Perlembagaan juga masih membenarkan pemakaian undang-undang diri dan undang-undang keluarga bagi orang Islam. Perlembagaan juga masih membenarkan penubuhan institusi perundangan Islam dan menjadikan tanggungjawab Ketua Utama Negara, iaitu Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara agama Islam.

Bagi saya, Mahkamah Persekutuan hanya menjalankan kuasa diberi kepadanya oleh Perlembagaan. Kuasa mentafsir Perlembagaan terletak kepada mahkamah sivil. Apabila sesuatu isu dibawa ke hadapannya, maka menjadi tugas mahkamah untuk memutuskan isu dibawa di hadapannya. Apabila isu dibawa itu, sama ada peruntukan undang-undang dicabar itu bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan atau tidak bercanggah, maka isu itulah perlu diputuskan. Suka atau tidak, inilah undang-undang tertinggi negara kita pakai sejak merdeka.

Walaupun sudah ada 10 Perdana Menteri dan sudah beberapa kali kerajaan bertukar, inilah Perlembagaan kita guna pakai. Mahkamah boleh mengulas, memberikan dapatan mengenai isu Perlembagaan dibangkitkan, namun mahkamah tidak boleh meminda Perlembagaan. Pihak boleh meminda Perlembagaan adalah ahli Parlimen. Merekalah yang boleh membawa suara rakyat ke dalam Parlimen. Bukan sahaja menyuarakan kehendak rakyat, tetapi disusuli dengan tindakan.

S: Bagaimana dengan pandangan keputusan itu merendahkan martabat undang-undang syariah di negara ini dan kemungkinan akan berulang?

J: Dalam keputusan kes Nik Elin ini, mahkamah sebenarnya cuba menyampaikan sesuatu yang positif. Isu perundangan syariah sivil ini timbul sejak sebelum itu. Daripada kes Indira Ghandi, kes Sisters in Islam (SIS), kes Iki Putra Mubarak sehinggalah kes dibawa Nik Elin, sebenarnya ada sesuatu perlu diperbetulkan dan ia perlu dikembalikan ke jalan betul. Sesuatu kebiasaan tidak semestinya betul. Kata kuncinya ialah penambahbaikan atau transformasi atau reformasi. Semua itu membawa maksud penambahbaikan. Agenda penambahbaikan undang-undang adalah proses berterusan dan berpanjangan.

S: Adakah perlu memecahkan tembok kekeliruan awam, terutama bukan Islam terhadap sifat sejagat undang-undang syariah?

J: Apabila menyebut mengenai sifat sejagat dan prinsip undang-undang syariah, ia bukan terletak kepada 'jenama'. Jika kita menjenamakan ia sebagai syariah, maka ia jadi syariah. Jika tidak berjenama syariah, maka ia bukan syariah. Tidak boleh begitu. Prinsip perundangan Islam mengandungi prinsip sejagat merentas budaya, bangsa dan agama.

Asas utama dalam prinsip perundangan Islam adalah menegakkan keadilan dan menunaikan hak kepada orang berhak. Yang menjadikan sesuatu undang-undang itu syariah bukan hanya kerana label Islam, tetapi kerana matlamat keadilan ditegakkan. Perkara ini bukan sahaja perlu diterangkan kepada orang bukan Islam, malah kepada orang Islam juga.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Berita Harian X