Sabtu, 17 Februari 2024 | 12:13pm
Istana Kehakiman di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. - Foto fail NSTP
Istana Kehakiman di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. - Foto fail NSTP

Indah jika hukuman 'kesalahan syariah' terpakai untuk semua

Isu pokok dalam kes ini diputuskan Mahkamah Persekutuan pada minggu lalu adalah berkaitan kompetensi Badan Perundangan Negeri Kelantan, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat peruntukan dalam enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 mengikut batasan ditentukan Perlembagaan Persekutuan di bawah Butiran 1 Senarai II Senarai Negeri, Jadual Kesembilan.

Dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan 16 kesalahan di bawah enakmen berkenaan sebagai batal dan tidak sah. Antaranya, berkaitan kesalahan liwat, persetubuhan dengan mayat, gangguan seksual, perbuatan sumbang mahram dan muncikari.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan isu dalam kes itu bukanlah mengenai kedudukan Islam atau mahkamah syariah, sebaliknya sama ada DUN Kelantan diberi kuasa membuat peruntukan berkenaan mengikut batasan ditentukan Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.

Beliau turut menyatakan hukuman sivil dan syariah di negara ini berbentuk takzir, iaitu hukuman bagi kesalahan diadakan pemerintah. Justeru, tidak wujud cabaran terhadap undang-undang Islam di mahkamah syariah, sekali gus menjadikan kes itu tidak merendahkan kedudukannya.

Mengimbas kembali keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra Mubarrak pada 2021, ia memutuskan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan seks luar tabii (liwat) sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Alasannya, DUN tidak mempunyai kuasa membuat undang-undang terhadap kesalahan jenayah termasuk jenayah syariah yang diberikan kuasa kepada Parlimen. Jadual Kesembilan Senarai II Senarai Negeri hanya memberi kuasa kepada DUN untuk membuat undang-undang berkaitan pewujudan dan penghukuman kesalahan dilakukan orang menganut Islam terhadap perintah agama Islam.

Dalam kes Iki Putra, Mahkamah Persekutuan mentafsirkan frasa 'except in regard to matters included in the Federal List' sebagai 'preclusion clause' atau peruntukan menghalang DUN menggubal undang-undang tertakluk di bawah bidang kuasa Parlimen.

DUN hanya boleh membuat undang-undang jenayah jika memenuhi ketiga-tiga elemen, iaitu kesalahan dilakukan orang Islam, kesalahan terhadap perintah agama Islam dan kesalahan berkenaan tidak termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mempertahankan tindakan Mahkamah Persekutuan kerana mahkamah hanya mentafsirkan Perlembagaan seperti yang ada sekarang dan memutuskan isu di hadapannya. Tugas meminda undang-undang jenayah Islam supaya ditadbirkan mahkamah syariah adalah dengan remedi politik melalui Parlimen.

Implikasi kes Iki Putra dan Nik Elin ialah peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan jenayah syariah negeri mempunyai persamaan di bawah undang-undang persekutuan tersenarai di bawah Senarai I Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan boleh dicabar dan diisytiharkan sebagai terbatal dan tidak sah.

Memandangkan Parlimen membuat undang-undang jenayah seperti liwat, persetubuhan dengan mayat, muncikari dan kesalahan lain termaktub dalam Kanun Keseksaan, DUN tidak diberi kuasa untuk membuat undang-undang yang sama walaupun ia adalah bercanggah dengan perintah agama Islam.

Daripada 68 seksyen dalam Enakmen Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan, hanya 16 seksyen dianggap terbatal dan tidak berperlembagaan, manakala baki peruntukan dalam enakmen berkenaan masih sah terpakai. Dengan lain perkataan, enakmen berkenaan masih dianggap terpakai dan berkuat kuasa.

Meskipun kedua-dua institusi Parlimen (Senarai I) dan DUN (Senarai II) diberi kuasa masing-masing dalam membuat undang-undang, Perlembagaan juga memperuntukkan Senarai Bersama, iaitu Senarai III membolehkan kedua-dua badan perundangan membuat undang-undang bersama-sama dalam hal tertentu.

Perkara 74(1) misalnya membenarkan Parlimen membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara disebut dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama.

Buat semakan elak berlaku pertindihan

Antara langkah boleh dilakukan buat masa ini ialah semakan terhadap semua akta dan enakmen negeri supaya tidak berlaku pertindihan dengan Senarai Persekutuan serta semakan ruang untuk usul Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Perlembagaan bagi mengharmonisasikan undang-undang.

Pendekatan harmonisasi undang-undang menjadi cara terbaik dalam mengurangkan konflik antara perundangan syariah dengan sivil. Begitu juga dalam pertindihan bidang kuasa antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Selagi peruntukan dalam undang-undang sivil tidak bercanggah dengan ajaran Islam, ia dianggap sebahagian undang-undang Islam. Contohnya, peruntukan kesalahan dalam Kanun Keseksaan banyak mempunyai persamaan dengan kesalahan jenayah syariah.

Kesalahan mencuri, membunuh, meliwat, mengadakan persetubuhan dengan mayat dan binatang antara kesalahan jenayah syariah terdapat dalam Kanun Keseksaan.

Perlu diingatkan Islam diturunkan untuk semua manusia. Pemakaian undang-undang Islam dalam perundangan sivil dan diadili di mahkamah sivil bagi orang Islam dan bukan Islam adalah natijah pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini.

Undang-undang Islam di negeri hanya terpakai ke atas orang Islam dan diadili di mahkamah syariah yang tidak boleh menghakimi orang bukan Islam. Alangkah indah dan baiknya hukuman terhadap 'kesalahan jenayah syariah' terkandung dalam perundangan sivil dibuat oleh Parlimen, dapat diadili di mahkamah sivil dan terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam.

Dalam hal ini, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyeru semua pihak mendapatkan fakta benar dan tepat mengenai kes Nik Elin. Oleh itu, IKIM menggerakkan beberapa inisiatif dan gerak kerja antaranya Persidangan Meja Bulat atau Muzakarah Pakar, menyampaikan maklumat perundangan betul melalui program dalam stesen radio IKIMfm dan penulisan serta hebahan media melalui berita dan media sosial.

Atas titah Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dalam mesyuarat MKI ke-70 pada 28 Ogos tahun lalu, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam ditubuhkan pada 5 Disember lalu yang berperanan melihat dan memperhalusi semua perkara membabitkan pertindihan antara mahkamah syariah dengan mahkamah sivil.

Jawatankuasa ini akan memberi syor dapat mengurangkan pertindihan dan melihat bidang kuasa DUN serta Parlimen dalam membuat undang-undang dalam kompetensi masing-masing.

Melalui titah Sultan Selangor dalam mesyuarat MKI ke-71 pada 15 Februari lalu pula, semua pihak diminta menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan itu dan tidak membuat sebarang kupasan tidak tepat serta mengeruhkan keadaan hingga membawa percakaran sesama orang Islam.

Memetik titah Sultan Selangor, "Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama. Telah tiba masanya umat Islam semua bersatu demi kekuatan umat Islam. Apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan Islam akan menghormati umat Islam."

Penulis adalah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X