Khamis, 15 Februari 2024 | 10:51am
Malaysia perlu melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa untuk tarik rakyat pilih lokasi pelancongan domestik. - Foto hiasan fail NSTP
Malaysia perlu melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa untuk tarik rakyat pilih lokasi pelancongan domestik. - Foto hiasan fail NSTP

Syor wujudkan inisiatif percutian tarik pelancong domestik

Industri pelancongan di Malaysia dilihat semakin rancak berkembang selepas 'terhenti' seketika gara-gara pandemik COVID-19. Perkembangan rancak industri pelancongan ini dijana pelbagai faktor antaranya tentu sahaja disebabkan keunikan yang ada di negara ini.

Malaysia adalah negara dengan kepelbagaian budaya, keunikan tradisi selain seribu satu resipi masakan tempatan yang bukan sahaja kaya rasa, tetapi sejarahnya.

Dari segi ekonomi kita maklum pelancong, sama ada antarabangsa atau domestik sememangnya dapat mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara. Ia juga mempengaruhi sektor perhotelan, hiburan, makanan, kraf tangan, pengangkutan dan perkhidmatan lain.

Justeru, dalam hal ini kita sebenarnya perlu lebih mesra pelancong domestik pada masa sama, tidak meminggirkan pengunjung antarabangsa. Hal ini disebabkan kecenderungan pelancong tempatan memilih negara luar berbanding lokasi pelancongan tempatan semakin meningkat.

Misalnya, baru-baru ini kita membaca mengenai keupayaan Thailand menarik ribuan pengunjung ke Hat Yai dengan 59 peratus adalah warga Malaysia. Antara alasan utama mereka memilih untuk menyeberang sempadan ke Hat Yai adalah kos melancong ke sana jauh lebih murah berbanding ke lokasi pelancongan tempatan, misalnya Langkawi.

Rakyat Malaysia datang dengan pelbagai kenderaan, sama ada memandu sendiri, menyewa van, bas malah menaiki kereta api untuk masuk ke Thailand hinggakan pintu sempadan menjadi sesak.

Mengapa Hat Yai menjadi pilihan rakyat tempatan berbanding lokasi pelancongan tempatan? Antara keistimewaan percutian di Thailand, terutama Hat Yai berbanding Malaysia tentu sahaja dari segi kos. Mereka menawarkan kos penginapan, pengangkutan, jualan barangan malah, seribu satu jenis makanan pada harga lebih murah.

Hal ini tentu berbeza dengan lokasi pelancongan tempatan hinggakan ada kes harga makanan di tempat tarikan pelancong dalam negara mencecah hingga ratusan ringgit.

Di samping itu, lambakan kemudahan pengangkutan misalnya 'tuk tuk' dapat disewa dengan pelbagai pilihan harga dan mudah didapati di sepanjang jalan raya.

Kos penginapan murah

Menurut penduduk tempatan, kebiasaannya rakyat Malaysia akan melancong ke Thailand pada waktu cuti persekolahan dan lokasi yang mencuri tumpuan ialah Hat Yai dan Songkhla kerana kos penginapan murah, selain tidak susah mencari makanan halal pada harga mampu beli.

Tambahan pula, daerah itu berhampiran kawasan perairan laut hinggakan resipi dengan menu seperti udang, sotong dan ikan boleh diperoleh dengan harga jauh lebih rendah berbanding Malaysia.

Kita tentu sahaja tidak boleh menyalahkan pelancong tempatan yang berkunjung ke Thailand. Apa yang boleh dibuat adalah untuk melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Kita juga perlu mempelajari bagaimana Thailand boleh menawarkan pengalaman pelancongan sebegitu pada harga yang murah.

Hal ini memang tidak hanya membabitkan satu pihak, tetapi pelbagai agensi berkaitan. Isu harga hotel, barangan atau lain-lain perlu dilihat dengan mata yang lebih besar. Ada banyak isu di sebalik kos yang mahal bercuti di negara sendiri berbanding di Thailand atau mana-mana negara lain.

Mungkin antara usaha yang boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan adalah dengan mengurangkan bebanan cukai dan kos berkaitan industri pelancongan, mewujudkan pelbagai inisiatif percutian di seluruh negeri, di samping membangunkan kawasan pedalaman sebagai lokasi pelancongan alam semula jadi.

Sudah jelas lagi bersuluh bahawa potensi masa depan pelancongan di Malaysia akan dapat 'membeli jiwa' pengunjung tempatan sekiranya keunikan pulau, pantai, hutan hujan tropika dan bukit bukau yang ada di Malaysia diurus dengan baik dan mampu dinikmati pada harga berpatutan.

Alangkah indah jika kita sendiri yang menyokong industri pelancongan tempatan sebelum melawat negara luar. Sesungguhnya, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Penulis daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X