Khamis, 8 Februari 2024 | 2:10pm
Foto hiasan. - Bernama
Foto hiasan. - Bernama

Gelombang Padi perlu tumpu isu bekalan input, lindungi pesawah

Dalam memastikan bekalan makanan ruji negara terjamin, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sentiasa mencari penyelesaian dan kaedah terbaik untuk mempertingkat serta menjamin bekalan makanan negara.

Gelombang Padi berteraskan kepada 12 strategi utama adalah antara strategi dan pelan jangka pendek serta panjang yang akan menjadi penggerak kepada transformasi industri padi dan beras negara.

Bagi merealisasikan Gelombang Padi untuk mempertingkat kadar sara diri negara, beberapa insentif digariskan perlu diperhalusi bagi memastikan impak pelaksanaannya dapat ditransformasi dengan sebaik mungkin. Antara inisiatif terkandung dalam Gelombang Padi adalah benih Padi Sah, memulih dan membangun tanah jerlus, memperkasa bekalan input pertanian dan memperkukuh pengurusan bekalan air ke sawah.

Dalam memastikan pelaksanaan Gelombang Padi mencapai sasaran ditetapkan, perkara utama perlu diberi perhatian adalah rantaian bekalan input seperti benih, baja dan racun. Kelewatan penghantaran bekalan benih sebagai contoh akan merubah jadual penanaman ditetapkan dan mendedahkan tanaman kepada musim banjir dan sebagainya.

Bagi mengatasi isu kelewatan bekalan benih sebagai contoh, wajar setiap kawasan jelapang padi diberi pertimbangan dan dibenarkan menghasilkan benih tanaman ini, bagi mengurangkan kebergantungan kepada pihak ketiga.

Bekalan stok benih padi harus siap siaga dalam tempoh tiga bulan sebelum musim baharu bermula. Begitu juga stok bekalan input seperti baja dan racun harus bersedia diagihkan tepat pada waktu dan mengikut jadual ditetapkan.

Elak pembaziran input

Isu kelewatan bekalan input pertanian sering menjadi masalah utama dalam industri hampir setiap musim. Perkara ini harus diberi perhatian sewajarnya bagi mengelakkan pembaziran input akibat kelewatan penghantaran mengikut jadual.

Lambakan input susulan kelewatan ini mengakibatkan kerugian perbelanjaan awam yang tidak dapat digunakan secara efisien dan cekap. Kementerian perlu sedar keperluan dan kehendak pokok padi diusahakan mengikut tempoh tumbesaran perlu diberi keutamaan.

Kegagalan menyediakan keperluan diperlukan akan mengakibatkan tanaman ini tidak berupaya mengoptimumkan pengeluaran tanaman, malah menjejaskan hasil pengeluaran. Pengurusan sumber air untuk tujuan pengairan juga perlu diberi perhatian.

Sumbangan kawasan luar jelapang tidak boleh dinafikan. Walaupun kawasan ini menyumbang pengeluaran padi secara purata sekitar tiga tan sehektar, hak kawasan ini sebagai satu daripada penyumbang kepada bekalan makanan negara tidak boleh dinafikan dan perlu diberi perhatian sewajar.

Satu skim pengairan bersepadu dan menyeluruh di kawasan luar jelapang perlu dibangunkan bagi mempertingkat dan melonjakkan lagi hasil pengeluaran tanaman ini.

Peningkatan kos pengeluaran tanaman padi dilihat sebagai satu daripada faktor gagal menarik minat golongan muda berkecimpung dalam sektor ini. Jika ada pun, ia hanya bertahan dalam beberapa musim, kerana tidak dapat menanggung kos pengeluaran semakin meningkat. Maka, pemindahan teknologi tidak dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Peningkatan kos pengeluaran semakin meningkat berbanding harga padi dilihat lebih statik memperlihatkan kebergantungan golongan ini kepada orang tengah akan terus wujud. Ikatan kuat di antara kedua-dua belah pihak terjalin sejak sekian lama, dilihat sukar dipisahkan.

Akibatnya, penyertaan dan pembabitan petani dalam program pengeluaran berskala besar kurang mendapat sambutan. Pesawah adalah barisan hadapan dalam memastikan bekalan makanan negara, terutama beras terjamin. Hampir 200,000 pesawah bertindak sebagai barisan hadapan bagi tujuan ini dan bergantung kepada tanaman padi sebagai sumber pendapatan utama.

Bagi menghargai golongan ini, perlu diwujudkan satu platform membolehkan sebarang pandangan atau cadangan pesawah diangkat kepada pihak sepatutnya. Rata-rata golongan pesawah mempunyai pengetahuan luas melebihi 10 tahun dalam aktiviti tanaman padi.

Raikan pandangan dan cadangan pesawah

Situasi ini secara tidak langsung memperlihatkan sebarang pandangan daripada golongan ini harus diraikan. Tidak adil andai pandangan dilontar dipandang sepi.

Walaupun rata-rata pesawah mempunyai tahap pendidikan rendah, ini bukan bererti golongan terbabit tidak mempunyai impian atau bersikap malas. Hakikatnya, golongan ini mempunyai kepakaran tinggi berdasarkan pengalaman bergelumang dalam industri ini.

Semangat tinggi meneruskan pekerjaan warisan ada kala diambil kesempatan pihak tidak bertanggungjawab dan akhirnya mendatangkan kerugian kepada pesawah. Inilah hakikat perlu ditanggung pesawah dan petani di luar bandar.

Kini sudah tiba masanya, taraf pesawah diangkat dan diberi nilai tambah ke satu tahap sepatutnya melalui pembelaan dan perlindungan sewajarnya. Golongan ini bukan hanya perlu didedahkan teknologi baharu tanaman padi, malah perlu dilengkapkan pengetahuan berkaitan literasi kewangan.

Perkara ini penting bagi memastikan golongan berkenaan dapat menguruskan sumber kewangan secara mampan di samping merancang tempoh persaraan dengan lebih berkesan.

Pelaksanaan Gelombang Padi harus seiring dengan agenda dan strategi terkandung dalam Dasar Agromakanan Negara yang mana matlamat akhirnya untuk memastikan bekalan makanan negara terjamin dan peningkatan kadar sara diri tercapai.

Amat penting industri padi dan beras negara diberi nafas baharu melalui Gelombang Padi. Pada masa sama, perlindungan tanah sawah daripada pencerobohan atas alasan pembangunan perlu dikawal dan diperketatkan syaratnya bagi memulihara sumber alam menyumbang kepada pengeluaran makanan negara.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia

Berita Harian X