Selasa, 13 Februari 2024 | 11:24am

Dasar strategik, efektif capai status negara pendapatan tinggi

MALAYSIA berazam mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam beberapa tahun akan datang, sesuai dengan klasifikasi pendapatan per kapita ditetapkan Bank Dunia.

Klasifikasi ini, dibahagikan kepada empat kategori - negara berpendapatan rendah, menengah bawah, menengah atas dan berpendapatan tinggi, bergantung kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) per kapita dan berubah mengikut dinamika ekonomi global.

Bagi fiskal 2022, Bank Dunia menetapkan kadar KNK per kapita sebanyak AS$12,536 untuk kategori negara berpendapatan tinggi. Data daripada MacroTrends menunjukkan KNK per kapita Malaysia untuk tahun sama adalah AS$11,780, mencatatkan peningkatan signifikan sebanyak 9.99 peratus daripada AS$10,710 pada 2021.

Oleh itu, Malaysia dikategorikan negara berpendapatan menengah atas. Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) memperincikan sasaran pembangunan ekonomi dan sosial negara sehingga 2030.

Antara matlamat utama RMK12 ialah mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan sebanyak 4.5 hingga 5.5 peratus, meningkatkan pendapatan purata isi rumah serta mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus.

Langkah strategik dan pelaksanaan dasar efektif menjadi kunci untuk Malaysia mencapai cita-cita ini, selaras dengan penyesuaian kepada perubahan norma global dan cabaran ekonomi semasa.

Negara perlu usaha lonjak ekonomi

Dalam usaha hendak mencapai status negara berpendapatan tinggi, Malaysia perlu memfokuskan peningkatan jumlah keluaran ekonominya dan kualiti serta dan kelestarian pertumbuhan ekonominya.

Langkah ini menuntut kepelbagaian ekonomi daripada kebergantungan keterlaluan terhadap sektor tradisional seperti minyak dan gas, beralih ke sektor berasaskan pengetahuan serta teknologi tinggi menjanjikan nilai tambah lebih tinggi. Usaha ini memerlukan peningkatan pembangunan serta pengkomersialan teknologi tempatan, pendigitalan meluas dan inovasi berterusan.

Dalam hal ini, kerajaan mengenal pasti 30 bidang utama di bawah Sains, Teknologi, Inovasi, dan Ekonomi Digital dengan Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) memainkan peranan strategik mendorong inisiatif ini, disokong peruntukan dana signifikan untuk memajukan pendigitalan di seluruh negara.

Selain itu, fokus kerajaan pada pengukuhan asas fiskal, pencarian sumber pertumbuhan baharu dalam industri berteknologi tinggi dan reformasi struktur ekonomi adalah inisiatif kritikal dirancang untuk menyokong transformasi ekonomi diinginkan.

RMK12 memperjelas lagi visi ini dengan menekankan pada pengembangan ekonomi dipacu sektor perkhidmatan, memperkuatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta mendorong penyelidikan dan inovasi.

Penekanan juga diberikan pada pemulihan ekonomi, memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta mempromosikan kemampanan ekonomi. Ini memerlukan kerjasama erat antara pemerintah, sektor swasta dan masyarakat, dengan komitmen bersama terhadap inovasi dan adaptasi dalam menghadapi cabaran global.

Pastikan seluruh masyarakat raih manfaat

Melalui pendekatan holistik dan inklusif, Malaysia bukan hanya dapat meningkatkan pendapatan nasional, tetapi juga memastikan peningkatan kesejahteraan umum bagi seluruh rakyat Malaysia.

Pada era globalisasi ekonomi berkembang pesat, Malaysia berada di persimpangan untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasakan seluruh lapisan masyarakat. Ia bukan cita-cita moral, tetapi juga kunci utama menuju kestabilan dan kemakmuran berterusan. Bagi mewujudkannya, beberapa langkah strategik harus diambil dengan pendekatan komprehensif.

  • Pertama, pendidikan dan latihan berperanan penting menyediakan landasan bagi semua individu untuk mengambil bahagian dalam ekonomi. Dengan memastikan akses pendidikan setara untuk semua kaum, negara dapat meningkatkan kemampuan individu dan mempersiapkan mereka untuk industri masa depan.

    Ini mencakupi pemberian biasiswa dan inisiatif pembangunan modal insan komprehensif, bertujuan memberi sokongan kepada komuniti kurang diwakili dalam bidang pendidikan tinggi serta latihan teknikal dan vokasional.

  • Kedua, dalam rangka memacu semangat keusahawanan, adalah penting bagi kerajaan dan sektor swasta memperluas akses pembiayaan, merangkumi kemudahan kredit mikro dan sokongan modal permulaan.

    Langkah ini akan merintis peluang bagi peniaga kecil dan sederhana untuk berkembang serta maju, sekali gus menghasilkan peluang pekerjaan baharu.

  • Ketiga, memperkasa infrastruktur di kawasan terpencil perlu diutamakan untuk menjamin akses yang adil dan setara bagi semua masyarakat terhadap pasaran dan modal.

    Hal ini termasuklah menyediakan akses internet berkelajuan tinggi pada berharga berpatutan, membolehkan perniagaan di kawasan terpencil bersaing dalam arena pasaran global.

  • Keempat, perancangan teliti dan adil direncana untuk meningkatkan pembabitan ekonomi dalam kalangan golongan minoriti dan kelompok marginal. Sangat penting untuk memastikan perancangan itu dilaksanakan dengan terbuka, berkesinambungan dan ada strategi bertujuan mengurangkan pergantungan berpanjangan terhadap bantuan kerajaan.

  • Kelima, mempromosikan penggunaan teknologi dan inovasi dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana akan dapat meningkatkan produktiviti serta keupayaan bersaing mereka di pasaran antarabangsa.

    Hal ini boleh dicapai dengan menyediakan insentif fiskal bagi pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi terkini, selain menyelenggarakan program latihan bagi usahawan dan pekerja mereka.

  • Keenam, melabur dalam pembangunan sumber modal insan dengan memberikan latihan kemahiran dan pembinaan kepimpinan akan memberi peluang setara bagi semua kaum untuk maju dalam ekonomi moden. Ini termasuk memperluaskan akses terhadap peluang pendidikan dan latihan khusus untuk wanita serta kelompok minoriti.

    Apa yang penting, Malaysia perlu mengoptimumkan integrasi ekonomi serantau untuk membuka lembaran peluang baharu bagi setiap lapisan masyarakat. Melalui galakkan kerjasama ekonomi antara negara ASEAN serta rakan dagang lain, Malaysia berpeluang memperluas pasaran bagi produk dan perkhidmatan domestiknya.

    Akhir sekali, sinergi antara sektor awam dan swasta menjadi tonggak utama dalam merealisasikan inisiatif ekonomi dirancang dan dirangka. Melalui kerjasama erat ini, kita dapat merancang dan melaksanakan program latihan bersama, pembangunan komuniti serta projek infrastruktur berorientasikan pemacuan pertumbuhan ekonomi inklusif.

    Dengan pelaksanaan strategi ini, Malaysia bukan sahaja dapat memastikan semua kaum merasai manfaat daripada perkembangan ekonomi, tetapi juga mengukuhkan kedudukan negara untuk kejayaan berpanjangan dalam ekonomi global semakin sengit.

    Kesetaraan ekonomi bukan sekadar aspirasi, ia keperluan strategik untuk mengukuhkan asas ekonomi negara lestari. Melalui penekanan terhadap inklusiviti dan kesetaraan di setiap kelompok masyarakat, Malaysia berupaya mencipta ekosistem ekonomi mampan, berdaya saing dan responsif terhadap perubahan global.

    Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Keutuhan Tadbir Urus & Akauntabiliti (GRACE), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

  • Berita Harian X