Ahad, 11 Februari 2024 | 10:01am

Idea petempatan sebagai warisan dunia wajar untuk semua kaum

TERSENTAK rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan orang Melayu apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ngar Kor Meng berhasrat mencalonkan tujuh kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO).

Kebetulan idea terbabit terpacul daripada mulut pemimpin DAP, maka pelbagai kritikan berbaur perkauman dan kempen tandatangan dalam talian berlegar di media sosial untuk membantah cadangan itu.

Menyingkap sejarah petempatan ini, terma kampung baru merujuk kepada kampung diwujudkan ketika zaman darurat antara 1948 hingga 1960 di bawah Rancangan Briggs sebagai strategi ketenteraan membanteras pengganas komunis.

Kawasan petempatan orang Cina di pinggir hutan dipindahkan ke satu kawasan perkampungan dikawal rapi anggota pasukan keselamatan. Sehingga 1954 terdapat lebih kurang 480 kampung baru di Tanah Melayu dan sehingga kini mencecah 613 kampung baru di seluruh negara apabila kampung baru rangkaian dan kampung bagan dikategorikan sebagai kampung baru.

Realitinya, landskap kampung baru di negara ini berubah akibat asakan pembangunan, namun sesetengahnya masih sarat menyimpan khazanah sejarah. Bahkan banyak kampung baru di Johor, Selangor dan Perak berkembang menjadi bandar serta lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti pusat beli-belah dan rangkaian restoran makanan segera.

Sementara itu, kampung baru berada di pinggir bandar turut merasai tempias pembangunan terutama peluang pekerjaan, kemudahan pengangkutan dan hospital. Pengurusan kampung baru juga semakin sistematik apabila Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mewujudkan Bahagian Kampung Baru dan jawatan pegawai kemajuan perkampungan (PKP) untuk membantu hal ehwal sosial serta fizikal kampung baru di peringkat daerah.

Walaupun dikelilingi bangunan tinggi atau kawasan perindustrian, atas kesedaran sejarah tidak boleh dilupakan, ada jawatankuasa kampung baru mengambil inisiatif mendokumentasikan perkembangan kampung mereka untuk tatapan generasi berikutnya.

Malah, ada mewujudkan galeri sama ada secara persendirian atau kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Semua ini demi memastikan khazanah sejarah dan warisan mereka termasuk perihal kampung baru tidak dilupakan generasi seterusnya.

Bagi tujuan pembangunan infrastruktur asas dan kemudahan sosial, kerajaan memperuntukkan RM100 juta kepada kampung baru Cina melalui Belanjawan 2024. Peruntukan ini penting untuk memastikan semua kriteria dipenuhi sebelum diiktiraf Tapak Warisan UNESCO.

Selain itu, penempatan itu juga bakal dipelihara dan dilindungi di bawah Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia 1972.

Realitinya, memang hak Menteri KPKT mengetengahkan idea mengangkat status kampung baru hingga ke peringkat antarabangsa. Walaupun idea beliau bersifat 'kecinaan', ia berjaya membangkitkan kesedaran kepada kerajaan dan rakyat bahawa masih terdapat lompong di kampung yang perlu diberi keutamaan.

Idea ini membuka minda kepemimpinan setiap kaum di negara ini bahawa kawasan kampung juga berpotensi menjadi destinasi pelancongan antarabangsa melalui pengiktirafan UNESCO.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan status Tapak Warisan Dunia perlu melalui proses ketat dan mengambil masa panjang serta mesti memenuhi kriteria ditetapkan.

Dalam konteks mengantarabangsakan petempatan masyarakat Malaysia seharusnya bersifat menyeluruh. Idea bernas ini seharusnya tidak dibiarkan berada dalam kepompong politik sempit berasaskan perkauman atau kepentingan politik semata-mata.

Masih banyak kampung Melayu

Perlu disedari masih banyak kampung Melayu berusia beratus-ratus tahun dan mempunyai khazanah sejarah serta warisan di negara ini. Sebagai contoh, Kampung Kepayang, Kampung Paloh dan Kampung Kuchai di Ipoh, bukan sahaja menjadi petempatan terawal masyarakat Melayu di ibu negeri Perak itu, malah perkembangannya adalah hasil kerjasama pelbagai kaum sejak 1880-an.

Adalah wajar KPKT turut menyenaraikan kampung tradisi Melayu, India dan Siam agar menampakkan warisan kebudayaan Malaysia dalam usaha mengantarabangsakan kampung di Malaysia.

Walaupun idea asal menteri berfokus kampung baru Cina, KPKT boleh bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah serta kerajaan negeri mencalonkan kampung Melayu sebagai Tapak Warisan Dunia.

Dengan erti kata lain, pencalonan perlu melambangkan identiti Malaysia seperti terkandung dalam teras Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Sementara itu, NGO seperti Persatuan Sejarah Malaysia atau persatuan berteraskan sejarah, warisan dan budaya perlu diberi peluang membantu kerajaan merealisasikan matlamat ini.

Kerjasama dengan semua pihak sangat penting agar tidak berlaku pertikaian dan ungkit-mengungkit atau tuntut-menuntut hak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus memadamkan provokasi perkauman.

Persepsi masyarakat bahawa idea Menteri KPKT bersifat kontroversi, 'ethnocide' dan berat sebelah boleh diterima jika kepentingan kampung Melayu yang wujud lebih awal dinafikan. Ironinya, DAP pula pernah mengusulkan pemilikan tanah 999 tahun di Perak menyebabkan cadangan ini dianggap sebagai ganti kegagalan hasrat berkenaan.

Yang pasti dalam konteks pemilikan tanah, kedua-dua isu ini sangat sensitif dan perlu berhemah walaupun sekadar melontar idea.

Justeru, idea Menteri KPKT tidak wajar menjadi polemik politik perkauman sebaliknya perlu diolah menjadi gagasan baharu ke arah mengetengahkan petempatan rakyat sebagai destinasi pelancongan desa.

Andai aspek pemilikan tanah menjadi kebimbangan, rujuk Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tanah Negara. Sesungguhnya, dekad ini perlu menjadi titik integrasi rakyat merangkumi orang Melayu dan kaum lain.

Semangat keMalaysiaan berteraskan nilai kekitaan perlu disuburkan dalam setiap rancangan dan tindakan kerajaan agar tidak disalah tafsir atau dimanipulasi pihak berkepentingan.

Penulis adalah Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Perak

Berita Harian X