Jumaat, 9 Februari 2024 | 12:16pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Hapuskan 'kecemerlangan buatan' kesan budaya cantik atas kertas

Kontroversi 'jong Melayu' yang melanda dunia akademia tanah air bukan semata-mata berlegar pada isu maklumat tidak tepat dalam tulisan ahli akademik dari universiti awam (UA) di negara ini, sebaliknya ia turut menyentuh penerbit makalah berkenaan yang disenaraikan Beall's List of Potential Predatory Journals And Publishers, iaitu senarai jurnal dan penerbit pemangsa yang akan menerbitkan makalah yang berbayar.

Sebelum ini, ada kajian PLOS One daripada pangkalan data Scopus menunjukkan Malaysia sebagai antara negara mempunyai kadar petikan kendiri tertinggi di dunia. Ini dikatakan hasil polisi menggalakkan pemetikan makalah, tetapi ia sebenarnya insentif buruk kepada ahli akademik kerana menunjukkan seolah-olah kajian itu lebih banyak dibaca berbanding realiti sebenar.

Namun, ini bukan mengejutkan kerana pada 2017, memang pernah keluar arahan oleh pentadbir universiti untuk meningkatkan petikan ahli fakulti berkenaan yang kemudian dipertahankan universiti apabila dipersoal Retraction Watch, iaitu laman web melaporkan sebarang penarikan kajian saintifik untuk memastikan ketelusan proses berkenaan.

Bahkan, sekiranya kita menelusuri laman web Retraction Watch, kita boleh melihat penarikan semula makalah dan salah laku akademia Malaysia sudah berlaku sejak 2013 lagi. Ini belum dikira jenayah akademik lain seperti boncengan gratis, membuang nama pengarang daripada senarai penulis dan meletakkan nama sendiri sebagai penulis pertama yang banyak boleh didapati daripada anekdot pelajar serta ahli akademik di negara ini.

Malangnya, kisah jenayah akademik yang berlaku itu lebih kurang sama sahaja seluruh negara, sekali gus menunjukkan ada masalah integriti besar yang melanda akademia Malaysia.

Namun, ada juga kajian tinjauan menunjukkan integriti ahli akademik tanah air sebenarnya tinggi yang menentang kesimpulan ini. Ada pihak mengatakan permasalahan integriti ini adalah hasil polisi mengejar ranking dan kegilaan ranking tidak jelas manfaatnya kepada negara.

Apa yang jelas, isu integriti berkaitan kajian ini muncul dengan banyak selepas universiti di negara ini mula memasuki serta mengejar ranking universiti, pasca 2010. Maka, menafikan kaitan sebab antara masalah integriti dengan polisi mengejar ranking semacam menafikan realiti.

Budaya sorok bawah karpet

Persoalan menarik yang boleh diajukan sekarang adalah sekiranya semua universiti di negara ini berhenti mengejar ranking, apakah masalah integriti akan berhenti? Secara amnya, jawapannya adalah tidak.

Masalah yang ada sebenarnya boleh dirumuskan dengan mudah, insentif songsang hasil struktur ganjaran dibina untuk mengejar ranking selama lebih 10 tahun dipermudahkan oleh budaya kecemerlangan dibuat-buat merangkumi beberapa perkara.

Pertama, budaya cantik atas kertas, manakala kedua, budaya sorok bawah karpet. Secara ringkas, ranking bukan lagi 'ukuran', tetapi 'sasaran'. Apabila ukuran menjadi sasaran, ia bukanlah lagi satu ukuran yang baik seperti disimpulkan dalam Hukum Goodhart.

Ini boleh dilihat dalam bagaimana sasaran Top 100 QS Ranking itu dicapai, iaitu ia disistemkan menerusi petunjuk prestasi utama (KPI) universiti dan diturunkan kepada setiap fakulti dan seterusnya ahli akademik.

Ertinya, yang penting hanyalah mencapai KPI yang kemudian terkait dengan kriteria naik pangkat. Sebuah fakulti contohnya, akan diberikan KPI makalah sebanyak 4000 setahun dan ia dibahagikan kepada 12 bulan kumulatif, membolehkan pentadbir melukis graf cantik menunjukkan kemajuan terhadap sasaran (budaya cantik atas kertas).

Sekiranya ada ahli akademik mengatakan model itu tidak boleh digunakan, contohnya proses penulisan dan tinjauan dalam bidang mereka perlahan (umpamanya matematik tulen), ahli akademik ini bermasalah dan mungkin disarankan menukar bidang kajian (budaya sorok bawah karpet).

Inti pati dan keabsahan semua kritikan sebetulnya tertakluk kepada logik KPI, iaitu arahan turun daripada atas dan wajib dipatuhi untuk dianggap ahli akademik bagus.

Ini menyebabkan sistem perlu dibina atas sasaran ini. Oleh itu, semua graduan doktor falsafah (PhD) dan sarjana perlu menerbitkan banyak makalah tanpa mengira amalan komuniti ilmiah mahupun sokongan kewangan untuk yuran penerbitan tinggi.

Kezaliman terhadap ilmu

Masalah dengan pembonceng gratis dihadapi dengan mengira secara mekanikal yang seorang ahli akademik itu dalam senarai penulis dengan markah paling tinggi diberi pada pengarang koresponden (corresponding author), sekali lagi tanpa mengira amalan komuniti.

Apa-apa masalah dihadapi dengan mensistemkan satu peraturan, semuanya asalkan sasaran ditepati. Roh, semangat dan tujuan kajian akademik dibuat tidak lagi penting, semuanya tertakluk kepada sasaran.

Ironinya, perkataan 'universiti' itu berasal daripada frasa Latin, iaitu 'universitas magistrorum et scholarium' yang bermaksud 'komuniti pengajar dan sarjana'. Tentunya amalan setiap komuniti keilmuan itu tidak sama antara satu sama lain. Maka menyeragamkan amalan berdasarkan sasaran sebetulnya adalah satu kezaliman terhadap ilmu dan keilmuan.

Oleh itu, langkah untuk menyelesaikan masalah dalam akademia adalah dengan mengembalikan peranan komuniti dalam pembikinan polisi, selain memperbetulkan sistem insentif dibina untuk mencapai sasaran dan menyelesaikan masalah yang muncul hasil mengejar sasaran.

Jelas, menetapkan sasaran baharu tidak mungkin akan menyelesaikan masalah dasar, kerana budaya cantik atas kertas pasti akan memastikan sasaran dicapai. Maka perlu ada pentadbir berani menongkah arus dan menghadapi kejatuhan ranking dalam proses menyelesaikan permasalahan mendasar dalam ekosistem pendidikan tinggi, kerana itulah mahar yang perlu dibayar.

Penulis adalah Pensyarah Universiti Malaya (UM)

Berita Harian X